suria

Rezeki clown terjejas tak halang lelaki ini bersedekah... ramai tersentuh lihat nota diselit pada makanan - “Kerjaya ini buat kita dekat dengan kanak-kanak”

Yusmanizam tidak menyangka niatnya bersedekah menjadi tular di media sosial, malah menerima ucapan dan doa dari netizen.

RATA-RATA individu terkesan ekoran penularan wabak Covid-19.

Sebilangan besarnya kehilangan pekerjaan sewaktu kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekaligus menyebabkan sumber pendapatan mereka terjejas teruk.

Sungguhpun begitu, ia bukanlah penghalang untuk seorang lelaki ini berbahagi rezeki dengan orang lain agar dapat meringankan beban mereka yang memerlukan, sebagaimana satu posting yang tular di Facebook baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kerja biasa-biasa’, tapi grup anak muda ini semangat membara nak tolong orang susah - “Ada yang baru keluarkan duit BPN, mereka sanggup derma”

ARTIKEL BERKAITAN: “Ayah kata waktu muda untuk struggle” - Baru 2 minggu bisnes dah ada dugaan, anak termenung kata-kata bapa jadi kenyataan

Posting itu dikongsikan oleh seorang penghantar makanan (rider) di Facebook Penangkini.

"Alkisahnya tengahari ini... aku ni rider FoodPanda. Tadi masa kami lepak dekat Queensbay sambil tunggu order masuk, ada sorang brader ni mai (datang) dengan kereta, bagi salam dekat kami semua.

"Dia tanya dah makan ka, kami ingat pasaipa (kenapa) tiba-tiba tanya dah makan ka belum, rupanya dia bawa nasi bagi kat kami semua. Allahuakbar, baiknya. Ada lagi manusia yang baik hati sekarang ni

"Ni ucapan yang ada dalam bungkusan nasi dia. Dah la nasi sedap," tulis kapsyen pada posting tersebut.



Posting yang dikongsi oleh seorang rider Food Panda mengenai Yusmanizam menjadi tular di Facebook.

Turut dimuat naik di dalam posting itu adalah gambar sebungkus nasi berserta sekeping nota yang bertulis: "Jom sama-sama membantu golongan yang memerlukan, dengan hanya tekan butang like, share dan subscribe di saluran YouTube Yuyu Ballon World. Juga doakan kami supaya mendapat zuriat".

Posting itu sehingga kini meraih 406 shares selain dibanjiri dengan komen netizen yang rata-ratanya mendoakan agar pasangan berkenaan dikurniakan zuriat.

Ketika dihubungi mStar, gerangan lelaki yang memberikan sumbangan makanan itu, Yusmanizam Hasan berkata tujuannya berbuat demikian adalah mahu berkongsi rezeki bersama-sama dengan orang lain.



Yusmanizam gembira dengan kerjayanya kini kerana sering berdamping dengan kanak-kanak.

"Niat untuk beri makanan memang dah lama tapi tak jadi sebab kerajaan umum PKP. Sekarang kebetulan dah ada kelonggaran, saya ambil peluang itu untuk tunaikan niat tersebut.

"Sebenarnya, saya buat servis badut untuk acara-acara dah hampir enam tahun. Masa PKP hingga sekarang, tak ada langsung job masuk. Namun Alhamdulillah, ketika kerajaan umum bantuan baru-baru ini, saya layak untuk dapat bantuan geran khas.

"Jadi apa salahnya saya kongsi rezeki dengan orang lain. Dalam masa yang sama, mudah-mudahan mereka dapat doakan agar saya dan isteri dikurniakan zuriat," ujarnya yang juga pemilik dan pengasas Yuyu Ballon World.

Menurut Yusmanizam, makanan yang diberikan secara rawak kepada orang ramai itu disediakan sendiri oleh isterinya.



Yusmanizam sering menerima jemputan dalam pelbagai acara termasuk majlis perkahwinan.

"Kami buat 50 bungkus nasi dan edarkan kepada mana-mana orang yang ditemui. Daripada jumlah itu, ada lebih kurang 30 bungkus yang saya letak nota tulisan tangan itu,

"Ketika saya bertemu dengan geng rider FoodPanda di Queensbay Mall, mereka sedang menunggu pesanan masuk. Masa itu dah hampir waktu tengah hari dan bila ditanya, mereka belum makan lagi. Rezeki mereka. Tapi tak sangka salah seorangnya post di media sosial.

"Niat nak sedekah, tapi tak sangka pula jadi viral. Selepas viral, banyak sangat dapat komen positif, ramai yang doakan saya dan isteri. Malah saluran YouTube saya pun tiba-tiba ramai yang subscribe. Saya betul-betul terharu," ujar lelaki berusia 34 tahun ini.

Masa PKP hingga sekarang, tak ada langsung job masuk. Namun Alhamdulillah, ketika kerajaan umum bantuan baru-baru ini, saya layak untuk dapat bantuan geran khas. Jadi apa salahnya saya kongsi rezeki dengan orang lain.

YUSMANIZAM HASAN

PENGASAS YUYU BALLON WORLD

Yusmanizam yang bekerja menyediakan servis badut secara sepenuh masa berkata, sepanjang ketiadaan sumber mata pencarian sejak Mac lalu, dia melakukan pelbagai kerja untuk menampung kehidupan.

"Boleh dikatakan sejak Mac lalu, tak ada langsung job event masuk. Selain menggunakan simpanan, saya buat macam-macam kerja. Jadi runner, dan macam-macam asalkan ia rezeki halal untuk kami anak beranak," ujarnya yang memelihara seorang anak angkat lelaki yang kini berusia tiga tahun setengah.

Mengulas serba sedikit bagaimana dirinya terjebak dalam perkhidmatan badut, lelaki yang berasal dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang ini mendedahkan ia sebenarnya turut mempunyai kaitan dengan kehidupannya bersama isteri.



Yusmanizam bersama isteri terharu ramai netizen mendoakan mereka dikurniakan zuriat.

"Ada satu peristiwa tu, seorang makcik secara terang-terangan menimbulkan soal zuriat ketika di depan orang lain dan membuatkan isteri saya sedih sangat. Saya pun buat carian dan entah macam mana terlintas mengenai badut ni.

"Saya suarakan kepada isteri pasal ni dan dia terus tergelak... jadi saya pun beli dan belajar pasal perkhidmatan ni dari Internet.

"Bila dia ikut saya pergi event, saya tengok dia gembira sangat. Lagipun kerjaya ni buat kita dekat dengan kanak-kanak. Jadi bermula dari situ, saya ambil keputusan berhenti kerja di kilang dan jadikan ia kerjaya sehingga kini," katanya mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
clown, badut, zuriat, PKP, FoodPanda

Artikel Lain