suria

Dulu malu nak mengaku belajar bidang jururawat... kini rasa satu kepuasan buat kerja cuci najis, benda-benda kotor

Dia mengakui pernah ditanya mengenai kerja-kerja yang perlu dilakukannya, yang mana ia dianggap menjijikkan oleh segelintir individu.

PERJALANAN jejaka ini sepanjang menceburi bidang kejururawatan tidaklah semudah yang disangka.

Selain berdepan persepsi orang sekeliling, dia sendiri kurang yakin dengan keputusannya itu, suatu masa lalu.

Menurut Augustine Giman, 26, dia ‘berperang’ dengan persepsi sendiri kerana kurang jelas dengan tugas hakiki yang bakal dilalui sebagai jururawat ketika mula menceburi kerjaya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Nurse kongsi kisah sedih dipandang jijik di stesen minyak, dianggap bawa kuman jika ke tempat awam - “Aiyo jangan bawa kotor-kotor”

ARTIKEL BERKAITAN: EH! Ramai pula semangat lain macam nak belajar cuci tangan guna hand sanitizer - “Masih tak fahamlah caranya, rasa nak jemput ke rumah...”

“Biasanya selepas tamat sekolah, ramai yang tiada hala tuju melainkan kalau dah ada minat ke arah sesuatu bidang dari awal.

“Saya juga tiada hala tuju. Saya dibawa oleh kawan untuk temuduga sebuah kolej. Saya juga ada persepsi buruk pada waktu itu untuk masuk bidang kejururawatan.

“Saya anggap ia kerja yang agak mudah. Kalau perempuan boleh buat, kenapa lelaki nak buat juga?

Augustine bertugas di sebuah hospital di Negeri Sembilan.

“Bila saya sendiri dah lalui fasa sebagai pelajar kejururawatan, baru saya faham, ” ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Augustine, dia mengakui pernah ditanya mengenai kerja-kerja yang perlu dilakukannya, yang mana ia dianggap menjijikkan oleh segelintir individu.

Ujarnya, dia juga pernah terasa hati dan pernah berasa malu untuk mengakui bahawa dia merupakan seorang pelajar bidang kejururawatan.

“Persepsi orang satu perkara biasa. Masa awal dulu, ada orang tanya... saya belajar di mana? Pada waktu itu, nak cakap pun malu.

Dulu jururawat lelaki pun kurang. Sekarang dah makin ramai.

AUGUSTINE

“Saya juga pernah terasa hati dengan hal itu. Mengenai cuci najis tu, kalau kita tak pernah buat, mesti kita akan rasa kotor.

"Tapi saya dah lali. Masa mula-mula kena buat dulu pun saya tiada masalah sebab dah belajar dari peringkat awal.

"Sebenarnya bila buat tu, kita akan rasa satu kepuasan. Sebab bila kita tengok benda kotor, kita akan cuba bersihkan. Tiada rasa jijik," ujarnya lagi.

Berasal dari Sarawak, dia dibesarkan di Johor sejak berusia 11 tahun.

Menurut Augustine yang bertugas di sebuah hospital swasta di Negeri Sembilan, dia ada berkongsi pengalamannya sebagai jururawat lelaki menerusi TikTok.

Jelasnya, penghasilan video itu bertujuan membuka mata masyarakat agar lebih memahami mengenai kerjaya seorang jururawat khususnya dalam kalangan kaum lelaki.

Malah katanya, dia melihat masyarakat hari ini semakin berubah dan mula memahami hakikat kerjayanya itu.

"Dulu jururawat lelaki pun kurang. Sekarang dah makin ramai. Masuk dalam bidang ini, kita tak akan berada pada satu tahap sahaja.

Augustine berkata, dia melihat semakin ramai yang membuka mata terhadap kerjaya itu khususnya dalam kalangan lelaki.

"Ada banyak benda boleh dibuat. Macam saya sekarang sedang sambung belajar di Institut Jantung Negara (IJN).

"Jangan takut nak masuk bidang ini. Masa depan agak berbaloi. Sijil kita juga laku di luar negara," ujarnya lagi.

Mengenai dirinya, Augustine merupakan anak kelahiran Bintulu, Sarawak yang berbangsa Iban dan dibesarkan di Johor sejak berusia 11 tahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain