KEADAAN banjir di beberapa negeri masih belum berakhir meskipun jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dilaporkan semakin berkurangan. Bukan sahaja manusia dan harta benda yang perlu diselamatkan, malah haiwan juga menjadi mangsa bencana ini dan perlu diberikan perhatian. Menerusi video yang tular di media sosial sejak minggu lalu, seorang lelaki dilihat mendayung perahu bagi menyelamatkan beberapa ekor kucing yang terkandas akibat banjir. ARTIKEL BERKAITAN: Penghuni apartment 'buang' anak-anak kucing, siapa sangka geng pak guard jadi penyelamat - "Gaji mungkin tak banyak, tapi mereka mampu..." ARTIKEL BERKAITAN: Anjing, kucing jalanan makan 'mewah' kerana lelaki ini berhutang - "Saya makan nasi dengan telur goreng cicah kicap dah cukup" Pemuda berkenaan, Mohd Amiruddin Mohamad Yusof berkata, kejadian berlaku pada minggu lalu ketika hari kedua banjir di kawasan tempat tinggalnya di Kampung Paloh Hinai, Pekan, Pahang. Keadaan banjir di rumah ibunya. Pemuda berusia 37 tahun itu memberitahu, kucing-kucing yang diselamatkan merupakan kucing terbiar di sekitar kediaman ibunya. "Hari pertama banjir iaitu pada Isnin saya mengemas rumah dan meletak barang di tempat tinggi. Masa tu kucing-kucing ni semua dah naik atas bumbung sebab air dah keliling rumah. "Ketika ini, ibu dan adik saya dah saya pindahkan ke pusat pemindahan. Hari kedua air makin naik. Masa inilah saya ambil keputusan nak selamatkan atau lebih tepat lagi pindahkan kucing ke tempat yang lebih selamat," katanya kepada mStar. Memasuki hari kedua banjir, dia yang lebih mesra disapa Amie berkata, limpahan air di halaman rumah mencecah paras pinggang, manakala di dalam rumah sudah di paras paha. Sebahagian kucing yang diselamatkan dan dibawa ke tempat selamat dengan perahu. "Kucing-kucing tu dah mencari tempat tinggi macam atas almari, palang-palang dan ada yang atas siling rumah. Masing-masing ketakutan. "Saya umpan kucing-kucing tu dengan makanan dan ambil seekor-seekor masuk dalam bot. Kali pertama saya dapat bawa 10 ekor sahaja sebab lagi tiga ekor lari naik atas bumbung. Kasihan kat kucing-kucing tu. Setakat banjir kali ni, saya tak nampak lagi bangkai-bangkai kucing yang tak dapat diselamatkan. MOHD AMIRUDDIN MOHAMAD YUSOF "Kali kedua masa saya nak ambil barang, saya dapat 'pancing' lagi tiga ekor. Agak mencabar nak mengumpulkan kesemua kucing ni sebab mereka ketakutan. "Ada yang nak terjun. Dalam rakaman video boleh lihat seekor kucing hitam basah sebab terjun dari bot. Nasib baik saya dapat tangkap," ujarnya yang berasal dari Pekan. Mohd Amiruddin Mohamad Yusof. Menurut Amie, sebanyak 13 ekor kucing yang berjaya dipindahkan ke tempat lebih selamat berdekatan dengan pusat pemindahan agar mudah untuk dipantau dari segi makanan. Mengakui bukan pencinta kucing, namun bapa dua anak itu mempunyai rasa tanggungjawab untuk memindahkan kucing-kucing terbiar ke tempat lebih selamat. Pernah menyelamatkan kucing ketika banjir berlaku pada 2014. "Nak kata pencinta kucing tak juga. Cuma rasa tanggungjawab nak selamatkan kucing-kucing tu dan bawa ke tempat selamat, sebab saya dapat jangka air memang akan naik seperti banjir tahun 2014 iaitu paras dada dalam rumah. "Kasihan kat kucing-kucing tu takut kat air yang dah memenuhi lantai rumah. Setakat banjir kali ni, saya tak nampak lagi bangkai-bangkai kucing yang tak dapat diselamatkan," ujarnya sambil menambah kediaman ibunya masih dilanda banjir ke paras pinggang setakat Selasa. Amie yang merupakan kerani bank itu menasihatkan kepada mana-mana individu yang membela kucing di kediaman yang mudah terlibat dengan banjir agar sentiasa berwaspada. "Jangan dilupakan nasib binatang tu. Kalau nampak binatang-binatang peliharaan yang terkandas akibat banjir, harap ia dapat diselamatkan," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!