suria

Diperlekeh ambil jurusan ‘komputer je’, hanya jadi cashier walau ada ijazah... wanita ini akhirnya dapat kerja selepas sabar dengan sikap masyarakat - “Mak paling happy”

Aliah berkongsi kisah pernah dipandang rendah kerana jurusan yang diambil serta bekerja sebagai juruwang.

KITA biasa mendengar ungkapan 'rezeki setiap orang tidak sama'.

Ada yang bertuah diterima bekerja sebaik sahaja menamatkan pengajian, ada yang perlu menimba pengalaman dengan bekerja secara sambilan terlebih dahulu, malah ada pula yang kurang bernasib baik meskipun telah lama berusaha.

Namun, bukanlah hak kita untuk membanding-bandingkan pencapaian seseorang dengan individu lain tanpa mengetahui apa yang telah dilalui oleh individu tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya sebab pilih kerja ‘orang tak nampak’, lepasan universiti stres dianggap hidup goyang kaki - “Mungkin sebab saya tiada office hour”

ARTIKEL BERKAITAN: Tak segak kerja pejabat tak apa! Graduan pilih jadi usahawan, gembira jual ikan di kampung halaman - “Risau impian saya akan hilang”

Begitulah situasi yang pernah dialami wanita ini apabila menerima pandangan serong hanya kerana bekerja sebagai juruwang meskipun mempunyai kelulusan ijazah sarjana muda dari sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Wanita itu berkongsi luahan hatinya menerusi sebuah video di TikTok dengan kapsyen 'nothing less than having faith to Him, insyaAllah the day will come', yang sehingga kini meraih hampir 304,000 jumlah tontotan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Nor Aliah Shaffah berkata pandangan sedemikian telah diterimanya ketika menuntut di IPTA lagi.



Video luahan isi hati Aliah bulan yang dimuat naik di TikTok menjadi tular.

"Ada satu hari tu, saya keluar makan dengan kawan di kafe berdekatan dengan kolej. Kemudian ada seorang pakcik ni saja nak berbual, dia tanya kami mengenai kursus yang diambil.

"Bila tiba giliran saya beritahu, kemudian pakcik tu cakap 'laaa belajar komputer je ke? Anak pakcik pun belajar komputer juga, dekat pusat desa je dik'.

"Masa tu tak tahu nak beri reaksi macam mana... diam je la. Takkan nak menjawab pula kata-kata pakcik tu. Masa tu dah rasa sedih sangat, makan cepat-cepat dan masuk dalam kereta. Kawan saya tegur, rasanya dia nampak saya sedih," kata graduan Kejuruteraan Perisian ini.

Menurutnya yang senang disapa sebagai Aliah, situasi tersebut kemudian berterusan apabila dia sudah menamatkan pengajian, Julai tahun lalu.

"Selepas habis belajar sekitar Julai, saya ada mohon pekerjaan mengikut bidang yang saya ambil. Tapi sementara nak dapat betul-betul, saya kerja dulu dekat sebuah pasar raya dekat rumah keluarga sebagai juruwang.



Ibu dan bapa merupakan individu yang banyak memberikan sokongan kepada Aliah.

"Sehingga saya grad pada Oktober, tapi nampaknya belum lagi ada rezeki. Saya kerja syif, kalau di sebelah pagi kerja, waktu malam mesti saya buka laptop untuk job-hunting. Tak pernah putus asa, begitulah setiap hari.

"Ada je customer tanya 'cuti semester ke dik?'. Bila saya jawab dah habis belajar, mereka tanya semula 'tak nak cari kerja lain ke?'. Ada juga pertanyaan-pertanyaan ni daripada orang sekeliling. Biasalah, budaya membanding-banding ada dalam masyarakat kita.

"Orang tak tahu macam mana kita berusaha.... cuma masih belum ada luck. Benda macam ni buat saya terasa, tapi tak sampai tahap tertekan. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya ada kerja dan pendapatan," katanya yang berasal dari Tangkak, Johor.

Contohnya bila saya kata akan pergi interview, mak akan berpuasa dan doakan yang terbaik. Sebak juga rasanya.

NOR ALIAH SHAFFAH

GRADUAN

Dalam tempoh sukar tersebut, Aliah berkata dia bertuah kerana mempunyai ibu bapa dan rakan-rakan baik yang sentiasa memberi sokongan dan kata-kata semangat buatnya.

"Ibu bapa sangat supportive. Contohnya bila saya kata akan pergi interview, mak akan berpuasa dan doakan yang terbaik. Sebak juga rasanya. Kawan-kawan rapat pula sentiasa sokong," kata wanita berusia 24 tahun ini.

Lapan bulan bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya, Aliah bersyukur apabila dia baru-baru ini ditawarkan mengikuti program latihan selama setahun dengan sebuah syarikat multinasional di Kuala Lumpur.



Antara komen netizen yang berkongsi nasib sama selain memberi kata-kata semangat buat Aliah.

"InsyaAllah awal April ini saya akan ikuti program tersebut. Mak paling happy sekali bila dia tahu. Dengar suara riuh dari dapur. Siap dah mula survey rumah sewa dan bertanya saudara mara lagi.

"Bagi saya, sekarang ni bukan masa memilih. Kalau dapat tawaran untuk training, program latihan atau protege dengan mana-mana syarikat, pergi je dulu. Mana tahu rezeki selepas ini.

"Tak sangka juga video tu dapat perhatian sehingga kini walaupun dah sebulan muat naik. Tapi saya terharu sangat dengan komen-komen mereka. Ada yang tawarkan kerja, ada yang cadang cuba aplikasi tertentu dan ramai yang doakan. Terima kasih sangat.

"Bagi mereka yang mungkin senasib, cuba saja dulu apa pekerjaan sekali pun walaupun kita ada ijazah. Jangan ada mentaliti 'apa barang kerja situ'. Lagi satu, masyarakat kita tak wajar ada budaya membanding-banding. Biarlah kerja apa pun, asalkan tak susahkan orang lain," katanya lagi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain