suria

Derita kanser tulang, peminat lukis potret Abam ‘menyusul’ selepas 6 bulan – “Dia bisik... abang, maafkan adik”

Abdul Azim yang memegang potret arwah Abam Bocey, meninggal dunia pada 4 Ogos 2020 kerana kanser tulang. Foto ihsan Izarul Naim Mohd Rozahar

SEORANG remaja yang tular pada awal tahun ini kerana melukis potret Allahyarham Abam Bocey bagi mengubati kesedihannya berikutan pemergian pelawak yang diminatinya itu.

Namun, lebih memilukan apabila anak muda yang membuat lakaran dengan menulis nama 'Abam' sehingga membentuk sebuah potret itu dijemput Ilahi pada Selasa.

Allahyarham Abdul Azim Mohd Rozahar, 15, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.50 malam Selasa di Hospital Segamat di Segamat, Johor.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mahu terus bersedih, remaja ini capai pen, habiskan masa 2 jam tulis beribu kali 'Abam' sehingga terbentuk potret arwah

ARTIKEL BERKAITAN: Budak 10 tahun menangis teresak-esak dapat tahu Abam Bocey dah tiada, sanggup stop main PS4 nak tengok idola - "Kerana Abam, dia terbuka hati tonton program TV Melayu"

Abang arwah, Izarul Naim yang mengesahkan berita sedih itu kepada mStar memberitahu, adiknya meninggal dunia kerana mengidap kanser tulang sejak dua tahun lalu.



Potret arwah Abam yang dilakarkan menggunakan teknik perkataan.

“Pada pagi tu arwah okay, tapi selepas tu adik mula rasa sesak nafas sebelum dimasukkan ke hospital. Adik menderita kanser tulang pada tahap kritikal.

“Sebelum ini dia selalu berulang-alik ke hospital untuk rawatan, dan masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dia terlantar di hospital selama dua bulan. Adik dibenarkan keluar dari hospital beberapa hari sebelum Hari Raya Aidiladha, ” katanya kepada mStar.



Abdul Aziz (duduk, hadapan) semasa menyambut hari ulang tahun ke-15 pada 23 Julai lalu di hospital.

Izarul berkata, adiknya yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu berhenti melukis sejak PKP kerana keadaannya bertambah tenat.

“Masa di hospital pun adik tak dapat bercakap sangat kerana keadaannya yang lemah. Bila keluar dari hospital, adik tidak boleh bergerak apatah lagi berjalan. Kami sekeluarga jaga dia.

“Sehari sebelum adik meninggal dunia, dia panggil kami sekeluarga untuk berkata sesuatu. Dia hanya mampu berbisik seorang demi seorang, dan dekat saya dia bisik beritahu 'Abang... adik minta maaf'. Tak sangka itu adalah kata-kata terakhir dia, ” ujarnya sambil menambah arwah adiknya baru menyambut ulang tahun ke-15 pada 23 Julai lalu.



Perkongsian Izarul mengenai arwah adiknya menerusi story di Instagram. Foto instagram izrl.nm

Izarul yang bekerja di Kuala Lumpur bagaimanapun berasa terkilan kerana tidak dapat memenuhi permintaan terakhir adiknya.

“Arwah sebelum ini pernah minta saya untuk belikan permainan video PS4 (PlayStation 4). Tapi masa tu PKP, kedai tak buka selain kekangan duit.

Terharu sebab dia selalu cerita kat kawan-kawan yang keluarga sayang sangat kat dia

IZARUL NAIM MOHD ROZAHAR

“Selain melukis, adik juga minat bermain game. Dia sebelum ini main PUBG guna telefon bimbit. Tapi sejak keadaan dia bertambah tenat, dia tak lagi main.

“Walaupun adik nak sangat PS4, tapi dia tak ada sampai meminta-minta. Dia seorang adik yang baik, pendiam dan buat kami sekeluarga terharu sebab dia selalu cerita kat kawan-kawan yang keluarga sayang sangat kat dia, ” katanya.



Potret Miral Filzah (kiri) dan tiga penyampai Suria FM iaitu Ajak, Fizi dan Issey antara lakaran terakhir arwah menggunakan teknik perkataan.

Allahyarham Abdul Azim selamat dikebumikan pada pukul 11 pagi Rabu di Tanah Perkuburan Islam 1 di Kampung Paya Pulai di Segamat, Johor.

Pada Februari lalu, Allahyarham yang ditemuramah mStar berkata, lukisan arwah Abam merupakan lakaran pertamanya menggunakan teknik perkataan.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, meninggal dunia pada 10 Februari dipercayai akibat demam panas.

Menerusi semakan mStar di akaun Instagam Allahyarham Abdul Azim, antara lakaran terakhirnya menggunakan teknik perkataan adalah potret pelakon dan pengacara, Mira Filzah dan tiga penyampai radio Suria FM bagi segmen Team Pagi Suria iaitu Ajak (Shiro), Fizi Ali dan Issey Fazlisham.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain