LAIN dari yang lain! Itulah perkataan paling sesuai untuk menggambarkan konsep 'warung' kopi milik seorang lelaki ini. Bukan di bawah teduhan payung dan hamparan meja, sebaliknya warung kopi unik ini beroperasi dari bonet kereta yang telah diubah suai. ARTIKEL BERKAITAN: Hampir setahun jual barang di eBay, macam-macam order dapat... paling win ramai di Finland nak ubat nyamuk! - “Pernah terfikir, banyak sangat ke nyamuk di sana?” ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki tak puas hati barista cakap Melayu dengan kawan dari China ‘diserang’ - “Balik rumah minum kopi 3 in 1 lah” Siap ada mesin pengisar kopi dan kelengkapan lain, pelanggan pasti akan terasa seperti dilayani oleh seorang barista di restoran kopi popular. 'Warung' kopi ini mula tular di Twitter selepas dikongsi oleh beberapa pelayar yang mengunjunginya, sekali gus mengundang perhatian netizen kerana kelainan yang ditampilkan. Dimiliki oleh seorang bekas pengurus ladang, Mohd Fauzi Azmi, warung yang diberi nama KopiKupi ini mula beroperai pada Januari lalu, sebelum terhenti seketika gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Warung KopiKupi beroperasi sejak Januari lalu di tepi jalan yang lapang. Berkongsi cerita dengan mStar, Mohd Fauzi berkata idea untuk memulakan perniagaan berkenaan tercetus kerana minatnya terhadap minuman tersebut. "Saya memang berniat nak buka perniagaan warung kopi selepas menamatkan perkhidmatan dalam sektor swasta pada Ogos tahun lalu. "Idea meniaga daripada bonet kereta ni, saya cuba cipta kelainan sedikit. Sebenarnya, di luar negara sudah banyak konsep macam ni, di Malaysia hanya ada beberapa saja. "Memandangkan kereta lama saya nak jual pun tak laku, jadi saya ubah suai untuk realisasikan menjadi seperti yang diinginkan," ujar lelaki berusia 51 tahun ini. Ini bukan kopi campuran... tapi kopi tulen. Saya cuba untuk membudayakan kopi dengan harga mampu milik tapi sedap. MOHD FAUZI AZMI PEMILIK KOPIKUPI Bercerita lebih lanjut, Mohd Fauzi berkata kopi yang ditawarkan di KopiKupi adalah menggunakan biji kopi tulen yang dipanggang dan dikisar sendiri dan ditawarkan dengan harga mampu milik. "Ini bukan kopi campuran... tapi kopi tulen. Saya cuba untuk membudayakan kopi dengan harga mampu milik tapi sedap. "Saya bersyukur ramai yang mula mengenali selepas dikongsikan oleh kawan-kawan dan pelanggan yang berkunjung. "Kebanyakan yang datang terdiri daripada dua golongan, iaitu penggemar kopi tegar, dan pelanggan yang mahu mencuba selepas viral," ujarnya sambil menambah, warungnya beroperasi di Ulu Tiram, Johor. Penyediaan secawan kopi semuanya dilakukan sendiri oleh Mohd Fauzi termasuk memanggang biji kopi dan mengisarnya. Dek kerana kuasa viral, siapa sangka warung kopi kecilnya pernah dikunjungi anakanda-anakanda Sultan Johor. "Itulah antara kenangan manis sepanjang buka warung ini. Selain itu, sokongan kawan-kawan, penggemar kopi dan juga pelanggan, dengan hebahan yang dilakukan, menguatkan semangat saya. "InsyaAllah KopiKupi akan cuba sustain kualiti demi kepuasan pelanggan," kata bapa kepada empat orang anak ini. Pelanggan tidak melepaskan peluang merasai sendiri kopi yang disediakan di KopiKupi. Tambah Mohd Fauzi, dia kini sedang dalam fasa perancangan untuk membuka cawangan kedua warung kopi di kampungnya yang terletak di Sungai Besar, Selangor. "InsyaAllah, mengikut perancangan, ia akan dibuka awal tahun depan. Dalam masa yang sama, saya juga sedang merancang untuk membuka satu atau dua warung dengan konsep boot kereta, sedikit masa lagi," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!