suria

Kelapa sawit berterabur depan rumah, pemuda keluar periksa 3 angsa peliharaannya dulu - “Tengah syok tengok TV, dengar bunyi berdentum”

Keadaan lori yang membawa muatan kelapa sawit terbalik di hadapan pintu pagar rumah. (gambar kecil) Tiga angsa yang dibela keluarga Abdul Salam. -foto Abdul Salam

SEORANG pemuda melalui detik cemas apabila digemparkan dengan bunyi dentuman kuat di luar rumah, ketika asyik menonton TV di ruang tamu.

Lebih mengejutkan apabila dia mendapati sebuah lori yang membawa kelapa sawit terbalik selepas terbabas di jalan utama, betul-betul di hadapan rumahnya.

Kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 1 petang itu mengakibatkan muatan yang dibawa bertaburan di bahu jalan, sehingga menutupi hadapan pintu pagar rumahnya

ARTIKEL BERKAITAN: Baru kerja seminggu, runner ini dah 3 kali 'diserang' haiwan! Dikejar angsa sampai belakang rumah, kotak barang jadi 'perisai'

ARTIKEL BERKAITAN: Angsa kenang jasa! Ramai kagum lihat hubungan sweet pemuda ini dengan Seman - "Kami rapat selepas saya bantu 'bini' dia"

Pemuda berkenaan berkata, kejadian berlaku pada Khamis lalu di jalan utama di hadapan kediaman keluarganya di Lubuk China di Alor Gajah, Melaka.



Lori terbalik di hadapan pintu pagar rumah.

Hanya mahu dikenali sebagai Abdul Salam, katanya, pada mulanya dia menyangka kejadian itu melibatkan tiga ekor angsa peliharaan keluarganya berada di jalan raya.

"Saya bergegas keluar dan nampak lori terbalik di hadapan rumah. Ingatkan tiga angsa terlepas keluar ke tengah jalan.

"Bila saya periksa, angsa-angsa tu ada dalam kawasan rumah. Di luar pintu pagar hanya sebuah lori kelapa sawit yang terbalik, tiada kenderaan lain," katanya kepada mStar.



Keadaan lori terbalik, dipercayai hilang kawalan disebabkan masalah kenderaan.

Abdul Salam berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan difahamkan lori tersebut terbabas disebabkan hilang kawalan kerana masalah di bahagian belakang.

Menurut pemuda berusia 21 tahun itu, lori tersebut membawa muatan kelapa sawit dari sebuah kilang yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Di sini kawasan kampung, kalau bukan angsa... ada lembu, itik dan ayam akan berkeliaran.

ABDUL SALAM

"Ketika kejadian, hanya saya dan dua adik yang berada di rumah, sementara mak dan ayah keluar ke bandar kerana mempunyai urusan.

"Longgokan kelapa sawit yang bertaburan di hadapan pintu pagar membuatkan laluan untuk masuk ke rumah tertutup. Itulah jalan keluar masuk di rumah kami," ujar anak kelima daripada enam beradik itu.



Kerja-kerja membersihkan jalan.

Pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Seri Iskandar, Perak itu berkata, ibu bapanya terpaksa berjalan kaki di celahan kelapa sawit dan longkang untuk masuk ke rumah.

"Jalan di hadapan rumah merupakan laluan utama untuk ke Linggi-Pedas di Negeri Sembilan. Keadaan jalan adalah lurus, dan ini adalah kali pertama lori terbalik di hadapan rumah.

"Di sini kawasan kampung, kalau bukan angsa... ada lembu, itik dan ayam akan berkeliaran. Apa pun nasib baik angsa-angsa kami okay," katanya sambil menambah keluarganya membela angsa-angsa tersebut sejak tiga tahun lalu.



Bapa Abdul Salam melihat kerja-kerja pembersihan di hadapan rumah.

Tambah Abdul Salam, pihak berkaitan mengambil masa kira-kira enam jam sehingga pukul 6 petang untuk membersihkan jalan dan menunda lori yang terbalik.

"Nasib baiklah sampai petang saja, kalau tak kami duduk je di rumah sampai ke malam. Tapi esoknya di tepi jalan di hadapan rumah dipenuhi baki biji-biji sawit.

"Memang pengalaman yang mengejutkan. Tengah syok tengok TV, tiba-tiba dengar bunyi berdentum. Habis selonggok kelapa sawit di hadapan rumah," ujarnya secara berseloroh.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain