suria

Pelajar cemerlang SPM 2016 terus dapat hadiah daripada bapa... kali ini kereta pula, siap tempah poster!

Pelajar cemerlang SPM 2016 menerima hadiah sebuah kereta jenis perodua Axia daripada ayahnya

SEORANG pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2016 sehingga kini masih menerima kejutan hadiah daripada bapanya.

Ras Athirah Mohd Salleh, yang mendapat 10A dalam SPM lima tahun lalu berkata dia sangat terharu apabila bapanya masih berasa bangga dengan kejayaannya dan memberikan hadiah sebagai tanda penghargaan.

Ras Athirah atau lebih mesra disapa Ras, 22, berkata dia sememangnya berhasrat untuk membeli sebuah kereta untuk kegunaan harian tetapi merahsiakan rancangan tersebut daripada pengetahuan bapanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan anak manja, pelajar anggap kejutan iPhone 11 Pro Max tanda sayang ibu bapa - “Mereka tak akan senang-senang berikan hadiah”

ARTIKEL BERKAITAN: Gubah bunga duit RM10,000 untuk anak dapat 5A UPSR, florist dedah ini bukan kali pertama - “Tak terkejut pun, dah biasa sangat”

“Di usia 22 tahun, ayah menghadiahkan saya sebuah kereta bagi keputusan cemerlang yang diperoleh SPM lalu, ” tulisnya di laman Twitter sehingga tular.

Berkongsi cerita dengan mStar, pelajar tahun tiga yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan di Universiti Malaya (UM) mengakui perasaannya bercampur baur apabila menerima pemberian bapanya itu.

Ras berkata perkongsiannya di Twitter langsung tidak berniat untuk membangga diri, malah dia juga bimbang jika bapanya mengetahui tentang tweet tular tersebut.

Ras seorang pelajar tahun ketiga kursus Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan di Universiti Malaya.

“Tak tahu nak cakap macam mana, susah nak gambarkan perasaan saya sekarang. Gembira, sedih, serba salah, macam-macam lagi.

“Sebenarnya, saya memang dah niat nak beli kereta sendiri sejak mula PKP lagi... mudah saya nak bergerak antara universiti dengan hospital sebab saya posting di Hospital Sungai Buloh, jaraknya agak jauh juga.

Saya tergerak hati untuk berkongsi sebab memang terharu sangat kerana saya tahu keadaan ayah macam mana sekarang.

RAS

“Paling penting memang tak nak beritahu ayah, sebab kalau saya cakap mesti ayah akan usahakan. Saya tak nak pentingkan diri, saya tahu kewangan ayah sekarang tak berapa stabil," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah ini berkata, rancangan itu terbongkar juga apabila kakak dan ibu tirinya memaklumkan perkara ini kepada bapanya.

"Bila ayah dapat tahu terus dia tanya saya tetapi saya menolak dengan tegas, ” ujarnya.

Posting Twitter Ras tular sejak Sabtu lalu.

Ras yang merupakan anak keenam daripada lapan beradik berkata tidak lama selepas bapanya mendapat tahu dia memerlukan sebuah kereta, mereka terus berbincang lanjut mengenai perkara itu di sebuah kedai makan.

Pada masa itu Ras menjelaskan bahawa kereta bukan menjadi satu kepentingan buat masa sekarang dan dia sebolehnya mahu membelinya dengan usaha sendiri.

“Tiba-tiba satu hari ayah suruh pilih warna yang saya suka dan daftar nombor plat online.

“Saat tu saya memang rasa serba salah dan menyusahkan sangat tapi hakikatnya memang saya perlukan kereta untuk berulang alik, ” ujarnya lagi.

Ras bersama keluarga besar yang terdiri daripada adik beradik kandung dan tiri.

Menerusi perkongsian Ras yang tular, dia memuat naik gambar bapanya memegang poster ucapan ’Tahniah 10A SPM’, diikuti nama penuhnya dengan latar belakang sebuah kereta Axia berwarna merah.

Tambah Ras lagi, setiap kali bapanya membelikannya sesuatu, dia akan memberitahu ia adalah hadiah kecemerlangan SPM.

“Setiap kali ayah nak bagi sesuatu berulang kali dia cakap 'hadiah SPM' padahal dah banyak kali saya dapat hadiah.

"Dulu ayah pernah bagi jam, kasut dan banyak lagi sampai saya pun tak ingat sebab banyak sangat," katanya sambil menambah bapanya bekerja sebagai nazir di Kedah.

Ras turut memberi penjelasan bahawa dia tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk hadiah yang diterima sebaliknya hanya mahu berkongsi kegembiraan dan menunjukkan bahawa dirinya sangat bertuah dikurniakan ibu bapa penyayang.

“Saya tergerak hati untuk berkongsi sebab memang terharu sangat kerana saya tahu keadaan ayah macam mana sekarang.

Ibu kandung Ras bersama ayah tirinya.

“Bila viral ni terfikir juga ada yang kurang senang dengan perkongsian saya. Takut juga jika ayah tahu sebab mak ayah selalu ingatkan anak-anak supaya tak menunjuk-nunjuk, ” katanya.

Bagaimanapun dia berasa lega kerana bapanya tidak menunjukkan reaksi marah apabila mengetahui tentang perkara ini.

Dalam pada itu, dia juga tidak menyangka ramai pula yang mengenali bapanya, Mohd Salleh Hassan, 54, kerana pernah menerbitkan buku Bahasa Melayu bertajuk Sakura.

“Terkejut juga ayah saya lagi terkenal. Ramai puji buku ayah saya... mereka kata sangat membantu. Bolehlah saya jual buku ayah untuk tolong dia pula, ” ujarnya berseloroh.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain