DALAM rezeki kita, ada rezeki orang lain. Mungkin itulah yang terbuku dalam hati seorang pelanggan lelaki apabila dia menghadiahkan juadah buat seorang rider penghantar makanan pada malam hari pertama Ramadan baru-baru ini. Kisah perkongsian rezeki yang dimuat naik oleh Malik Abdul Matin Rosli, 21, menerusi Twitter ternyata menarik perhatian ramai sehingga menjadi tular. ARTIKEL BERKAITAN: Berlapar hantar makanan, pemberian pelanggan Cina buat rider GrabFood ini nak menangis, “Terharu dia hargai kerja saya” ARTIKEL BERKAITAN: Kudung terkena bom, jiwa kental Syahrain jadi perhatian setiap kali hantar makanan Mesra disapa Malik, dia mengakui tidak menyangka akan menerima pemberian berkenaan dan berasa cukup terharu sehingga hampir menitiskan air mata. "Selepas Maghrib saya dapat order. Dah siap, saya bergerak ke rumah customer. Sewaktu dalam perjalanan, dapat notifikasi kata pelanggan ni belikan makanan untuk saya. "Sepanjang jalan rasa sejuk je, rasa nak nangis dengan rezeki yang diberikan. Posting di laman Twitter Malik. "Saya pun berhenti tepi jalan sekejap untuk balas mesej customer tu dan ucapkan terima kasih," ujarnya kepada mStar. Menurut jejaka yang menetap di Tampines, Singapura itu, dia tidak pernah mengharapkan apa-apa pemberian daripada pelanggan. Namun, kejadian yang berlaku itu seolah-olah menunjukkan nilai kemanusiaan masih ada dalam masyarakat hari ini, menyebabkan dia terpanggil untuk berkongsi di Twitter. Sepanjang jalan rasa tergerak hati dan sejuk je. Ada rasa nak nangis sikit dengan rezeki yang diberikan. MALIK ABDUL MATIN ROSLI PENGHANTAR MAKANAN "Dengan itulah saya share kat Twitter yang humanity itu masih ada lagi. "Di Singapura pula ada banyak news yang muncul, pasal pelanggan belikan makan untuk delivery riders ataupun orang lain secara sedekah. "Saya pun tak harap apa-apa tapi bila benda ni berlaku just nak share yang ada orang masih 'kisah' di luar sana untuk sentiasa tolong-menolong antara satu sama lain walaupun kecil atau besar," ujarnya lagi. Malik cukup berterima kasih dengan pemberian pelanggannya. Baru menghabiskan pengajian di sebuah politeknik, Malik bekerja secara sambilan sebagai penghantar makanan untuk mencari wang simpanan. Kata Malik, dia juga mempunyai saudara-mara di Malaysia seperti Johor Bharu dan Perak. Malah katanya, situasi Covid-19 yang melanda juga pastinya menyebabkan saudara-maranya itu tidak dapat menziarahi Singapura pada lebaran tahun ini. Mesej yang diterima Malik daripada pelanggannya baru-baru ini. "Sekarang dengan lockdown, sedih mereka tak boleh datang untuk menyambut Aidilfitri. "Di Singapura dipanggil circuit breaker. Orang masih boleh keluar untuk beli barang di pasar atau makan tapi banyak kedai seperti retail, pawagam semua dah tutup," ujarnya. Sehingga kini, posting Malik mengenai hal itu menerima hampir 10,000 ulang kicau di Twitter (Retweet). Malah, ramai yang turut meninggalkan komen, meminta orang ramai agar lebih menghargai mereka yang bertugas sebagai rider dan runner.