TERNYATA pandemik Covid-19 memberi impak besar kepada sebahagian kita susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian jangkitan itu. Antara yang terkesan termasuklah seorang pemuda yang kehilangan pekerjaan dan hanya bergantung hidup dengan simpanan, sebagaimana perkongsiannya di laman Twitter. Dia memohon pelbagai pekerjaan tetapi tidak bernasib baik, malah mendedahkan permohonannya untuk bekerja di sebuah kedai serbaneka popular turut ditolak. ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda OKU kerja lebih ketika PKP, tak menang tangan terima tempahan - "Kalau ada yang cancel beli, kami faham..." ARTIKEL BERKAITAN: Inilah masanya! Tiga pramugari cun tonjol bakat buat 'konsert', ada yang kata suara mirip Tok Ti - "Meremang sebab cuma kami bertiga, tak pakai minus one" Pemuda berkenaan, Syed Hafizi Saiyid Rosli berkata, dia diberhentikan kerja secara mengejut dari sebuah syarikat kosmetik pada akhir Mac lalu. Perkongsian Syed Hafizi menjadi tular. Anak muda berusia 24 tahun itu memberitahu, sejak itu hampir empat bulan dia menganggur dan sepanjang tempoh tersebut dia berusaha untuk mencari kerja. "Lebih 10 kerja saya cari, termasuk di sebuah kedai serbaneka. Tapi mereka tak cari pekerja. Saya hanya guna simpanan dan pinjam duit kawan-kawan. "Mujur ada bantuan kerajaan untuk mereka yang terjejas akibat PKP. Tapi lama-kelamaan simpanan saya semakin berkurangan, saya perlu lakukan sesuatu," katanya kepada mStar. Syed Hafizi yang menetap di rumah sewa bersama rakan-rakannya di Shah Alam, Selangor berkata, sepanjang tempoh menganggur dia tidak pernah terfikir untuk berniaga. Syed Hafizi mengambil keputusan untuk berniaga makanan. "Simpanan saya tak banyak dan berniaga memerlukan modal. Famili saya pula bukan orang senang untuk minta mak ayah duit tampung perbelanjaan harian saya. "Sebelum ini langsung tak terfikir tentang bisnes. Tapi ditakdirkan, tergerak hati apabila mendapat idea menerusi tontonan video-video masakan di YouTube," ujarnya yang berasal dari Ipoh, Perak. Lama-kelamaan simpanan saya semakin berkurangan, saya perlu lakukan sesuatu. SYED HAFIZI SAIYID ROSLI Menurut lepasan graduan Diploma Kulinari di Management and Science University (MSU) di Shah Alam itu, dia mempunyai kemahiran memasak tetapi sedar perlu menampilkan kelainan dalam masakannya. "Sebelum ini saya banyak tengok video YouTube masakan dari luar negara-negara jiran. Saya fikir untuk menghasilkan set masakan tengah hari menggunakan menu dari Indonesia iaitu Ayam Woku, ia macam rendang tetapi kering dan spicy, ada aroma daun selasih. "Saya juga memperkenalkan satu lagi menu dari Thailand, Pad Kra Pao, iaitu ayam cincang masak kicap bersama daun selasih," kata anak sulung daripada lima beradik itu. Dua menu set makan tengah iaitu Woku Ayam (kiri) dan Pad Kra Pao. Dengan modal sebanyak RM800 yang dipinjam daripada rakan, Syed Hafizi memulakan bisnes set makan tengah hari dua sajian dari Indonesia dan Thailand sejak seminggu lalu. "Hari pertama, terjual kira-kira 20 pek yang mana kebanyakan pelanggan adalah rakan-rakan. Saya yang masak, buat persiapan untuk packing dan jadi runner untuk penghantaran. "Alhamdulillah, saya tak sangka posting saya di Twitter jadi viral dan pernah dapat sehingga 63 pek sehari dengan bantuan rakan-rakan," katanya mengenai perkongsiannya di laman sosial yang diulang kicau lebih 38,000 kali. Syed Hafizi (kiri) bersama salah seorang rakan yang banyak membantunya untuk berniaga. Kerana 'kuasa' viral, katanya, dia menerima permintaan yang banyak tetapi terpaksa mengehadkan tempahan kerana kekurangan tenaga kerja dan ruang persiapan yang kecil. "Syukur ramai yang memberikan kata-kata semangat buat saya. Malahan, ada yang tawarkan saya bekerja di restorannya dan ada yang ajak saya berniaga di gerai burger. "Paling saya tak sangka apabila ada seorang individu yang nak tempah sebanyak 110 pek. Tapi dia order jauh di Kelantan, sedangkan saya di Shah Alam. "Atas semangat ini juga, saya mahu mengembangkan bisnes dan insyaAllah selepas sajian Indonesia dan Thailand, saya mahu perkenalkan menu dari Malaysia pula," katanya dengan nada teruja. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!