suria

Ibu resah buat andaian kematian, derita 8 tahun anak sakit kronik berakhir ketika azan Maghrib - “Kalau tak ada duit ustaz boleh bantu ke?”

Urusan pengebumian seorang jenazah kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang meninggal dunia akibat penyakit kronik. -Foto Facebook Muhammad Rafieudin Zainal Rasid

KEMISKINAN sememangnya menjadi cabaran besar untuk meneruskan kehidupan, malah menjadi masalah buat mereka yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit.

Begitulah yang dialami seorang wanita yang resah dan gelisah memikirkan anak perempuannya yang sedang nazak di hospital.

Bimbang dengan keadaan itu, wanita berkenaan mengumpul kekuatan untuk menghubungi Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM).

ARTIKEL BERKAITAN: "Mak tak nak jauh-jauh" - Belum meninggal, Opah dah pilih lokasi kebumi jenazahnya... seminggu sebelum 'pergi' mimpi dibawa ke tempat lain

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki hidup sebatang kara maut jatuh bangunan, kehadiran juruteknik tak berduit bantu urus pengebumiannya buat team urus jenazah kagum

"Lewat petang semalam (Ahad), saya dihubungi melalui WhatsApp oleh seorang wanita yang meminta bantuan pengurusan jenazah seandainya anak perempuannya yang sedang tenat ketika itu meninggal dunia.

"Dia menghubungi kami lebih awal kerana bimbang kematian anaknya nanti sukar untuk diuruskan berikutan si ibu itu tiada duit untuk menguruskannya," tulis Pengerusi Eksekutif SPJM, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid di halaman Facebook beliau.

"Saya betul-betul tak ada duit nak uruskan dia. Begitulah keluhan si ibu kepada kami," tambah Muhammad Rafieudin memetik kata-kata ibu berkenaan sekitar pukul 6 petang.



Mesej yang dihantar oleh seorang wanita mengenai anaknya yang nazak.

Bercakap kepada mStar, Muhammad Rafieudin memberitahu, anak perempuan wanita yang menghubunginya itu lewat petang Ahad itu berusia lapan tahun dan menghidap penyakit kronik sejak lahir.

"Pada mulanya wanita itu hanya menghantar mesej kepada saya untuk meminta bantuan seandainya anaknya yang nazak itu meninggal dunia.

"Anak perempuannya menghembuskan nafas terakhir ketika azan Maghrib sedang berkumandang di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang semalam selepas hantar mesej lewat petang," katanya.

Saya betul-betul tak ada duit nak uruskan dia. Begitulah keluhan si ibu kepada kami.

MUHAMMAD RAFIEUDIN ZAINAL RASID

Lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie, beliau berkata, tiada butiran lanjut mengenai wanita yang menetap di Kuantan itu mahupun anak-anaknya yang lain, selain anaknya yang menghidap penyakit kronik itu.

"Dia call saya selepas anaknya meninggal dunia. Dia menangis dan mengharapkan bantuan kami untuk menguruskan jenazah anaknya," ujarnya.



Jenazah dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan.

Menurut Ustaz Rafie, kos pengurusan jenazah kanak-kanak perempuan itu iaitu sebanyak RM400 ditanggung oleh pihak SPJM.

Beliau menambah, jenazah diuruskan oleh pasukan SPJM Negeri Pahang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan selepas Zohor pada Isnin.

"Wanita itu call saya dan rasa bersyukur kerana SPJM sudi membantunya. Terima kasih kepada para penyumbang atas sumbangan yang diberikan selama ini.

"Semoga Allah SWT memudahkan urusan kita sebagaimana kita berusaha memudahkan urusan orang lain yang sedang dalam kesusahan. Amin," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain