suria

“Penderhakaan yang tidak boleh dimaafkan, ada sebab tak lapor polis” - Uncle Kentang dedah kisah bapa malang... anak perempuan, teman lelaki jual kerusi roda elektrik

Kisah Daud yang dikongsi Uncle Kentang mengundang perhatian ramai di Facebook.

SEBUT sahaja Uncle Kentang, pasti kita terbayang wajah yang sering melatari paparan media sosial dengan pelbagai kerja kebajikan di negara ini.

Terbaharu, perkongsian Uncle Kentang atau nama sebenarnya Kuan Chee Heng mengenai lelaki orang kelainan upaya (OKU) dikenali sebagai Daud turut mengundang pelbagai reaksi netizen.

Ada yang hiba, tak kurang juga yang berang apabila kerusi roda elektrik milik lelaki itu didakwa dicuri sebelum dijual oleh seorang lelaki, dipercayai kenalan anak perempuan Daud sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Uncle Kentang luah perasaan... puji Melayu sambil imbau kisah ayah diterima baik walau bergelar pendatang - “Biar aku notakan sebelum pulang ke kubur”

ARTIKEL BERKAITAN: Memang ramai tertanya-tanya, akhirnya Uncle Kentang buka kisah sedih yang lama disimpan - “Wajah ayah kaku di bangku panjang, ditutup tikar mengkuang”

Menerusi beberapa siri perkongsian di Facebook, Uncle Kentang turut mencabar anak perempuan Daud agar menghubunginya sebelum dia sendiri membuat laporan polis.

Hasil siasatan, Uncle Kentang mendakwa kerusi roda elektrik berkenaan telah dijual di Setapak, Selangor oleh dua individu itu, dipercayai pasangan kekasih.

Terbaharu, Uncle Kentang menerusi Facebook pada Rabu mendedahkan tidak akan membuat laporan polis atas kejadian itu.

Uncle Kentang mengalir air mata sewaktu bertemu Daud di Melaka.

"Mengapa aku tak buat laporan polis bagi pihak Daud? Aku juga seorang ayah. Aku mengerti. Mana ada ayah nak burukkan anak, kalau tak sahih anak buat salah.

"Daud berpesan dalam bisikan, anak aku, seorang sahaja... aku faham maksud beliau. Kasih sayang bapa kepada anak tak pernah luntur.

"Tapi ayat ayah dia saya faham. Buat saya hiba... terkenang arwah ayah saya sendiri," tulisnya.

Curi dan jual kerusi roda ayah dan buat cerita dongeng di kedai adalah satu penderhakaan yang sungguh tidak boleh di maafkan.

UNCLE KENTANG

Menurut Uncle Kentang, dia nekad mahu mempertahankan Daud dan enggan membiarkan dia dibuli sesiapa lagi selepas ini.

Tambahnya lagi, dia yang berjumpa Daud di Melaka pada Selasa turut mengalirkan air mata dan berharap lelaki itu tabah menghadapi dugaan.

Malah, dia memaklumkan berjaya menebus semula kerusi roda eletrik itu dengan harga RM1,500.

"Kerana kasih sayang abah kepada anak. Tapi anak, entah lah. Semoga Daud diberi ketabahan diri dalam ujian ini.

"Apa salah ayah pun... kalau ada, tapi curi dan jual kerusi roda ayah dan buat cerita dongeng di kedai adalah satu penderhakaan yang sungguh tidak boleh di maafkan.

"Aku tak tahu nak kata apa, hanya air mata mengiringi Daud... semoga beliau banyak sabar dengan anak sendiri.

Uncle Kentang memaklumkan pihaknya berjaya menebus semula kerusi roda eletrik milik Daud yang dipercayai dijual oleh anak dan kawan anaknya.

"Begitu selesa Daud mengendalikan kerusi roda eletrik tersebut. Satu petang yang hiba di Melaka. Kami bergegas ke Melaka setelah dapat kesan di mana Daud berada, selepas kami tebus kerusi roda tersebut," kongsi Uncle Kentang lagi.

Dalam pendedahan berasingan di Facebook, Uncle Kentang turut berpesan kepada anak Daud agar menghentikan pembohongan.

Malah dakwa Uncle Kentang, dia juga mempunyai rekod kesalahan lampau anak Daud dan rakannya itu.

Dalam pada itu, rata-rata netizen turut meninggalkan komen menyelar tindakan anak Daud dan mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan.

Di Facebook, Uncle Kentang turut berkongsi beberapa foto pertemuannya dengan Daud yang mengundang hiba dalam kalangan netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain