suria

Jenazah ibu belum dikebumi tapi anak ceria di tanah perkuburan, sehinggalah kain penutup wajah diselak... - “Sesekali dia ketawa bersama rakan”

SPJM menguruskan proses mengebumikan jenazah. Foto Facebook Muhammad Rafieudin Zainal Rasid

PEMERGIAN insan tersayang pastinya merupakan satu perkhabaran sedih.

Wajah dan kesedihan mereka yang ditinggalkan semestinya dapat dilihat, dan sekiranya tidak kuat semangat sudah tentu siapa yang melihatnya juga akan mengalirkan air mata.

Namun, sebuah skuad yang menguruskan jenazah berdepan dengan situasi yang berbeza apabila seorang anak kelihatan ceria ketika proses pengurusan jenazah ibunya.

ARTIKEL BERKAITAN: "Arwah elok je masak nasi makan tengah hari" - Dua anak tergamam, ibu 'pergi' selepas tinggalkan hidangan terakhir

ARTIKEL BERKAITAN: "Mak tak nak jauh-jauh" - Belum meninggal, Opah dah pilih lokasi kebumi jenazahnya... seminggu sebelum 'pergi' mimpi dibawa ke tempat lain

Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafieudin Zainal Rasid berkata, pasukannya menyelesaikan satu kes wanita warga emas yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada pagi Khamis.



Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) berkongsi kisah mengenai seorang anak kepada arwah wanita warga emas. Gambar hiasan

Menurut beliau, jenazah diuruskan di Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Slim, Perak untutk dikebumikan di sebuah tanah perkuburan di Kampung Sungai Gesa.

"Ketika saya hadir untuk melihat proses pengurusan jenazah, anak arwah datang bertemu dengan saya dengan wajah yang ceria.

"Sesekali dia ketawa bersama rakan-rakannya seolah-olah tiada apa yang berlaku. Saya menjadi hairan dan terfikir adakah anaknya itu tidak sedih dengan kematian ibunya," tulisnya menerusi satu perkongsian di halaman Facebook beliau.

Lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie, beliau bagaimanapun berkata, keceriaan anak arwah hanya seketika sehingga melihat wajah jenazah.



Ustaz Rafie.

"Sehinggalah kain yang menutup wajah ibunya itu dibuka, barulah wajahnya berubah sayu lantas dia memeluk ahli keluarganya yang lain sambil menangis teresak-esak.

"Begitulah keadaan sebahagian manusia di saat kehilangan orang yang dicintai. Dia sebolehnya ingin menyembunyikan kesedihan yang ditanggung.

Begitulah keadaan sebahagian manusia di saat kehilangan orang yang dicintai. Sebolehnya ingin menyembunyikan kesedihan yang ditanggung.

MUHAMMAD RAFIEUDIN ZAINAL RASID

"Apatah lagi jika dia seorang lelaki egonya terkadang mengatasi perasaannya. Namun sekuat mana pun air mata dan perasaan ditahan, pasti akan luntur juga bercucuran air mata saat melihat wajah ibu kita diam membisu," ujarnya.

Berkongsi pengalaman, Ustaz Rafie sering melihat betapa kuatnya anak-anak yang kehilangan ibu ayah sehingga masih boleh tersenyum ketika berada bersama orang ramai.



Perkongsian Ustaz Rafie di Facebook.

"Tetapi apabila tiba di rumah dan tetamu mula beransur pulang, barulah perasaan sedih dan sunyi itu timbul dan semakin menebal lalu mengalirlah air mata deras sehinggalah dia tidur kepenatan.

"Usah menipu diri sendiri wahai anak. Menangislah saat ibu ayahmu meninggal dunia. Ketahuilah tangisanmu itu bukanlah suatu perkara yang dilarang agama.

"Bahkan ia merupakan satu sunnah tanda menzahirkan kesedihan atas kehilangan orang yang tersayang," katanya.

Namun beliau menegaskan bahawa meratapi kematian adalah dilarang kerana tindakan tersebut boleh memudaratkan jenazah.

"Apa pun teruslah berdoa dan datang menziarahi ahli kubur kerana sesungguhnya satu saat nanti ketika giliran kita pula tiba, kita juga mengharapkan hal yang sama juga daripada mereka yang masih hidup," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain