suria

Akui frust berjualan di zon merah, peniaga nasi lemak tak jangka ‘pelanggan bertambah’ selepas bantu kerja kebajikan – “Jangan berhenti walau kecewa”

Heldi (kiri) mengusahakan gerai nasi lemak di Seremban sejak lima tahun lalu. foto ihsan Heldi Mohammad

WALAUPUN Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membenarkan aktiviti ekonomi beroperasi, namun bisnes di kawasan zon merah Covid-19 sedikit sebanyak terjejas.

Begitulah yang dialami oleh seorang peniaga nasi lemak di Seremban, Negeri Sembilan sejak PKPB dikuat kuasakan pada 5 November lalu.

"Aku sekarang koyak giler niaga. Sejak PKPB ni jualan makin merosot. Kadang-kadang niaga dapat balik modal je, kadang-kadang tu kena top up modal lagi adalah.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa hilang banyak 'job' sebab PKPB, anak sanggup buat kerja sanitasi walau ada ijazah - "Tak nak ayah berpeluh pakai PPE, biar saya buat"

ARTIKEL BERKAITAN: Tawar sushi RM1, niat bapa 2 anak sedekah 50 biji tiap Jumaat bawa rezeki berganda - "Satu hari nak buka but kereta bukan jual sushi, tapi beri percuma"

"Tapi aku cuba untuk meneruskan selagi masih boleh pertahankan modal yang ada sikit ni. Walau macam mana dugaan, aku tetap bersyukur masih boleh makan," tulisnya menerusi satu ciapan di laman Twitter sehingga diulang kicau lebih 7,000 kali.



Sebelum wabak Covid-19, gerai Heldi dikunjungi ramai pelanggan.

Peniaga berkenaan, Heldi Mohammad berkata, ciapannya itu sekadar luahan rasa hati di laman sosial berdasarkan situasi semasa dan tidak menyangka ia menjadi tular.

Namun, pemuda berusia 34 tahun itu mendedahkan sejak Seremban menjadi zon merah dengan peningkatan kes Covid-19, jualan nasi lemaknya merosot.

"Dari tiga tong nasi setiap hari kepada satu tong sahaja. Sebabkan banyak kes Covid-19, orang ramai tidak banyak keluar rumah atau mereka mula bekerja dari rumah.

"Perubahan itu menyebabkan pelanggan berkurangan. Apapun, saya reda dan tetap buka gerai kerana itulah sumber rezeki saya," katanya kepada mStar sambil menambah berniaga nasi lemak sejak lima tahun lalu.



Keadaan gerai lengang ketika Seremban mula-mula menjadi zon merah.

Heldi berkata, secara kebetulan pada minggu PKPB dilaksanakan di Seremban, daerah itu dilanda banjir kilat susulan hujan lebat selama beberapa jam.

"Penduduk di kawasan banjir bukan sahaja terjejas dari segi penempatan, malah sumber pendapatan mereka termasuk makan dan minuman.

"Posting saya yang tular itu menarik perhatian orang ramai untuk membeli nasi saya untuk disedekahkan kepada mangsa-mangsa banjir," ujarnya yang berasal dari Kuala Lumpur.



Bungkusan nasi untuk disumbangkan kepada mangsa banjir.

Dia yang kini menetap di Seremban memberitahu bisnesnya menjadi platform untuk menghulurkan sumbangan lebih 500 bungkus nasi selama dua setengah hari.

"Saya bukan sahaja membuat nasi lemak, tapi juga nasi dan lauk bercampur bagi memenuhi hidangan makan tengah hari dan malam pada hari pertama serta kedua.

Saya percaya pada rezeki. Yang penting kita jangan putus asa dan terus berusaha

HELDI MOHAMMAD

"Ini termasuk sarapan buat mereka pada hari ketiga. Sepanjang tiga hari ini, gerai tidak dibuka kerana tumpuan diberikan sepenuhnya untuk sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir," katanya.

Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, dia turut membantu memberikan sumbangan makanan kepada anak-anak yatim.



Antara nasi yang disumbangkan kepada mangsa banjir.

Heldi berkata, dia bersyukur kerana rezekinya semakin bertambah selepas membantu membuat kebajikan menerusi sumbangan orang ramai.

"Syukur alhamdulillah, walaupun masih PKPB di Seremban, pelanggan semakin bertambah datang ke gerai. Ada pelanggan setia, ada juga pelanggan baharu.

"Saya percaya pada rezeki. Yang penting kita jangan putus asa dan terus berusaha. Walaupun tak banyak untung, atau tak balik modal, jangan berhenti berniaga walaupun kecewa.

"Untung rugi adat orang bisnes. Kalau tak kuat, janganlah jadi peniaga. Mana-mana pun ada cabaran dan dugaannya termasuk bisnes. InsyaAllah, rezeki itu ada di mana-mana," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain