"SAYA hampir mengalah kerana mengalami kesukaran bernafas, dengan batuk yang teruk. Staf ICU suruh keluarga saya bersiap sedia untuk keadaan yang lagi buruk" Demikian kata seorang pengamal perubatan, Dr Dalvin Sidhu, ketika berkongsi cerita mengenai detik yang hampir meragut nyawanya, gara-gara dijangkiti Covid-19. Menerusi coretannya yang dikongsikan di Facebook Public Health Malaysia (PHM), Dr Dalvin berkata dia disahkan positif virus maut berkenaan pada 8 Disember lalu, selepas terdedah dengan seorang pesakit Covid-19 di wad tempatnya bertugas. ARTIKEL BERKAITAN: “Saya dah hampir maut!” - Azizan Osman kongsi cerita duka 31 ahli keluarga dijangkiti Covid-19, ibu mentua meninggal dunia ARTIKEL BERKAITAN: Tengok pesakit lain menggelupur, meninggal depan mata... wanita dapat bayangkan jenazah sendiri diurus sebelum dibawa ke ICU - “Covid-19 is real, saya dah habis jaga” "Sejurus selepas mendapat infomasi bahawa pesakit saya positif covid-19, saya menerima arahan untuk menjalani home quarantine pada keesokan harinya (2 Disember). "Selama satu minggu saya telah mengasingkan diri, ahli keluarga saya meletakkan satu kerusi plastik diluar pintu bilik dimana saya mengasingkan diri. "Keluarga saya juga telah mengasingkan semua barang keperluan harian saya seperti sudu, gelas, pinggan mangkuk dan sebagainya. Makanan dan minuman saya pun hanya akan diletakkan di atas kerusi plastik sahaja. Kami bercakap menerusi video call atau menjerit dengan pintu bilik yang tertutup," kongsinya. Menurut Dr Dalvin, ujian calitan (swab) pertama yang dilakukannya pada 3 Disember menunjukkan keputusan negatif malah dia juga tidak mengalami sebarang gejala Covid-19. Namun dua hari kemudiannya, dia mula mengalami beberapa gejala seperti demam, sakit kepala yang teruk, sakit badan dan sendi, sakit mata, cirit-birit dan keletihan. Sebahagian perkongsian Dr Dalvin yang dimuat naik di laman Facebook Public Health Malaysia. Malah sakit yang dirasainya tidak langung berkurangan walaupun dia mengambil ubat-ubatan, sehingga membuatkan dia mula mengesyaki berkemungkinan dirinya sudah dijangkiti virus berkenaan. "Pada 8 Disember, keputusan swab saya positif. Sejurus selepas itu, saya menerima beberapa panggilan, untuk mengesahkan diagnosis, gejala dan akhirnya ambulans dihantar untuk mengambil saya dari rumah. Saya telah dimasukan ke wad Covid-19. "Pada permulaannya, saya agak sihat untuk bersembang and berkawan dengan pesakit yang lain di wad. Saya juga agak gembira dengan makan dan minuman yang disediakan. "Setelah tiga hari di wad, saya mula mengalami batuk yang teruk serta kurang deria rasa dan bau, pada masa yang sama demam pun masih tidak surut, sakit badan dan sendi, cirit-birit masih berterusan."Lebih teruk lagi, saya mulai mengalami kesukaran untuk bernafas dan tahap Spo2 (kandungan oksigen dalam darah) semakin menurun," katanya sambil menambah, dia kemudian dipindahkan ke wad ICU pada hari keempat mendapatkan rawatan di hospital. Dr Dalvin ditempatkan dalam wad ICU selama 13 hari kerana keadaannya kritikal ekoran mengalami sesak nafas yang teruk. Gambar hiasan Ketika ditempatkan di ICU, Dr Dalvin berkata keadaan kesihatannya dipantau dengan teliti malah dia turut diberitahu setiap butiran perkembangan harian oleh doktor yang bertugas. Namun tanpa disangka, pada hari kelima di ICU, dia berdepan dengan saat getir berjuang antara hidup dan mati apabila mengalami kesukaran bernafas dan batuk yang teruk. "Staf ICU juga standby mesin ventilator dekat dengan katil. Mereka beritahu bahawa mereka mungkin perlu menggunakkan tiub pernafasan jika Spo2 saya semakin merosot kerana saya sudah mendapat sokongan oksigen aliran tertinggi. "Tanpa saya tahu, pasukan Anestesia sebenarnya menghubungi keluarga dan isteri saya beberapa jam kemudian dan memberitahu mereka bahawa saya dalam keadaan kritikal, pada masa yang sama, mereka suruh keluarga saya untuk bersiap sedia untuk keadaan yang lagi buruk. Ramai orang tidak akan mendekati saya sebab seorang bekas pesakit Covid-19. Salah seorang kawan saya juga tidak ingin ambil duit baki dari saya. DR DALVIN SIDHU DOKTOR/BEKAS PESAKIT COVID-19 "Bagaimanapun dengan rahmat Tuhan, saya berjaya mengharungi malam itu dan sejak hari itu saya mempunyai keberanian untuk terus berjuang kembali," kongsinya. Selepas 13 hari berjuang di ICU dengan segala macam prosedur dan dos ubat-ubatan, Dr Dalvin akhirnya dipindahkan ke wad biasa selepas menunjukkan perkembangan positif. "Pada hari ke-20 di hospital, saya tidak lagi perlu sokongan oksigen dan saya dapat mengekalkan Spo2 saya sekitar 95 peratus dan ke atas. Tanggal 27 Disember 2020, hari yang paling dinanti-nantikan, setelah 23 hari dimasukkan ke hospital, saya telah diberi kebenaran daripada pihak doktor untuk pulang ke rumah. "Bagaimanapun saya diberitahu bahawa parameter darah dan x-ray saya akan mengambil masa berbulan-bulan untuk kembali ke tahap normal. Semua ini tidak akan berlaku tanpa doa, kasih sayang dan sokongan isteri, keluarga, Tuhan dan kawan-kawan saya," katanya lagi. Sungguhpun sudah sebulan pulih, Dr Dalvin berkata dia masih merasai perubahan di mana tubuh badannya kerap mengalami sakit sendi, keletihan dan sesekali semput apabila berjalan pantas dan jauh. Dr Dalvin mengingatkan orang ramai agar sama-sama membantu para frontliners melawan Covid-19 dengan mematuhi SOP. Gambar hiasan "Selain itu, stigma masyarakat memainkan peranan penting, ramai orang tidak akan mendekati saya sebab saya seorang bekas pesakit Covid-19. Salah seorang kawan saya juga tidak ingin ambil duit baki dari saya, sebab katanya ada virus di tangan saya. "Nasihat saya kepada semua, tolong jaga SOP, tolong hormati frontliners, mereka juga insan yang ada keluarga. tolong jangan cakap seperti Covid-19 ini tipu... tolong jangan memperlekehkan usaha-usaha frontliners," katanya lagi. Sehingga kini perkongsian tersebut meraih hampir 5,000 shares di Facebook. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!