suria

Guru sebak jumpa pakcik berjubah sesudah solat, selama ini tersalah beri ‘me time’ kepada isteri - “Entah bila boleh bersama dia”

Seorang lelaki berkongsi kisah mengenai arwah isterinya kepada seorang guru selesai solat Maghrib. -Gambar hiasan

KEHILANGAN insan tersayang pastinya memberi kesan dalam hidup seseorang.

Namun, tidak bermakna kenangan dan memori bersama insan yang telah pergi seharusnya dilupakan.

Seorang guru berkongsi pengalamannya solat di masjid, yang mana pertemuannya dengan seorang lelaki tua benar-benar membuatkan hatinya tersentuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru terkenangkan bapa selepas 2 kali terserempak seorang pakcik, rahsia pecah selesai makan mi goreng dan air suam

ARTIKEL BERKAITAN: "Ah silap tanya ke ni?" - Guru tak sengaja cungkil kisah pekerja kedai runcit makan mi segera... dah beli plastik sampah, terus tapau nasi kedai sebelah

"Habis solat Maghrib kat masjid masa tu, saya terus ke rak kasut. Ada kerusi, saya duduk kat kerusi tu nak pakai kasut.

"Sebelah saya ada seorang pakcik, berjubah. Tengah termenung, jauh dia termenung. Saja saya tegur dia jauh termenung pakcik? Tiba-tiba muka dia berubah," tulisnya menerusi halaman Facebook Muhammad Yusof.



Seorang lelaki hidup bersendirian selepas kematian isteri. -Gambar hiasan

Air muka lelaki berkenaan yang berubah ternyata mengejutkan Muhammad Yusof.

"Saya takut juga masa tu. Takut tersalah cakap," kata Muhammad Yusof.

"Pakcik sebenarnya teringat arwah bini pakcik. Dia baru je meninggal," kata pakcik berkenaan sehingga menitiskan air mata.

Keadaan lelaki yang beremosi itu membangkitkan rasa bersalah guru tersebut sebelum dia memohon maaf.

Tidak berkecil hati, sebaliknya pakcik berkenaan mengimbas kembali kisahnya bersama arwah isteri.

"Selalu memang kami pergi masjid berdua. Masih teringat-ingat pakcik duduk kat kerusi ni tunggu dia habis solat Isyak.

"Sekarang ni, tinggal pakcik seorang. Entah bila agaknya pakcik boleh bersama dia semula," ujar pakcik itu.



Posting Muhammad Yusof meraih perhatian netizen.

Mendengar kisah tersebut, Muhammad Yusof terus berasa sebak.

"Sesebak-sebaknya. Tak terkeluar suara saya masa tu. Betullah orang kata, rasa kehilangan tu sangat-sangat pedih," katanya.

Betullah orang kata, rasa kehilangan tu sangat-sangat pedih.

MUHAMMAD YUSOF

Malah kata Muhammad Yusof, dia mempelajari sesuatu daripada pakcik berkenaan pada malam itu berhubung pasangan suami isteri.

"Kadang-kadang saya selalu terfikir bahawa 'me time' atau masa berkualiti untuk isteri ni ialah kita sebagai suami bagi duit kemudian biar isteri keluar jalan-jalan, shopping atau bawa dia pergi urut.

"Jadi, dengan buat benda-benda tu kita rasa isteri kita dah cukup boleh lepaskan segala tekanan isteri, tapi sebenarnya saya tersilap.

"Ada 'perkara besar' yang masih tertinggal sebenarnya iaitu kalau boleh sekali-sekala bawalah isteri kita ke masjid untuk dia ada 'hubungan berkualiti' dengan Yang Maha Pencipta," katanya.



'Masa berkualiti' dengan membawa isteri ke masjid. -Gambar hiasan/Foto muis.org.my

Menurut guru itu, walaupun boleh beribadat di rumah tetapi solat di rumah Allah mewujudkan satu perasaan yang nyata berbeza.

"Kita beritahu pada isteri, lupakan segala kerja, lupakan segala masalah, fokus je pada ibadat. Anak kita (suami) jagalah kejap dalam kereta atau kat perkarangan masjid pun boleh, kan? Anak pun nanti terbiasa dengan suasana masjid.

"Pakcik ni ajar kita semua bahawa, 'me time' yang terbaik ialah biar isteri ada 'masa berkualiti' dengan Tuhan. Bila yang paling utama ni dah settle, insyaAllah Allah akan permudahkan untuk membuka segala pintu kebahagiaan, pintu rezeki, pintu kesihatan nak jaga keluarga, yang selama ini kita nak kecapi sebagai pasangan suami dan isteri.

"Inilah yang pakcik dan arwah isterinya dapat kecapi di dunia sebelum mereka dapat bersama di syurga," kata Muhammad Yusof yang mengingati momennya bersama pakcik itu sampai bila-bila.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain