suria

“Tiada siapa menang... mangsa atau tertuduh” - Peguam doakan pesalah kes bunuh 23 nyawa pusat tahfiz insaf ketika di penjara

Seorang peguam mengulas mengenai kes membabitkan seorang remaja yang baharu sahaja dijatuhkan hukuman penjara kerana didapati bersalah membunuh 23 nyawa penghuni sebuah pusat tahfiz, tiga tahun lalu.

SEJAK semalam, rata-rata pelbagai pihak memperkatakan mengenai hukuman yang dikenakan terhadap seorang remaja yang didakwa membunuh 23 nyawa dalam insiden kebakaran sebuah pusat tahfiz, hampir tiga tahun lalu.

Hampir majoriti netizen meluahkan rasa tidak puas hati mereka dalam ruangan komen pada setiap posting yang berkongsi mengenai perkara itu.

Bagi mereka, hukuman penjara dirasakan tidak setimpal dengan apa yang telah dilakukan oleh si pelaku kerana ia membabitkan nyawa, selain ahli keluarga mangsa menderita akibat kehilangan insan tersayang.

ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya terjawab! Remaja dijatuhi hukuman penjara, didapati bersalah bunuh 23 individu dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

ARTIKEL BERKAITAN: “Eloklah ada tindakan pemenjaraan dan denda yang tinggi” - Peguam mahu kes tauke nasi kandar sebar wabak Covid-19 jadi iktibar

Untuk rekod, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin memerintahkan remaja berkenaan ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.



Perkongsian Nor Zabetha mengulas hukuman yang dikenakan terhadap remaja berkenaan.

Terpanggil untuk mengulas perkara berkenaan, seorang peguam Nor Zabetha Muhamad Nor menyifatkan hukuman berkenaan wajar dijatuhkan kepada pesalah di atas kesalahan yang dilakukannya.

"Benar. Kalau berlaku pembunuhan, tiada siapa yang menang walaupun hukuman telah dijatuhkan. Waktu membaca liputan berita tadi, saya bersyukur hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh dalam kes bunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz pada 14 September 2017.

"Bila dijatuhkan hukuman begini, saya merasakan mangsa serta keluarga mendapat keadilan. Kes mereka didengar. Ada sabitan dan keputusan bersalah. Ada hukuman. Akhirnya ada pembelaan.

"Dalam pada merasakan keadilan kerana tertuduh dihukum tetapi secara jujurnya, sedih bila mengenangkan nasib mereka yang terkorban. Tidak ada satu jenis hukuman pun di dunia ini yang dapat mengembalikan nyawa-nyawa mereka yang terkorban," ujarnya menerusi satu perkongsian di Facebook.



Ribuan orang hadir memberi penghormatan ketika jenazah mangsa tragedi kebakaran itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah.

Peguam ini juga menjelaskan bahawa hukuman yang dikenakan terhadap pelaku adalah wajar memandangkan ia dikategorikan kes bawah umur, di mana pelaku berusia 16 tahun sewaktu insiden berkenaan.

"Saya berharap selama tertuduh dipenjarakan, semoga dia sentiasa berdoa dan menginsafi terhadap perbuatannya itu. Perbuatan khianat yang begini, tiada undang-undang atau apa sahaja dapat memberikan kemenangan kepada mangsa mahupun tertuduh," ujarnya.

Dalam masa yang sama, peguam ini menekankan betapa tragedi ini wajar dijadikan iktibar buat ibu bapa khususnya dalam membentuk dan mendidik anak-anak.



Nor Zabetha sering membuat perkongsian mengenai isu semasa dari sudut perundangan di Facebook.

"Didiklah anak kita, jangan jadi seorang pendendam. Bila terlalu marah, ajar mereka jangan ambil jalan mudah seperti menyakiti atau mencederakan.

"Didiklah anak kita, biar jadi jenis yang tenang dan penyayang. Jangan menggunakan kekerasan sebagai penyelesaian.

"Didiklah anak kita tentang dosa dan pahala, tentang larangan agama supaya mereka tidak bertindak di luar batasan.

"Kalau ramai dari kita yang ambil masa mendidik dan berpesan-pesan. Insyallah, anak-anak muda generasi akan datang, tidak akan mengulangi perbuatan yang sama dan segala kesilapan di zaman ini," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain