JIKA ditanya apakah pemberian paling bermakna ketika cuaca panas yang melanda negara sejak kebelakangan ini, pasti rata-rata akan menjawab kipas angin dan penyaman udara. Namun, bukan semua berkemampuan untuk membeli penyaman udara, apatah lagi penggunaannya yang kerap untuk tempoh yang panjang ketika cuaca panas boleh mengakibatkan bil elektrik melambung. Oleh itu, kipas angin merupakan barang yang paling relevan untuk dijadikan hadiah pada musim panas ini. ARTIKEL BERKAITAN: 'Princess' mengadu kelas panas, ibu dedah kenapa bapanya sanggup hantar kipas ke sekolah - "Bukannya fokus anak saya seorang" ARTIKEL BERKAITAN: Sejuk perut ibu mengandung! Anak pasang aircond di bilik mengaji mak, air panas dah tak perlu masak... jodoh tolak tepi dulu! Walau bagaimanapun, tidak ramai yang menyedari sebenarnya kipas angin juga menjadi hadiah yang paling ideal untuk pesakit kanser tanpa mengira musim. "Sekiranya anda bertanya 'Apakah hadiah yang boleh anda berikan kepada pesakit kanser?', jawapannya adalah kipas bersaiz 12 inci. Sesuai dan mudah untuk pesakit bawa ke wad," tulis Zuraini Kamal di halaman Facebook miliknya. Pesakit menjalani kemoterapi. -gambar hiasan / foto Sam Ogden/SPL Bercakap kepada mStar, Zuraini Kamal berkata, pesakit kanser mudah berasa panas dan penat, kesan daripada menjalani rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi. Beliau yang berpengalaman menyantuni pesakit-pesakit kanser memberitahu, kebanyakan wad di hospital kerajaan tidak dilengkapi dengan kemudahan penyaman udara. "Wad pesakit di hospital-hospital kerajaan ada sediakan kemudahan kipas, tapi kipasnya di atas (siling). Kebiasaannya satu bilik ada empat hingga lima pesakit. "Kalau bilik tu ruangnya besar, memang masih terasa panas dan bahangnya. Pesakit rasa resah dan gelisah. Tambahan pula sekarang ni cuaca panas," katanya ketika dihubungi. Rawatan kemoterapi mengambil masa dan memberi kesan emosi kepada pesakit. -gambar hiasan Zuraini yang merupakan pengerusi badan bukan kerajaan (NGO), Cancer Survivors Malaysia (CSM), yang mewujudkan kumpulan sokongan kepada pesakit selepas disahkan menghidap kanser berkata, terdapat seorang pesakit kanser otak mengadu kepada isteri mengenai ketidakselesaan yang dirasainya terutama ketika tidur. Tambahnya, beliau memberikan sedikit keselesaan dengan membelikan kipas angin dan menghantar ke wad di sebuah hospital untuk pesakit berusia 50an itu. "Sebab Abang Kamal (panggilan nama pesakit) berasa gelisah dan tidak selesa, kepanasan yang amat sangat. Maklumlah cuaca sekarang, bahang dan kering. Dengan pemberian kecil ini sedikit-sebanyak memberi keceriaan kepada mereka untuk bangkit, terus berjuang melawan penyakit yang dihidapi mereka ZURAINI KAMAL "Pesakit tu sebak bila saya hadiahkan kipas angin buatnya di wad. Menurut isteri pesakit, suaminya amat menghargai pemberian tersebut. "Dia lega sangat. Tidur pun tak lagi rasa gelabah. Kalau di rumah isterinya beritahu kena letak aircond (penyaman udara) untuk sejukkan badan," katanya sambil menambah pesakit itu baru selesai menjalani pembedahan amputasi kaki kerana sel kanser yang agresif. Pesakit kanser memerlukan sokongan dalam pelbagai aspek. -gambar hiasan Sehubungan itu, Zuraini berkata, pemberian hadiah berupa kipas angin kepada pesakit kanser dapat meringankan beban mereka terutama golongan kurang berkemampuan. "Ia adalah sumbangan sebagai tanda sokongan kepada pesakit kanser, terutama kenalan dan mereka yang kurang mampu. Bagi kita, harga sebuah kipas angin murah RM60 je. "Tapi mungkin mereka yang susah tak mampu hendak membelinya. Eloklah hadiahkan kipas meja lebih mudah digunakan dan dibawa ke mana-mana, termasuk di rumah selain di wad. "Percayalah, air mata pesakit kanser cukup bermakna menerima hadiah daripada kita kerana mereka merasakan kita ambil peduli dan beri semangat kepada mereka. "Tempoh rawatan seperti kemoterapi sangat lama, sampai ada pesakit yang putus asa. Tapi dengan pemberian kecil ini sedikit-sebanyak memberi keceriaan kepada mereka untuk bangkit, terus berjuang melawan penyakit yang dihidapi mereka," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!