suria

Tak sangka biskut diletak depan rumah habis diambil, wanita ini terus sediakan snek percuma hargai geng rider - “Suruh ambil, dia tanya betul ke?”

Usaha murni Natasha dimulakan sekitar dua minggu lalu.

SETIAP orang ada cara tersendiri dalam menzahirkan rasa syukur dan apresiasi mereka terhadap orang lain.

Terbaharu, tular di Twitter mengenai usaha seorang wanita yang menyediakan makanan ringan dan minuman buat golongan penghantar barang serta makanan di hadapan kediamannya yang terletak di ibu negara.

Menurut Natasha Hidayah Hashim, 29, usaha murni itu tercetus menerusi Twitter, sebagaimana yang turut dilakukan oleh penduduk di Amerika Syarikat (AS).

ARTIKEL BERKAITAN: Dalam perjalanan hantar order, rider nak menitis air mata baca notifikasi di telefon... terus berhenti tepi

ARTIKEL BERKAITAN: Berlapar hantar makanan, pemberian pelanggan Cina buat rider GrabFood ini nak menangis

"Saya dapat idea daripada Twitter, orang dari AS letak snek di luar rumah untuk golongan rider. Saya sebenarnya jarang membuat pembelian online.

"Tapi sekarang makin kerap sebab kes Covid-19 meningkat, ditambah dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara kita," ujarnya kepada mStar.

Meletakkan makanan ringan di luar rumah merupakan satu cara untuk menghargai golongan rider.

Selain inspirasi masyarakat luar negara, dia juga sedikit tersentuh apabila terserempak dengan penghantar barang yang membawa anak ketika bertugas baru-baru ini.

Jelasnya, pemberian makanan dan minuman percuma itu baru dimulakan sekitar dua minggu lalu.

"Saya nak tunjuk apresiasi kepada mereka. Baru-baru ini saya nampak penghantar barang tu bawa anak-anak dalam kereta. Memang terasa sedih.

"Bermula dari situ saya letak makanan di luar rumah. Mula-mula letak biskut sikit, tak sangka habis.

Dengan situasi negara macam ni, kita perlu berbuat baik sesama kita.

NATASHA

"Kemudian saya beli makanan ringan, air mineral... sekarang nak tambah air laici pula. Tambah-tambah cuaca panas, jadi mereka tak perlu pergi ke kedai, mereka pun nak cepat," ujarnya lagi.

Menurut penerbit kandungan sebuah portal gaming itu, dia gembira apabila makanan serta minuman yang disediakan dapat memberi manfaat buat golongan berkenaan.

"Mereka happy kami buat macam tu. Saya suruh ambil, dia tanya betul ke? Saya juga ada letak nota di situ," ujarnya lagi.

Kata Natasha, dia tidak sangka posting berkenaan tular namun berharap ia dapat memberi inspirasi kepada orang di luar sana.

Foto yang tular di laman Twitter.

Tambahnya, dia juga berharap agar perjalanan semua rider dan penghantar barang dalam tugasan mereka dilindungi dan sentiasa selamat.

"Pada saya, mereka juga frontliner. Dengan situasi negara macam ni, kita perlu berbuat baik sesama kita.

"Kerja mereka juga bahaya, risiko tinggi. Saya cuma nak cakap terima kasih sebab pastikan kami dapat makanan. Moga sentiasa hati-hati," ujarnya lagi.

Sehingga kini, posting Natasha di Twitter menerima lebih 1,500 ulang kicau (Retweet).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia