suria

Tular kejadian aneh awan lindung matahari ketika Ustaz Ismail Kamus dikebumikan... anak didik mengaku tersentak - “Tak mustahil...”

Kejadian aneh di mana satu kelopok awan melitupi matahari yang sempat dirakam hadirin yang menghadiri pengkebumian Allahyarham Ustaz Ismail Kamus.

SUDAH seminggu pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Ismail Kamus dijemput menghadap Ilahi.

Sejak itulah, satu demi satu kisah mengenai amalan dan keperibadian tokoh agamawan tersebut diperkatakan orang ramai di media sosial sehingga menjadi tular.

Terbaharu, tular di Facebook mengenai kejadian aneh yang berlaku di tanah perkuburan sebagaimana yang dikongsikan beberapa hadirin yang menghadiri pengkebumian tokoh agamawan itu, minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Ismail Kamus dijemput Ilahi 15 Ramadan

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya ralat tak faham, arwah cuba sampaikan sesuatu” - Minta buat video call, anak Ismail Kamus masih fikir apa ungkapan tak sempat diluah bapa

Sebahagian hadirin dapat menyaksikan kemunculan sekelompok awan yang menutupi matahari, seolah-olah memayungi jenazah Allahyarham yang ketika itu baru tiba di Tanah Perkuburan AU4, Keramat, Kuala Lumpur.

"Hari ini (Jumaat) bersaksi mata kepala sendiri... suasana redup dari awal pagi sehinggalah solat jenazah yang hanya dibenarkan ahli keluarga untuk disolatkan jenazah Almarhum Ustaz Ismail Kamus.

"Semasa di tanah perkuburan pula, matahari mula memancarkan teriknya. Sehinggalah van jenazah tiba, kelihatan satu ketulan awan yang menutupi panas matahari mengiringi jenazah Almarhum," demikian coretan pada perkongsian tersebut.



Perkongsian yang tular di Facebook menceritakan kejadian aneh yang berlaku ketika pengkebumian Allahyarham Ustaz Ismail.

Perkongsian tersebut menjadi tular di Facebook di mana rata-rata netizen menzahirkan rasa kagum mereka menyaksikan perkara yang disifatkan sebagai kebesaran Allah.

Selain suasana yang redup, ramai yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh agamawan tersebut sama ada di kediaman allahyarham, masjid serta tanah perkuburan.

"Bagi saya itu perkara yang tak mustahil. Itu kuasa Allah... daripada gambar dan video yang ditularkan itu, memang kelihatan jelas perkara tersebut.

"Saya turut hadir di masjid dan tanah perkuburan, namun saya tak perasan. Hanya apabila lihat di media sosial dan ditunjukkan, baru saya tersentak. Dan sebenarnya, bukan saya yang membuat coretan itu walaupun ditulis nama saya di situ... ia daripada orang lain yang hadir ketika itu," kata Ustaz Halim Din yang juga merupakan anak didik allahyarham.



Antara gambar kenangan Ustaz Halim (kiri, depan) bersama Allahyarham (kanan, belakang).

Mengimbas kembali saat-saat terakhir bersama arwah, Halim yang juga seorang pendakwah bebas berkata, dia sempat meluangkan masa menziarahi pendakwah yang sudah dianggap seperti bapa sendiri itu beberapa kali di hospital.

"Saya sempat menziarahinya ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tapi saya tawakal saya redah dari Ipoh.

"Alhamdulillah urusan dipermudahkan. Pada malam sebelum Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir pun, saya sempat tiba dari Ipoh untuk menjenguknya seketika," ujarnya.

Tiga hari sebelum Ramadan, Allahyarham telefon nak ajak makan. Tapi ketika itu PKP maka tak dapatlah nak tunaikan ajakannya. Kini tiada lagi panggilan telefon daripada Allahyarham.

USTAZ HALIM DIN

Menurut Halim, pemergian Allahyarham benar-benar memberi kesan kepada dirinya apatah lagi mengenangkan hubungan rapat yang terjalin sejak lebih 20 tahun lalu.

"Bersamanya juga kami mengasaskan produk minyak wangian terapi pendinding diri 'Minyak Raihanah Syifa' sejak 10 tahun lalu... berkat doa syifanya ramai yang sembuh daripada masalah pelbagai penyakit. Alhamdulillah.

"Hari ini saya amat terasa kehilangan dialah seorang bapa, penasihat, murabbi yang banyak membimbing mengajar dan memberi nasihat samada perihal rumahtangga, pencerahan ilmu dan membimbing cara berdakwah yang berkesan.



Ustaz Halim mengenali Allahyarham sejak lebih 20 tahun lalu dan menganggapnya seperti bapa sendiri.

"Tiga hari sebelum Ramadan, Allahyarham telefon nak ajak makan. Tapi ketika itu PKP maka tak dapatlah nak tunaikan ajakannya. Kini tiada lagi panggilan telefon daripada Allahyarham," tuturnya.

Meskipun Allahyarham sudah tiada, silaturrahim antaranya bersama keluarga tokoh itu tetap seperti dahulu.

"Anak Allahyarham, Ustaz Firdaus pun berpesan, jangan putuskan hubungan ini. Selain itu, saya sentiasa mengingati ilmu yang pernah dicurahkan Allahyarham, amalannya serta kenangan bersamanya," ujarnya mengakhiri bicara.



Sekitar pengkebumian Allahyarham Ustaz Ismail.

Ismail dijemput Ilahi pada 8 Mei lalu, ketika umat Islam menjalani ibadah puasa pada hari ke-15 Ramadan.

Allahyarham yang juga Pengasas Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 72 tahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Ismail Kamus, anak didik, aneh, HKL, awan

Artikel Lain