suria

Aduh pening! Berlari 21km dalam bilik hotel, bapa 2 anak selamba ulang-alik lebih 2,000 kali – “Jarak pintu ke tingkap 7.4 meter”

Hadzry (gambar kecil) melakukan larian maya ketika menjalani kuarantin wajib di sebuah bilik hotel di Kuching, Sarawak. foto ihsan Mohamad Hadzry Othman

BERSESUAIAN dengan norma baharu, larian maya (virtual run) diperkenalkan berikutan pandemik Covid-19 melanda negara.

Walaupun acara ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada, namun seorang pemuda bertindak berlari secara berulang-alik di sebuah bilik hotel.

Percaya atau tidak, dia melakukan larian maya sejauh 21 kilometer secara berulang-alik di dalam bilik yang memuatkan dua katil bujang itu. Wow! Bukan biasa-biasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Nenek 12 cucu, 3 cicit bangkit! Nak lari 71 km selepas tiga tahun berturut-turut lalui episod hitam - "Mula-mula mak tertinggal belakang..."

ARTIKEL BERKAITAN: "Dia ajak kawan-kawan tapi semua malas" - Dari plan 'night run' tak jadi, tunggu di garisan penamat... akhirnya ke jenjang pelamin

Pemuda berkenaan, Mohamad Hadzry Othman memberitahu, dia sepatutnya mengambil bahagian dalam larian maya yang dijadual diadakan pada 5 hingga 13 Disember ini.



Kiraan larian maya untuk separuh maraton 21km.

Namun, pemuda yang bekerja di Kuala Lumpur itu membuat rancangan saat akhir untuk pulang bertemu keluarganya di Kuching, Sarawak, sehari sebelum acara bermula.

"Saya mendaftar untuk menyertai larian maya lebih awal. Tapi pada saat akhir, saya diberi peluang untuk bercuti dan pulang ke kampung bertemu isteri dan anak-anak di Kuching.

"Secara kebetulan ketika ini, semua yang tiba di Sarawak perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan terlebih dahulu," katanya kepada mStar.



Jarak antara pintu dan tingkap bilik hotel.

Lebih mesra disapa Hadzry, anak kelahiran Kuching itu berkata, tempoh kuarantin yang dijangka berakhir pada 18 Disember menghalangnya untuk melakukan larian maya di luar.

"Tempoh penganjuaran adalah sehingga 13 Disember, jadi apa pilihan yang saya ada selain melakukan larian maya seorang diri di dalam bilik hotel.

"Jadi, saya memulakan larian maya bagi kategori separuh maraton iaitu 21 kilometer (km) seawal pukul 12.05 pagi Sabtu, selepas lima minit penganjuran bermula," kata lelaki berusia 39 tahun yang menjalani kuarantin di sebuah hotel di Kuching.



Hadzry mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan senaman.

Menurut bapa dua anak itu, keadaan bilik hotel yang tidak begitu luas untuk aktiviti larian memaksanya berulang-alik dari pintu ke tingkap.

"Saya juga perlu mengubah kedudukan kerusi, meja bagi membolehkan saya berlari ke pintu bilik dan patah balik ke tingkap dengan lebih lancar, dan melakukan pusingan yang sama berulang kali.

"Cukup separuh larian iaitu 10.5km pada pukul 2.30 pagi, saya berhenti untuk tidur beberapa jam dan sambung semula selepas Subuh dan larian dapat diselesaikan selepas kira-kira 8 jam, hampir ke pukul 8 pagi.

Kebiasaannya saya berlari tiga kali seminggu. Memandangkan kuarantin selama 14 hari, jadi saya akan melakukan larian dan senaman di dalam bilik

MOHAMAD HADZRY OTHMAN

"Aplikasi hanya mencatatkan jumlah kilometer dan durasi, tidak dapat mengira berapa kali saya patah balik. Tapi saya ukur jarak dari pintu ke tingkap adalah kira-kira 7.4 meter, jadi jumlah saya buat pusingan dianggarkan 2,838 kali!" ujarnya.

Hadzry menjelaskan bahawa larian maya itu membolehkan peserta boleh melakukan larian di mana-mana, pada bila-bila masa sepanjang tempoh penganjuran dan tiada 'cut-off' masa untuk setiap kategori.

Namun, katanya, jarak penuh perlu disempurnakan secara berterusan dalam satu percubaan (penyertaan) dalam tempoh itu.

Dalam pada itu, jurutera berkenaan mendedahkan ia adalah pertama kali menyertai maraton selepas berjinak-jinak melakukan aktiviti larian, sejak Jun lalu.



(gambar kanan) Hadzry ketika 135kg, dan (gambar kiri) dengan berat terkini 120kg.

Ini kerana katanya, dia perlu melakukan senaman selain mengambil pemakanan sihat berikutan penyakit darah tinggi dan kandungan kolestrol tinggi dalam badan.

"Jadi saya perlu mengamalkan gaya hidup sihat. Berat saya sebelum buat bersenam adalah 135 kilogram (kilogram) dan sekarang saya dah berjaya menurunkan kepada 120kg.

"Kebiasaannya saya berlari tiga kali seminggu. Alhamdulillah, kolestrol saya kini di paras normal. Memandangkan saya kuarantin selama 14 hari, jadi saya akan melakukan larian dan senaman di dalam bilik," katanya yang juga jurugambar sambilan.

Menyedari tempoh kuarantin yang panjang, Hadzry membuat persiapan awal dengan membawa pakaian dan kelengkapan sukan untuk aktiviti senaman dan larian di dalam bilik.

"Semasa saya buat separuh maraton 21km di bilik, saya lengkap berpakaian sukan serta kasut sukan. Memang mencabar, sudahlah pertama kali, lepas tu asyik patah balik tempat sama banyak kali sampai kepala pun jadi pening," katanya sambil menambah menyasarkan berat badan mencecah 100kg menjelang Januari 2021.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain