suria

Kerja sebagai pembantu rumah tapi suka hadiahkan buku buat rakan, jiran... Ustazah Asma' Harun pun terinspirasi - “Orang pandang saya mulia, hakikatnya hina...”

Ustazah Asma' Harun berkongsi kisah pertemuannya dengan seorang wanita istimewa bernama Noor baru-baru ini. Foto: Instagram Ustazah Asma' Harun.

ADA apa pada rupa paras?

Nilai paling utama bagi setiap manusia terletak pada amal perbuatan yang dilakukannya, bukanlah pada rupa paras.

Lagi pula, semua manusia sama sahaja di sisi Tuhan, dan yang membezakan setiap insan di muka bumi ini hanyalah amalan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Niat nak bantu orang, paras rupa pinjaman sementara je” - Pertolongan kecil... tindakan spontan guru ini terhadap pemuda tunda motor dipuji

ARTIKEL BERKAITAN: Maaflah dah 19 tahun tiada tangan! Terima pakwe OKU bukan sebab harta, rupa... “Bagi saya dia tiada kekurangan”

Sebagaimana coretan pendakwah terkenal, Ustazah Asma' Harun menerusi laman Instagram baru-baru ini, beliau berkongsi kisah pertemuannya dengan seorang wanita istimewa yang menghantar 1001 keinsafan dan ispirasi buat dirinya.

Menerusi perkongsian tersebut, Ustazah Asma berkata segala-galanya bermula pada Jumaat minggu lalu, di mana premis perniagaanya, Galeri Ustazah Asma' Harun di Ampangan, Negeri Sembilan, dikunjungi seorang wanita.

Menurut Ustazah Asma', wanita bernama Noor itu sudah beberapa kali berkunjung ke galerinya sebelum ini namun belum berpeluang untuk bertemu dengannya.



Noor gembira dan teruja saat dapat bertemu dan berbual bersama Ustazah Asma'.

Justeru apabila berpeluang bertentang mata, wanita berkenaan tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya sehingga menitiskan air mata.

"Ketika pertama kali berhadapan dengan saya, dia berdiri dan berterusan mengesat air matanya, enggan dekat, menjauh, beberapa kali saya panggil, dia tetap kaku di hadapan pintu masuk Galeri Ustazah Asma' Harun.

"Sehinggalah saya yang mendekat, menggosok belakang badannya, nak menarik dia masuk lebih dalam. Kulitnya dipenuhi dengan biji-biji besar berair, hampir memenuhi setiap ruang wajah, tangan dan badannya," tulis pendakwah ini.



Noor sudah beberapa kali mengunjungi Galeri Ustazah Asma' Harun sebelum ini, namun akhirnya berpeluang bertemu pendakwah itu, Jumaat lalu.

Menurut Ustazah Asma', apa yang membuatkan beliau kagum dengan Noor bukan sahaja sifat positifnya dalam mendepani ujian disebabkan rupa parasnya, tetapi juga sifat cintanya kepada agama sehingga tidak kisah diberikan gaji kecil sebagai pembantu rumah.

"Ceritanya, 'Ustazah, saya dah berjanji jika dapat majikan yang baik dan boleh terima saya seadanya, saya hanya nak gaji yang rendah.

"Tapi dengan dua syarat, pertama saya diberi kebenaran untuk solat 5 waktu di masjid atau surau terdekat, kedua saya diberi kebenaran untuk hadir majlis ilmu atau kelas Al-Quran," cerita Ustazah Asma' mengimbas kembali pertemuannya dengan Noor.

Orang pandang saya ini mulia, hakikatnya saya ini hina... mungkin orang pandang Noor tiada apa, tapi hakikatnya sungguh mulia di sisi-Nya.

USTAZAH ASMA' HARUN

PENDAKWAH



Lebih mengkagumkan kata Ustazah Asma', adalah sikap pemurah wanita berkenaan yang suka menghadiahkan buku yang dibelinya kepada kenalan mahupun jiran-jiran, walaupun gajinya kecil kerana bekerja sebagai pembantu rumah.

"Sambungnya, 'Ustazah, beri hadiahkan sunnah Nabi, itu sahaja yang saya boleh buat untuk gembirakan. Kita pun gembira. Harap mereka boleh terima saya, ustazah'.

"Allahuakbar, sekali lagi jawapannya membuatkan saya menatap wajahnya dengan mata berkaca. Saya tahu gajinya rendah dan dia masih memperuntukkan sebahagiannya untuk hadiah, dilakukan setiap bulan. Buku-buku yang berharga puluhan ringgit.



Ustazah Asma' Harun merupakan seorang pendakwah bebas yang sanagt dikenali kerana kelembutan tutur katanya.

"Orang pandang saya ini mulia, hakikatnya saya ini hina... mungkin orang pandang Noor tiada apa, tapi hakikatnya sungguh mulia di sisi-Nya kerana sentiasa reda dengan ujian yang berlaku setiap masa.

"Ujian saya bersilih ganti dengan nikmat, tapi Noor pula ujian itu kekal pada batang tubuh Noor setiap masa. Subhanallah," tulisnya mengakhiri perkongsian tersebut.

Perkongsian tersebut sehingga kini meraih melebihi 22,000 likes di Instagram, malah rata-rata netizen turut sama menzahirkan rasa kagum dengan keperibadian Noor.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain