BELUM pun hilang kesedihan akibat kehilangan abang dan adik, gadis ini sekali lagi diuji dengan pemergian seorang lagi adiknya pada Selasa lalu. Akibat kehilangan terbaharu itu, Nur Aisyah Fitri Rosidin kini hanya ada dua lagi adik-beradik untuk bergurau dan bermanja, iaitu abang sulung dan adik bongsunya. Gadis berusia 21 tahun itu berkongsi kisah pemergian adiknya, Aidil Aiman Rosidin, 19, akibat penyakit buah pinggang dalam satu bebenang di Twitternya. ARTIKEL BERKAITAN: “Aku penatlah esok aku nak tidur“ - Bangun sahur awal, selera lain macam... rider ‘tutup mata’ selamanya selepas beli baju raya 4 adik ARTIKEL BERKAITAN: Mesej ‘I miss you’ dibalas, lelaki ini sangka sahabat yang dah meninggal masih hidup - “Dia cuma kata nak pergi satu tempat” Rata-rata netizen meluahkan rasa sebak dan simpati dengan nasib menimpa Nur Aisyah dan keluarganya. Menurut Nur Aisyah atau lebih mesra disapa Aisyah, adiknya yang merupakan anak keempat daripada enam adik beradik itu disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap 5 kira-kira tiga bulan lalu. Gambar kenangan keluarga bersama Aidil Aiman (baju kuning, dua dari kanan; baju turquoise, paling kiri, atas). "Awalnya dia demam lepas tu tak surut-surut. Jadi dari Klinik Kesihatan Meru dibawa naik ambulans ke Hospital Klang tapi masa tu dia masih sedar, sihat dan boleh gelak-gelak. "Mula-mula doktor kata dia demam denggi. Lepas tu doktor suruh buat ujian darah, air kencing dan X-Ray. Dari situlah dapat detect dia sakit buah pinggang stage 5," katanya. Namun pemergian adiknya itu, kata Aisyah benar-benar mengejutkan keluarganya. "Masa 2015, salah seorang abang meninggal akibat kemalangan langgar lari. Saya masih ingat lagi masa tu ayah saya tengah buat umrah. Ibu memang sedih sangat. “Lepas tu seorang lagi adik saya (anak kelima) pula meninggal dalam perut ibu, waktu tu memang dah cukup sifat semua. Aidil Aiman bersama ibunya. "Kali ini adik bawah saya pula. Memang satu famili terkesan terutamanya ibu yang melihat adik menghembuskan nafas terakhir di pangkuannya," kata anak ketiga daripada enam beradik itu. Jelas Aisyah, adiknya itu turut menunjukkan perlakuan pelik beberapa hari sebelum dia pergi buat selama-lamanya. "Tanpa sedar dia dah tunjuk tanda-tanda semua tu. Dalam 100 hari tu dia beritahu mulut dia rasa macam masin, macam hilang deria rasa tu. Adik ada cerita dekat ibu dan kawan-kawan dia, dia kerap mimpi arwah abang memanggil-manggil dia sebab mereka memang rapat. NUR AISYAH FITRI ROSIDIN Kakak "Dia juga tak nak tidur sorang, suka datang bilik saya. Ada satu malam tu saya nak tidur dia cakap dia takut, jadi dia nak tidur dalam bilik saya dengan adik bongsu. "Lepas tu sampailah sehari sebelum dia meninggal, saya ada dalam bilik dengan dia. Dia asyik tenung je saya main handphone sampai saya pun pelik. Bila tanya dia diam je," katanya. Malah Aisyah berkata adiknya itu turut menemani ibunya menyediakan makanan untuk bersahur tiga hari sebelum menghembuskan nafas terakhirnya. Earpod dan keropok kegemaran Aisyah yang ditinggalkan Aidil Aiman untuknya. "Sebelum-sebelum ni memang dia susah nak bangun sahur, kami yang akan kejutkan dia. Tapi kali ni dia bangun sendiri. "Dia teman ibu bangun awal, sediakan makanan. Dia akan duduk dekat kerusi tengok kami semua makan. "Walaupun dia dah tak ada, masih teringat bayangan dia setiap kali sahur. Terasa dia masih ada. Tak sangka itu tatapan terakhir dia sebelum pergi menghadap ilahi," katanya. Dalam pada itu, Aisyah turut bersyukur kerana hajat adiknya untuk meninggal pada bulan Ramadan dimakbulkan Allah. "Adik ada cerita dekat ibu dan kawan-kawan dia, dia kerap mimpi arwah abang memanggil-manggil dia sebab mereka memang rapat. "Jadi dia harap dapat ikut arwah abang (meninggal sebulan sebelum Ramadan). Walaupun perit kami reda, hajatnya tercapai," katanya. Jenazah Aidil Aiman selamat dikebumikan selepas Asar pada Selasa lalu. Namun Aisyah turut terkilan kerana tidak sempat membelikan DVD PS4 yang diminta adiknya. "Saya sedih sebab tak sempat belikan dia DVD PS4 Spiderman. Masa tu elaun pratical saya tak masuk lagi. "Dia tak ada DVD PS4, yang dia ada pinjam kawan je. Tak sangka kawan-kawan dah halalkan. "Dia juga tinggalkan earpod miliknya dan keropok kegemaran saya sebelum dia pergi. Tapi saya tak makan pun, sebak tak sampai hati," katanya. Jenazah adiknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kapar, Klang selepas Asar pada Selasa lalu. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!