suria

Anak dipuji jaga adab... mak ayah selamba jawab cuma pandai berlakon, siap kata perangai hantu – “Tanpa sedar kita dah buka aib anak”

Seorang doktor berkongsi mengenai pengalamannya mendengar perbualan antara ibu bapa yang mengaibkan anak mereka. -gambar hiasan foto P. NATHAN/The Star

TAK hidup dek puji, tak mati dek keji, itulah pepatah yang sering digunakan masyarakat sejak dulu.

Tidak kurang juga ada yang mendambakan pujian melangit, tidak tercuali yang tersentap dengan kritikan dan kecaman.

Dalam kehidupan, ibu bapa juga tidak dapat lari dengan pujian sama ada kata-kata itu ditujukan pada diri sendiri atau ahli keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak ajak pergi camping, selamba je bapa buat unggun api depan rumah... tapi 'benda' lain di tingkap jiran pula jadi perhatian

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya tak ajar dia pun, kebanyakannya menjadi" - Puting masih melekat mulut, bapa terkejut anaknya pandai main gong... riuh serumah!

Namun, apa yang membezakan antara kita dengan orang lain adalah bagaimana berhadapan dengan pujian atau ungkapan manis itu.



Perkongsian Dr Redza di laman Twitter.

Seorang doktor berkongsi pengalamannya ketika bertugas di klinik, tidak sibuk seperti kebiasaan.

"Baiknya anak you ni. Elok je dia duduk dari tadi. Terdengar pula perbualan di meja sebelah. Pagi tu, klinik tak sibuk seperti kebiasaan.

"Baik? Ishhh, budak ni pandai berlakon je. Kalau kat rumah, ni lah hantunya. Suka buat sepah, tak dengar cakap, dah Maghrib tak reti balik rumah. Ni lah budaknya," tulis Dr Redza Zainol menerusi siri bebenang di laman Twitter memetik perbualan tersebut.



Dr Redza memetik perbualan ibu bapa yang mengaibkan anak mereka susulan menerima pujian.

Situasi tersebut ternyata mengejutkan doktor berkenaan mengenai penerimaan pujian daripada orang lain sehingga mampu mengaibkan anak yang dipuji itu.

"Dalam keadaan kita tak nak berbangga dengan pujian orang lain, tanpa sedar kita dah terkutuk anak sendiri depan muka anak.

Hari ini kita cakap yang baik-baik pasal anak, esok lusa mereka akan cakap yang baik-baik pasal kita

DR REDZA ZAINOL

"Tanpa sedar kita dah buka aib anak pada orang luar. Anak kita yang mendengar, sedihlah hati dia. Kalau diulang-ulang, rasa sedih tu membukit.

"Lama-lama berubah menjadi marah dan dendam. Jadilah dia seorang anak yang berdendam dengan mak ayah sendiri," ujar doktor pediatrik yang sering berkongsi ilmu kesihatan kanak-kanak dan ilmu kekeluargaan.



Seorang anak pasti berasa sedih sekiranya aibnya dibuka kepada orang luar. -gambar hiasan

Sehubungan itu, Dr Redza menasihatkan agar ibu bapa tidak menjatuhkan air muka anak-anak di hadapan orang lain, termasuk dalam kalangan ahli keluarga.

Sebaliknya, tambah beliau, setiap pujian itu perlu disyukuri dengan memberikan kata-kata sokongan dan semangat kepada anak.

"Kawan-kawan, jangan sekali-kali perlekehkan atau ejek anak kita depan orang lain. Ni termasuklah depan adik beradik dia.

"Lepas ni bila ada orang puji anak, kita pandang anak kita dan cakap Alhamdulillah. Kita cakap lagi, Abang, aunty tu puji abang baiklah. Cakap terima kasih kat aunty tu.

"Sambil tu kita pegang tangan anak atau peluk bahu dia. Mesti sejuk dan damai hati anak," tambah beliau.



Perkongsian Dr Redza yang menyentuh realiti yang berlaku dalam kalangan ibu bapa.

Menurut Dr Redza lagi, penerimaan yang positif itu akan membuatkan anak-anak berasa lebih dihargai dan seterusnya menjadikannya sebagai amalan yang perlu diikuti.

"Rasa dihargai dan disayangi tu akan datang mencurah-curah. Memori ini lah yang anak akan teringat-ingat sampai ke alam dewasa.

"Hari ini kita cakap yang baik-baik pasal anak, esok lusa mereka akan cakap yang baik-baik pasal kita," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain