BARU-BARU ini tular mengenai kisah seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan usia sembilan tahun merayau-rayau di sekitar pekan Pandamaran, Klang sambil meminta ihsan orang awam, sebagaimana yang dimuat naik oleh seorang pelayar di Facebook. Menerusi perkongsian itu, pelayar tersebut berkata kanak-kanak lelaki berkenaan mengetuk tingkap keretanya dan meminta wang RM5 untuk membeli nasi goreng, selain bercerita keadaan keluarganya yang susah dan tiada bekalan makanan di dapur. Kisah kanak-kanak tersebut menjadi perhatian ramai yang simpati dengan keadaan keluarganya, termasuk pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew. ARTIKEL BERKAITAN: “Minta maaf, saya salah” - Ebit Lew trending di Twitter, patuh disuruh mohon maaf secara terbuka selepas sediakan bas buat pelajar IPT ARTIKEL BERKAITAN: 20 tahun tinggal di longgokan sampah, keluarga daif dapat kehidupan baharu selepas 2 jam Ebit Lew tiba - “Kita satu bakul sampah cepat buang ke luar” Tanpa berlengah, pendakwah yang dikenali ramai kerana aktif melakukan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan segera menyantuni keluarga kanak-kanak berkenaan. Berkongsi cerita ketika menziarahi rumah kanak-kanak itu baru-baru ini, Ustaz Ebit tidak dapat menahan rasa sayu apabila melihat sendiri kehidupan keluarga 13 beranak tersebut yang serba kekurangan. Ustaz Ebit menziarahi keluarga kanak-kanak berusia sembilan tahun yang viral baru-baru ini. "Sayu rasa hati baca pasal seorang adik darjah 3 ini nak pinjam RM5. Ada 11 adik beradik. Katanya selalu pusing-pusing jalan di Pandamaran. Sampai di rumahnya petang. Terus jumpa mak ayah dan adik beradik yang lain. "Saya tengok rumahnya dan ziarah mak ayahnya. Berbual dengan mereka. Baik-baik semuanya. Katanya syukur dah dibantu zakat Selangor RM900 sebulan. Cuma kadang anak-anak ni suka merayau ustaz. "Saya terus kata siapa nak masuk madrasah. Sekolah agama. Asrama. Nanti ustaz bayarkan yuran semua. Adik keluar dari sini. Esok balik jadi imam besar. Cerita-cerita dan motivasi. Semua nak pergi. Saya bawa 4 orang terus daftar madrasah. Terus shopping dan beli semua pakaian lengkap dan makan KFC," tulisnya. Kisah kanak-kanak lelaki berkenaan mendapat perhatian ramai selepas dimuat naik oleh seorang pelayar di Facebook. Ustaz Ebit turut tersentuh melihat keterujaan kanak-kanak berkenaan bersama tiga lagi adik beradiknya yang gembira membuat persiapan untuk memasuki madrasah tahfiz yang terletak di Melaka. "Excited nak masuk asrama. Dah lewat kami terus ke Melaka. Ustaz dan ustazah di sana semua dah tunggu walau lewat malam. Terharu rasa. "Di Melaka kami ke Madrasah Tahfiz Al Quran Ibnu Talib untuk tiga lelaki tu. Manakala adik perempuan tu saya hantar di Sekolah Pondok Tahfiz Tuan Guru Hj Husin. Baiknya akhlak anak dekat dua madrasah ni," tulis Ustaz Ebit. Ustaz Ebit membawa kanak-kanak berkenaan dan tiga lagi adik beradik membeli persiapan sebelum memasuki madrasah tahfiz. Apa yang paling menyentuh hati, Ustaz Ebit berkata keempat-empat adik beradik itu menangis sebelum dia berangkat pulang kerana terlalu gembira diberi peluang untuk menuntut ilmu. "Empat adik ni sebelum bergerak balik berlari salam menangis cakap terima kasih. Bahagia... best sangat nak masuk sini. Puas rasa. Bakal pemimpin masa depan. "Terima kasih semua yang tag. Terima kasih Dzul Ikhwan yang bertemu adik ni. Rezeki takdir. Siapa sangka kan? Tadi viral tepi jalan sekarang bakal jadi daie hafiz alim. Yang akan membantu orang miskin dan anak yatim," tulisnya lagi. Posting tersebut sehingga kini meraih 1,900 shares dan juga ribuan komen netizen yang rata-ratanya memuji pendekatan pendakwah itu yang menghantar kanak-kanak berkenaan mendalami ilmu agama. Empat beradik tersebut kini menjadi pelajar di sebuah madrasah dan sekolah tahfiz di Melaka. "Saya sangat terharu. Adik-adik tu nak belajar kat madrasah. Semoga adik-adik semua dapat menjadi pendakwah macam Ustaz Ebit suatu hari nanti," kata Zalida Ida. "Syukur anak-anak ini rezeki masuk madrasah, saya pun teringin nak anak-anak belajar madrasah," tulis Eima Dswkreatif. "Pernah terbaca ada individu yang viralkan cerita yang kurang baik sedikit tentang adik ini dan keluarganya. Tapi ustaz ambil pendekatan berbeza. Terus datang membantu dan menyantuni mereka dengan sopan dan bersangka baik. Tahniah ustaz," kata Norhuda Kamal pula. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! TONTON VIDEO PILIHAN!