suria

Pelajar tak kisah dikatakan iras Hanis Zalikha, cuma jangan tambah ungkapan menyakitkan hati - “Dengar biasa, tapi saya terasa”

Tiya berkongsi luahan hatinya menerusi TikTok apabila wajahnya disamakan dengan pelakon Hanis Zalikha.

MENYAMAKAN wajah seseorang dengan individu lain itu tidak salah, asalkan tidak dibuat dengan niat menghina atau mempersenda.

Begitulah luahan hati seorang wanita berusia 23 tahun yang sering disamakan dengan pelakon Hanis Zalikha sejak lapan tahun lalu, tetapi dalam versi gelap.

Ketika dihubungi mStar, Nur Fatihah Kamal berkata, bagi dirinya sendiri dia tidak sekali pun pernah mendakwa wajahnya mempunyai persamaan dengan pelakon tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis buat TikTok nak test betul ke wajahnya macam Neelofa, terkejut bangun pagi keesokan harinya - “Sebenarnya saya tak ada tahi lalat pun”

ARTIKEL BERKAITAN: Muka sebijik macam artis, ramai siap buat bandingan sampai remaja ini teringin... - “Mak kenal, masa tu saya belum lahir lagi”

"Bukan saya tak suka orang samakan dengan Hanis Zalikha, tapi kenapa perlu tambah ‘versi hitam’... mestilah saya terasa, ” katanya dalam sebuah video di aplikasi TikTok.

Lebih mesra disapa Tiya, dia mendedahkan terpaksa 'hadap' dengan kritikan sebegitu sejak di bangku sekolah, ketika pelakon tersebut hangat dalam filem Gangster Celop dan masih belum berhijab.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu mengakui pelakon tersebut memang jelita tetapi tidak pernah minta disamakan dengannya kerana menggangap setiap wanita mempunyai kecantikan tersendiri.



Wanita ini memberi respon selepas menerima komen berunsur hinaan daripada netizen.

"Saya sebenarnya tak ada masalah pun cuma kadang-kadang saya akan rasa ‘down’ dan hilang keyakinan diri bila mereka buat perbandingan melampau.

"Bukan saja mereka kutuk kulit gelap saya, malah dulu masa berat saya 79kg ada yang cakap kalau saya putih dan kurus mesti cantik macam pelakon tu... maksudnya diri saya sebenar ni tak cantik ke?

"Dengar macam biasa, tapi bila ia ditujukan kepada saya mestilah saya terasa. Itu dah kira mempersendakan. Nak samakan atau nak puji silakan tapi tak perlu tambah ayat menyakitkan hati," katanya.

Bercerita lanjut, Tiya juga memberitahu dia pernah dipulaukan oleh rakan-rakan kerana dianggap sombong mempunyai wajah seiras dengan artis.



Tiya sering kali menerima komen wajahnya mempunyai iras pelakon Hanis Zalikha tetapi dikatakan mempunyai warna kulit yang lebih gelap.

"Ini realiti. Saya banyak hilang kawan. Mereka cakap saya sombong dan bangga muka macam artis. Biasalah perangai budak-budak dulu.

"Saya sendiri tak pernah rasa saya macam tu, mungkin mereka menilai dari luaran. Bukan sombong tapi saya rasa rendah diri masa tu, lebih banyak dipersenda daripada dipuji, ” jelasnya.

Menurut Tiya, bagi mengurangkan rasa sakit hati dia akan segera memadam komen-komen negatif yang ditulis di ruangan komen di media sosialnya.

"Dulu banyak juga komen negatif dan saya akan cepat-cepat padam supaya saya dah tak baca.

"Alhamdulillah sekarang dah kurang sikit. Cuma kalau secara bersemuka saya masih terima kata-kata macam tu, ” ujarnya.

Ada masanya saya kuat atau ketika sibuk memang saya abaikan kata-kata negatif ni. Saya akan fokus lebih pada diri sendiri.

NUR FATIHAH KAMAL

Bagaimanapun, kata pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang ini, dia sudah banyak belajar bersabar dan mengabaikan segala kritikan.

Selain sibuk sebagai pelajar dia juga gigih mencari pendapatan dengan bekerja sambilan dan membuat reviu produk secara live setiap malam di aplikasi TikTok.

"Ada masanya saya kuat atau ketika sibuk memang saya abaikan kata-kata negatif ni. Saya akan fokus lebih pada diri sendiri.

"Bagi saya semua orang cantik, tiada cacat cela. Cuma pandangan orang terhadap seseorang itu sahaja berbeza.

"Dulu memang kurang keyakinan diri tapi bila mak sentiasa beri kata-kata semangat saya bangkit dan buat apa sahaja tanpa malu.



Wanita ini mengakui kurang mempunyai keyakinan diri jika terbaca komen negatif daripada netizen.

"Sekarang ada pengikut yang suka dengan cara saya, mereka akan beri sokongan sepenuhnya walau apa jua yang saya buat, ” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Tiya yang telah kehilangan bapa pada 2014 mengakui kehidupan keluarganya agak mencabar dan dia bersama adik beradik yang lain berusaha membantu meringankan beban ibu.

Terbaharu, sejak mempunyai pengikut di aplikasi TikTok, Tiya bersama ibunya menjual makanan secara online.

Anak bongsu daripada lima beradik ini berpandangan tindakan mengkritik fizikal orang lain tidak sepatutnya berlaku pada zaman moden.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain