suria

Dah 40 tahun jual mi kawah tiba-tiba bisnes merudum, Cik Jah ‘superwoman’ happy je layan pelanggan - "Mak tak merungut, cuma..."

Cik Jah sudah berniaga pasar malam selama 40 tahun.

KETABAHAN seorang peniaga pasar malam berusia 67 tahun berhadapan dugaan akibat pandemik Covid-19 ternyata menyentuh hati anak perempuannya.

Kisah kejatuhan perniagaan mi kawah yang diusahakan sejak 40 tahun lalu diceritakan sendiri oleh Nurhanani Hamidon, 29, menerusi Twitter sehingga ia meraih perhatian ramai.

Mesra disapa Niesh, dia mengakui kagum dengan semangat juang ibunya, Khadijah Saari atau Cik Jah yang baru memulakan semula operasi perniagaan sejak pertengahan Julai lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dugaan paling besar sepanjang 24 tahun berniaga” - Peniaga pasar malam akui terpaksa pelan-pelan kayuh selepas PKP

ARTIKEL BERKAITAN: Kasihan! Seharian tunggu pelanggan, sebungkus nasi kukus pun tak laku... nasib gadis berubah esok hari selepas buat TikTok

"Mak dah berniaga pasar malam selama 40 tahun, sebelum saya dilahirkan lagi. Kalau dulu, dalam sehari boleh habis 15 ke 25 kilogram (kg).

"Sekarang lima kg pun belum tentu habis. Memang perniagaan ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," ujarnya kepada mStar.

Peka dengan kesedihan yang melanda hati ibunya, Niesh bagaimanapun terharu melihat wanita kesayangannya itu tetap bekerja keras biarpun hasil jualan jauh merosot sejak mereka kembali berniaga.

Malah kata wanita itu lagi, ibunya juga ada menyuarakan isi hati yang terbuku, namun tidak pernah merungut akan apa yang berlaku.

Niesh dan ibunya, Cik Jah kembali berniaga pada pertengahan Julai lalu.

"Usaha kerja keras mak sama seperti dulu. Ada orang, tak ada orang... mak tetap berniaga.

"Mak tak merungut, cuma dia ada luahkan rasa sedih. Dari air muka, percakapan, saya tahu mak sedih.

"Pelanggan tak ramai selepas kami mula berniaga. Mungkin ramai lagi yang tak tahu," ujarnya.

Mak macam superwoman, dia tak pamerkan kesedihan dia... happy layan pelanggan.

NURHANANI HAMIDON

Bercerita mengenai perniagaan keluarganya itu, Niesh berkata ia sebelum ini diusahakan bersama arwah bapanya yang meninggal dunia akibat sakit jantung pada tahun 2011.

Imbasnya lagi, ibunya hanya berehat selama sebulan selepas pemergian itu sebelum kembali berniaga seperti biasa untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.

"Dari kecil, umur enam tahun saya dah tolong mak dan arwah ayah berniaga. Cuma pada 2011, ayah meninggal dengan mengejut.

"Mak tak berniaga sebulan lepas arwah ayah meninggal. Kemudian dia buat keputusan untuk berniaga semula, sebab itu sumber rezeki kami.

Niesh mengakui bersyukur dengan sokongan yang diberikan orang ramai menerusi Twitter.

"Saya tengok mak, sangat senang biasakan diri. Sudah tentu dia sedih. Tapi saya nampak kekuatan dia.

"Mak macam superwoman, dia tak pamerkan kesedihan dia... happy layan pelanggan," ujarnya.

Dalam pada itu, Niesh turut bersyukur dengan sokongan warga Twitter setelah dia berkongsi mengenai kisah dugaan itu.

Berniaga di pasar malam Taman Tuanku Jaafar, Senawang, Negeri Sembilan, gerai mi kawah ibunya turut menawarkan hidangan kuey teow kawah, nasi goreng, mihun dan laksa penang.

Tambah Niesh, dua kakaknya sudah berkahwin dan kini hanya dia dan ibunya yang mengusahakan perniagaan itu.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain