suria

Tergerak hati rakam video lepas tengok sampan bergoyang-goyang depan rumah mentua, rupa-rupanya petanda tragedi lucu - “Yang jatuh tu biras saya”

Aliff berkongsi video memaparkan birasnya terjatuh daripada sampan menerusi Instagram.

SEHARI dua ini, ramai individu berkongsi video di media sosial, memaparkan suasana banjir yang melanda.

Selain risau melihat keadaan itu, netizen turut sebak menyaksikan nasib pilu yang menimpa mangsa-mangsa banjir.

Terbaharu, Mohd Aliff Mohd Ayob, 33, seorang penjawat awam dari Pahang turut berkongsi video yang memaparkan birasnya terjatuh ketika menaiki sampan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tabik! Rela redah banjir, kenapa 2 jejaka ini digelar superhero? - “Pertolongan kecil bantu beratus lain”

ARTIKEL BERKAITAN: Setahun 8 kali banjir... air melimpah bapa selamba duduk atas kerusi, nak hias rumah pun tawar hati - “Dah habis RM60,000 upgrade”

Mesra disapa Aliff, dia memaklumkan kejadian itu berlaku di kawasan air cetek di pekarangan kediaman ibu mentuanya di Temerloh pada pagi Rabu.

"Saya bersama biras, kakak ipar dan sepupu naik sampan ke rumah mentua. Yang jatuh tu biras saya, kedudukan dia tak seimbang, tak stabil pada waktu itu.

"Tapi syukurlah tak cedera apa-apa. Masa tu saya dah naik ke rumah. Saya tengok sampan goyang-goyang, saya tergerak hati nak rakam.

"Kami pun gelak. Sebab air pun paras lutut je, tak dalam. Dia pun bangun sendiri. Kejadian berlaku secara spontan di pekarangan rumah," ujarnya kepada mStar.

Situasi banjir di sekitar kawasan kediaman ibu mentuanya.

Dedah Aliff yang juga bapa kepada dua cahaya mata, dia berkunjung ke rumah ibu mentuanya untuk membantu urusan mengemas barang.

Namun katanya, keadaan di kawasan itu masih lagi terkawal, berbeza dengan sebahagian kawasan lain di Pahang yang teruk dilanda banjir.

Anak kedua saya baru dilahirkan pada Disember lalu, baru sebulan. Susah kalau kena pindah.

ALIFF

"Saya pergi rumah mak mentua untuk kemas-kemas barang. Rumah tu tak tenggelam pun, air baru naik dua anak tangga.

"Cuma buat persiapan dahulu. Tapi air tengah naik sekarang walaupun hujan dah perlahan sikit. Tak selebat dua ke tiga hari lepas," dedahnya.

Sampan yang terbalik di kediaman ibu mentua Aliff.

Dalam pada itu, Aliff berharap agar banjir beransur pulih di negeri itu dan memohon agar tiada kejadian buruk berlaku.

Ujarnya, dia turut sebak memikirkan nasib mangsa banjir yang lain, ditambah dengan situasi pandemik Covid-19 yang belum reda.

"Kalau ikutkan memang sedih. Dengan Covid-19 lagi. Walaupun di sesetengah kawasan ia tidak seteruk banjir tahun 2014, tapi saya harap ia berakhir segera.

Aliff (bulatan merah) bersama ahli keluarganya.

"Tapi ada juga sesetengah kawasan yang banjirnya lebih teruk berbanding tahun 2014. Dengan pasar raya banyak tutup, stesen minyak pun ada yang kena tutup.

"Macam saya, dengan anak kecil lagi. Anak kedua saya baru dilahirkan pada Disember lalu, baru usia sebulan. Susah kalau kena pindah," ujarnya yang menetap di Mentakab.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain