suria

Perkahwinan pertama 22 tahun gagal... wanita ini sanggup beri kemewahan untuk suami baharu, beli bermacam barang mahal - “Saya keluar rumah sehelai sepinggang”

Foto kiri menunjukkan basikal, motosikal dan kereta yang dibeli Syila untuk suaminya, sementara gambar kanan memaparkan Syila bersama suami.

REZEKI itu datang dalam pelbagai cara dan seorang wanita berkongsi mengenai rezeki yang dikurniakan untuk dirinya selepas bernikah.

Menerusi satu video yang dikongsikan di aplikasi TikTok, wanita itu menunjukkan pemberian hadiah buat suaminya secara berperingkat iaitu basikal selepas bernikah, motosikal terpakai (enam bulan berkahwin) dan kereta terpakai (usia perkahwinan setahun).

Perkongsian itu bagaimanapun menimbulkan reaksi kurang senang segelintir netizen yang berpendapat bahawa suami yang sepatutnya berbelanja untuk isteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas berpisah 10 tahun, wanita ini pilih balik kepada bekas suami walau boyfriend baik dengan anak - "Saya langsung tak ada perasaan pada dia"

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas akad nikah, semua tergamam... anak lelaki tunggal ini menangis sujud cium kaki ibu di masjid - "Dia brutal sebenarnya"

Wanita berkenaan, Norhassila Mohd Yacob memberitahu, dia baru menyambut ulang tahun perkahwinan pertama selepas mendirikan rumah tangga pada 12 Februari 2020.



Syila (kanan) dan suami berkahwin pada Februari 2020.

Wanita berusia 41 tahun itu berkata, ini merupakan perkahwinan keduanya selepas rumah tangga yang dibina selama 22 tahun sebelum ini berakhir dengan perpisahan pada September 2019.

"Selepas tiga bulan bercerai (perkahwinan pertama), saya keluar rumah sehelai sepinggang dari rumah atas nama bekas suami sebagai pemilik. Saya kemudian tinggal secara tidak tetap.

"Sehinggalah saya bertemu dengan seorang lelaki iaitu suami saya sekarang, dan kami memutuskan untuk berkahwin. Saya tinggal di rumahnya bersama ibu mentua selepas itu," katanya kepada mStar sambil menambah suaminya kini berusia 40 tahun.

Lebih mesra disapa Syila, katanya, suaminya banyak memberikan sokongan terutama dari segi moral malah menerima dirinya seadanya yang berstatus janda anak tiga.



Hadiah ulang tahun perkahwinan pertama merupakan wang tunai untuk membeli kereta terpakai.

Mengulas lanjut mengenai dirinya, Syila berkata dia mengusahakan butik baju pengantin selama 12 tahun namun perniagaannya terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac tahun lalu.

"Mula-mula PKP, bisnes butik saya habis lingkup, terpaksa tutup. Masa tu baru sebulan kahwin, saya terpaksa jual baju-baju pengantin preloved (terpakai) secara dalam talian.

"Tapi Alhamdulillah bisnes saya tetap berjalan walaupun perniagaan berkaitan perkahwinan memang terjejas teruk akibat PKP," ujarnya yang berasal dari Taiping, Perak.



Suami Syila (belakang) bersama ibu mentua (duduk di kerusi roda) dan anaknya.

Berkongsi cerita mengenai perkahwinan baharu, Syila memberitahu, sifat penyayang dan mengambil berat membuatkan dirinya terpikat pada suami.

"Suami saya tak ada apa-apa, sekadar buat kerja-kerja kampung. Tapi saya tertarik dengan sikapnya yang penyayang, menjaga ibunya berusia 75 tahun yang uzur di rumah.

Tuhan mengajar saya menerusi musibah dan menyedarkan saya jangan hidup terlalu selesa. Pengalaman lalu mengajar saya supaya menghormati suami.

NORHASSILA MOHD YACOB

"Sampaikan dia pernah kata dia sanggup tak kahwin kerana nak jaga ibu dia selagi hayatnya masih ada. Saya fikir, kalau dia boleh jaga ibunya dengan baik, dia juga boleh jaga saya dengan baik... jadi, saya sendiri yang melamar dia," ujarnya.

Bagi wanita itu, sama ada suami mahupun isteri, sesiapa saja boleh keluar mencari rezeki sekiranya rumah tangga itu saling melengkapi.



Menurut Syila, suaminya menganggap anak bongsunya seperti anak sendiri.

"Saya bersyukur selepas berkahwin dengan dia, rezeki saya semakin murah. Suami banyak memberi sokongan kepada saya, malah dia turut menjaga anak bongsu saya berusia lapan tahun pada hujung minggu dan cuti sekolah, selain menjaga ibunya.

"Bekas suami meninggal dunia pada Oktober 2020, jadi anak-anak saya jadi anak yatim. Walaupun anak tiri, suami saya anggap mereka seperti anak sendiri," tambahnya.

Sehubungan itu, Syila menjelaskan bahawa rezekinya hasil bisnes dalam talian itu seharusnya dikongsikan bersama dengan suami yang sentiasa menyokongnya dari belakang.

"Saya akui dulu saya gagal dalam perkahwinan pertama atas sikap saya sendiri. Tuhan mengajar saya menerusi musibah dan menyedarkan saya jangan hidup terlalu selesa.

"Pengalaman lalu mengajar saya supaya menghormati suami. Saya bangkit dari kejatuhan dengan bantuan dia, jadi pemberian segala benda seperti motosikal dan kereta itu hanya kecil untuk membalas jasanya yang begitu besar," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain