suria

Rumah dipecah masuk gara-gara baju Nirvana ayah, anak terkejut harga cecah ribuan ringgit - “Barang kemas tak pula ambil”

Baju yang pernah dipakai bapa Airil (kiri) kini dijual pada harga ribuan ringgi.

SEORANG anak muda sama sekali tidak menyangka bapanya merupakan salah seorang daripada jutaan peminat kumpulan rock terkenal dari Amerika Syarikat, Nirvana.

Lebih mengejutkan kemeja-T edisi Nirvana yang pernah dipakai bapanya sewaktu muda kini dijual pada harga AS$2,500 (RM10,705) sehelai menerusi laman lelong popular eBay.

"Weh korang, tengok dulu ayah aku ada baju apa," tulisnya di laman Twitter, selain turut memuatnaik sekeping foto bapanya memakai sehelai lagi baju Nirvana lain, yang mana baju tersebut kini berharga RM1,717.26 di laman lelong tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 50 resepi tulisan jawi arwah nenek disimpan rapi, tak sangka orang dulu-dulu makan cheesecake - "Rendang paling legend, masing-masing cuba tapi..."

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi rumah terbuka, habis berkecai pinggan pusaka arwah nenek "Ayah sebak nak menangis... tapi jangan serik datang lagi"

Bercakap kepada mStar, Muhammad Airil Syarmien Mahathir berkata, bapanya merupakan peminat kumpulan-kumpulan rock lama seperti Nirvana, Metallica dan Iron Maiden.



Satu lagi gambar bapa Airil memakai baju T Nirvana.

Pemuda berusia 19 tahun itu memberitahu, penemuan itu berlaku selepas dia menyuarakan hasrat kepada bapanya untuk mendapatkan koleksi dan barangan vintaj.

"Ayah selongkar balik gambar-gambar lain dan tunjuk saya dua gambar dia pakai baju Nirvana. Memandangkan tu edisi terhad dan original, saya terus buat semakan di internet.

"Bila tengok harga kedua-dua baju tu, tak sangka boleh cecah RM10,000 sehelai. Mahalnya baju tu sekarang, untunglah ayah kalau ada baju tu lagi," katanya kepada mStar.



Bapa Airil merupakan pemain gitar sambilan.

Lebih mesra dengan panggilan Airil, katanya, kedua-dua baju T Nirvana itu dimiliki bapanya sekitar awal 1990-an ketika arwah datuknya mengusahakan kedai menjual pelbagai barangan di Klang, Selangor antara 1990 dan 1995.

"Antara yang dijual di kedai arwah atuk adalah baju, kasut dan jeans. Ayah dapat dua baju Nirvana tu di kedai arwah atuk pada harga antara RM80 dan RM100 sehelai masa tu.

"Ayah sekarang berusia 44 tahun dan semasa zaman muda remajanya memang suka kumpul pelbagai koleksi seperti baju dan kasut," ujar anak sulung daripada tiga beradik itu.



(kiri) Bapa Airil sewaktu muda dan (kanan) foto terkini Airil.

Bagaimanapun katanya, rumah arwah datuknya pernah dipecah masuk oleh pencuri pada lewat 1990-an menyebabkan banyak koleksi bapanya hilang.

"Salah satu barang milik ayah yang hilang adalah baju T Nirvana yang sekarang dijual pada harga lebih RM10,000 tu. Tak ada rezeki ayah nak simpan baju tu.

Mungkin orang yang pecah masuk rumah tu dah lama target ayah yang memang dikenali sebagai pengumpul pelbagai koleksi termasuk edisi terhad.

MUHAMMAD AIRIL SYARMIEN MAHATHIR

"Tiada orang di rumah ketika kejadian dan apa yang pelik barang berharga lain seperti kelengkapan elektrik macam TV dan barang kemas tak pula diambil, tapi baju dan kasut yang dicuri.

"Mungkin orang yang pecah masuk rumah tu dah lama target ayah yang memang dikenali sebagai pengumpul pelbagai koleksi termasuk edisi terhad," katanya sambil menambah bapanya merupakan pengurus projek pembinaan dan pemain gitar sambilan.



Airil bersama keluarganya.

Airil yang merupakan pelajar Diploma Kejuteraan Mekanikal di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di Arau, Perlis bagaimanapun memberitahu bahawa sehelai lagi baju T- Nirvana yang dimiliki bapanya masih 'selamat' dalam simpanan peribadi.

"Ayah beritahu sehelai lagi baju Nirvana tu ada disimpan dalam stor di rumah keluarga ayah di Klang. Harap-harapnya adalah baju tu sebab dah mahal harganya, boleh untung besar!

"Kami bercadang nak cari baju tu nanti sambil kemas-kemas stor, tapi nak buat apa dengan baju tu sama ada nak frame simpan buat kenang-kenangan atau jual balik pada harga tinggi, bergantung kepada ayah.

"Saya? Niat asal nak beli baju-baju vintaj yang original kumpulan-kumpulan nampaknya tak jadilah. Mahal sangat untuk sehelai baju je, tak sanggup nak beli," ujarnya secara berseloroh.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Nirvan, Metallica, Iron Maiden, eBay, vintaj,

Artikel Lain