suria

“Nanti dah sihat, kita keluarkanlah papa” - Hari ni sambut birthday, esok kebumi bapa! Video budak 5 tahun berdoa di kubur undang sebak

Khalish kehilangan bapanya sehari selepas dia meraikan ulang tahun kelahiran kelima pada 7 Julai lalu.

PEMERGIAN yang tidak disangka-sangka.

Begitulah kisah Mohamad Zamzam Nordin, 37, yang menghembuskan nafas terakhir pada 9 Julai lalu akibat serangan jantung.

Lebih pilu, Mohamad Zamzam 'pergi' sehari selepas dia dan isteri, Nurasikin Mokhtar, 36, meraikan ulang tahun kelima anak tunggal mereka, Muhammad Khalish Aryan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia rindu tapi tak tahu nak cakap” - Sayu... tak pandai kira hari, tapi anak syurga ini tahu rutin ziarah pusara bapanya

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya je duduk Langkawi jaga kubur ayah” - Anak arwah Aziz Desa tenang dikutuk cemar keturunan

Terbaharu, tular video si cilik itu sedang membaca surah al-Fatihah di sisi kubur bapanya sehingga ia mengundang air mata dalam kalangan netizen yang menonton.

Bercakap kepada mStar, ibu saudara Khalish, Intan Zarina Mokhtar, 45, mengakui turut sebak tatkala menyaksikan video tersebut yang dirakam di Tanah Perkuburan Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang, Johor.

"Saya kakak kepada mummy Khalish. Tak boleh nak digambarkan perasaan macam mana. Papa dia pergi dengan mengejut. Memang mengalir air mata tengok video Khalish di kubur.

Khalish di pusara bapanya yang meninggal dunia akibat serangan jantung.

"Malam sebelumnya kami sambut birthday Khalish, keluar makan di restoran. Keesokan hari, dia kena serangan jantung mengejut masa nak pergi kerja," ujarnya sewaktu dihubungi.

Bercerita mengenai ibu Khalish yang juga adiknya, Intan Zarina mengakui wanita itu cukup tabah biarpun diuji dengan pemergian mengejut itu.

Malah katanya, dia dan adik beradik yang lain akan sedaya upaya membantu Khalish sekeluarga memandangkan ibunya seorang suri rumah sahaja.

Orang baik Tuhan sayang, cuma sedih sangat sebab pergi mengejut.

INTAN ZARINA MOKHTAR

"Alhamdulillah mummy Khalish sihat, dia kuat demi anak. Mummy dia suri rumah manakala arwah ada perniagaan sendiri.

"Kami ada bantu mereka, sekarang pun ada temankan di kediaman mereka. Mummy dia pun masih muda, InsyaAllah masih ada peluang kalau nak bekerja selepas ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Intan Zarina mengakui terharu dengan sokongan orang ramai setelah video Khalish di pusara bapanya menjadi tular.

Khalish bersama kedua ibu bapanya.

Tambahnya, hanya ucapan terima kasih yang mampu dizahirkan atas kata-kata semangat dan doa yang dititipkan netizen.

"Syukur sangat, Khalish pun tak reti apa-apa lagi. Tapi ramai yang doakan dia. Syukur sangat ramai kirimkan doa. Memang tak sangka.

"Arwah papa Khalish sangat baik, arwah tak pernah berkira. Dengan anak saudara semua pun memang baik. Memang tak ada masalah.

"Orang baik Tuhan sayang, cuma sedih sangat sebab pergi mengejut, sehari selepas sambut hari jadi Khalish.

Intan Zarina (kanan) bersama anaknya yang berkongsi video Khalish di Twitter.

"Mereka dah kahwin 10 tahun, lepas lima tahun baru dapat Khalish," ujarnya lagi.

Sehingga kini, posting video di Twitter yang dikongsi anak Intan Zarina, Aina Batrisyia menerima hampir 100,000 tontonan.

"Tiap-tiap pagi Khalish ajak pergi kubur papa, Khalish rindu papa, Khalish kata papa masuk sini sebab papa sakit nanti papa dah sihat, kita keluarkanlah papa. semoga Khalish kuat, jadi anak yang baik, jaga mami.

"Dia kata Khalish lelaki mana boleh nangis, lelaki kena kuat," tulis Aina Batrisyia menerusi kapsyen posting itu.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia