suria

Disangka sedang basuh pinggan, ibu sibuk WFH terkejut anak lelaki usia 10 tahun keluar dapur bawa kejutan - “Sambil menyuap, air mata memang meleleh la”

Anak lelaki Noor Shazlin membuat kejutan dengan menyediakan nasi talam ketika dia sedang sibuk bekerja.

UNGKAPAN ada menyebut, anak-anak ibarat kain putih, dan ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya.

Begitulah juga dengan kisah yang dikongsikan oleh seorang ibu di Facebook, mengenai anak lelakinya sehinggakan mengundang pujian daripada pengguna media sosial yang lain.

Menerusi perkongsian di laman Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ini, Syezlynn Yusof memuat naik sekeping gambar memaparkan nasi yang lengkap dengan telur goreng beserta keropok dan timun hasil air tangan anak lelakinya yang berusia 10 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Belum cecah 3 tahun, si cilik tak kekok langsung di dapur... dulu berdukung kini dah ada kerusi sendiri - “Mulakan dengan pisau plastik”

ARTIKEL BERKAITAN: Jadi peneman ibu di dapur sejak kecil, kini baru 9 tahun dah pandai masak... siap kenal lengkuas, halia! - “Tak adalah emak 'pengsan' buat semua kerja rumah”

"Tatkala diri sibuk WFH (bekerja dari rumah) sambil jadi guru kepada anak-anak sendiri yang dah bersekolah, anak kecil berusia 5 bulan dan si kakak berusia 3 tahun meragam, menangis serentak. Aduhh...Tuhan ja tau penat.

"Ingatkan dia tolong cuci pinggan. Rupanya siap masak nasi, goreng telur mata, keropok dan potong timun bagai. Pakej hidang dan hias lagi. Terkedu sat... bergenang air mata. Terima kasih nak. Talam ni yang saya selalu guna untuk suapkan anak-anak saya makan. Makan satu keluarga. Alhamdulillah," demikian coretannya pada perkongsian tersebut yang sehingga kini meraih melebihi 200 shares.



Qalish (kiri) bersama abang dan adiknya sememangnya didedahkan dengan kerja-rumah rumah yang asas meskipun mereka kanak-kanak lelaki.

Rata-rata netizen bukan sahaja memuji anak lelaki pelayar berkenaan malah memuji cara didikan yang diterapkan kepada anak-anaknya.

"Terharunya... Siap hias dan hidang. Tentu maknya pandai mengajar.

"Bila anak dah pandai berdikari macam ni memang rasa sebak sangat. Terasa cepatnya membesar. Alhamdulillah didikan puan, anak pandai berdikari," demikian antara komen yang dilontarkan pelayar lain.

Berkongsi cerita dengan mStar, Noor Shazlin Mohd Yusoff berkata anak keduanya, Mohamad Qalish Imran Ropigi sememangnya seorang yang suka membuat kejutan, berjiwa lembut dan rajin membantunya melakukan kerja-kerja rumah.



Noor Shazlin dan suaminya bersama satu-satunya anak perempuan mereka yang kini berusia 3 tahun.

"Ketika itu saya tengah bekerja dari rumah... anak-anak kecil yang berusia tiga tahun dan lima bulan meragam serentak. Suami pula keluar bekerja.

"Saya tak tahu pun Qalish ni buat apa, ingat dia basuh pinggan. Dia memang rajin kalau bab-bab dekat dapur. Selalu volunteer menolong. Sibuk pujuk anak-anak yang meragam, tiba-tiba dia datang bawa nasi dan telur goreng dalam talam.

"Dia kata 'tadaaaa... jom kita makan, ibu!' Allahuakbar, terus bergenang air mata. Saya pun ucap terima kasih anakku. Sambil menyuap anak-anak, air mata tu memang meleleh la," kata ibu kepada lima cahaya mata berusia 34 tahun ini.

Boleh dikatakan cara didikan arwah tok banyak mempengaruhi cara saya didik anak-anak pula. Dulu kecil-kecil memang dah diajar berdikari.

NOOR SHAZLIN MOHD YUSOF

IBU

Menurut Noor Shazlin, dia sememangnya menyuap anak-anaknya makan menggunakan talam lantaran sudah terbiasa dengan cara tersebut sejak dirinya diasuh oleh nenek ketika kecil.

"Saya dulu diasuh oleh arwah tok. Darjah enam pun makan bersuap lagi. Bukan manja, tapi mungkin ini cara orang-orang tua dulu. Arwah tok kata, ia lebih mengikat kasih sayang antara keluarga.

"Kalau sibuk, sekali dalam seminggu mesti makan nasi talam. Boleh dikatakan cara didikan arwah tok banyak mempengaruhi cara saya didik anak-anak pula. Dulu kecil-kecil memang dah diajar berdikari. Bukan apa, benda ini untuk masa depan mereka juga.



Antara komen netizen yang memuji pendekatan Noor Shazlin dalam mendidik anak-anak.

"Macam cara saya, biasanya masa mula dulu-dulu, saya biasa ajak anak-anak take part bersama. Contohnya, kalau basuh pinggan saya minta mereka lap dan susun. Kalau masak, mereka tolong apa yang patut. Yang senang-senang saja.

"Alhamdulillah, kalau masak nasi atau goreng-goreng tu, anak-anak dah boleh buat. Anak pertama hingga ketiga semuanya lelaki, tapi saya terapkan juga dengan kerja-kerja rumah yang basic. Masa saya pantang anak kelima dulu, merekalah yang banyak tolong," ujarnya yang merupakan seorang penjawat awam.

Tambah Noor Shazlin yang turut mengusahakan bisnes pelamin bajet sekitar Padang Serai, Kedah, dia hanya sekadar berkongsi kisah tersebut di laman Facebook berkenaan secara suka-suka, namun tidak menyangka mengundang perhatian netizen.



Noor Shazlin turut mengusahakan bisnes pelamin, D'Lynn Pelamin Bajet di sekitar Padang Serai, Kedah.

"Saya segan juga... bagi saya ramai lagi yang hebat. Saya sekadar kongsi saja. Apa pun setiap ibu bapa pasti ada cara didikan masing-masing.

"Ini sedikit perkongsian tentang cara saya saja. Bagi saya, anak-anak ni perlu didedahkan serba sedikit mengenai perkara basic supaya mereka boleh berdikari dan ada rasa tanggungjawab.

"Hanya benda-benda yang basic saja. Bukan serah 100 peratus dan kita kena pantau. Akhirnya untuk kebaikan masa depan juga, contohnya kalau kita outstation, sakit ataupun dah 'pejam mata', setidak-tidaknya mereka boleh gunakan pengalaman yang ada," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain