KASIH ibu membawa ke syurga, maka sebagai anak hendaklah berbuat baik dengan insan yang rela bersabung nyawa ketika melahirkan kita ke dunia ini. Siapa sangka seorang anak dalam diam-diam melakukan pengorbanan demi ibu tercinta. Menerusi satu perkongsian, seorang usahawan berhasrat untuk pergi ke pejabat untuk bertemu dengan pasukannya pada satu malam. ARTIKEL BERKAITAN: Ibu menangis, anak kerja di warung, belajar setakat SPM hantar kejutan bunga duit selepas gigih menabung 2 tahun - "Ini yang saya mampu bagi mak" ARTIKEL BERKAITAN: Mak suruh belanja 2 makcik cleaner makan, anak turutkan saja tanpa banyak bunyi... tak lama kemudian datang rezeki tak pernah dijangka "Saya sengaja naik ofis tadi. Ingat nak lepak dengan budak-budak team. Buka je pintu, tengok tak ada sesiapa. Lampu terbuka. Saya pun melangkah masuk. "Saya pandang kiri, saya pandang kanan. Nampak bawah meja seperti ada kelibat. Bulu roma mula meremang. Tangan kiri saya masih standby pegang pintu. Kot ada apa-apa senang nak lari," tulis ahli perniagaan yang lebih dikenali sebagai Azri Walter di laman Facebook. Punca bunyi yang kedengaran dari bawah meja di pejabat terjawab. Perkongsiannya itu menjadi tular dan dikongsi semula di grub Facebook Viral Media Johor. Azri berkata, bunyi yang kedengaran dari bawah salah satu meja di pejabat sememangnya menimbulkan tanda-tanya. "Bunyi macam ada aktiviti bawah meja. Saya tak puas hati. Saya cekalkan hati. Apa nak jadi, jadilah. Saya masuk menjenguk. "Saya pandang dia, dia pandang saya. Habil rupanya, tengah duduk sebelah rice cooker (periuk nasi). Aik Habil. Apa buat ni? Masak nasi ke lauk?" soalnya. Menurut Azri, riak wajah pemuda bernama Habil itu jelas dalam ketakutan, dan menggelupur berdiri sambil mencapai kopiah. "Eh tuan maaf tuan, saya masak nasi tak makan lagi. Saya hairan, Habil bukan minggu ni income dah seribu lebih ke? Kenapa tak makan dekat kedai bawah?” kata pakar motivasi bisnes itu mengimbas kembali perbualan mereka pada malam tersebut. Perkongsian Azri di laman Facebook. Rupa-rupanya kata Azri, pemuda tersebut memberikan wangnya kepada ibu pada minggu berkenaan untuk kegunaan keluarga. "Dia garu-garu kepala. Duit saya tuan, minggu ni nak bagi mak. Mak tak ada pun minta, cuma saya kasihan dekat mak. "Kalau saya bagi duit, mak boleh guna beli baju ke, makan ke, boleh pakai untuk adik adik sekali," ujar Azri memetik kata-kata Habil sambil menambah bapa anak muda itu meninggal dunia beberapa tahun lalu dan pemuda itu merantau dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur pada usia 19 tahun. Kadang-kadang tu kita takut sangat tak cukup duit kalau bagi mak. Sedangkan, rezeki Allah bagi. Lagi banyak kita buat baik dekat mak, insyaAllah hidup kita diredai AZRI WALTER Tindakan pemuda itu ternyata mengundang sebak sebelum beliau membuat keputusan untuk makan bersama dengan membeli lauk di kedai di bawah pejabat. Azri masih teringat kata-kata Habil yang begitu meninggalkan kesan sehingga membuatkannya tergamam: "Bukan apa tuan, saya pun tak tahu sampai bila mak ada. Sementara mak ada ni, saya nak bagi mak happy. Saya tak apa, tak ada tanggungan. Lagipun saya dah pandai nak cari duit setiap hari." Pengajaran daripada kisah pemuda bernama Habil. Berdasarkan pengalaman pada malam itu, beliau mempelajari bahawa sentiasa berkongsi rezeki dengan ibu bapa. "Kita ni, usah lokek dengan mak ayah, terutama sekali mak. Kadang-kadang tu kita takut sangat tak cukup duit kalau bagi mak. Sedangkan, rezeki Allah bagi. Lagi banyak kita buat baik dekat mak, insyaAllah hidup kita diredai. "Betul juga kata Habil. Waktu kecil, apa kita nak mak sedaya-upaya tunaikan. Kadang-kadang tu benda yang kita tak minta pun mak bagi. Bila dah besar, kalau tak minta, kita tetap kena bagi. Moga moga mak reda kita, Allah pun reda dengan kita. "Jom kita sama-sama buat baik dekat mak dan ayah. Jika mereka sudah tiada, kita bantu dengan doa anak yang soleh okay," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!