suria

Gerai musnah dibadai ribut, jualan habis berterabur... reda diuji di hari pertama Ramadan, tindakan 2 rakan niaga selepas itu nyata berbaloi

Keadaan gerai Anwar dan rakannya yang musnah dibadai ribut pada Selasa lalu.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan.

Begitulah kisahnya melibatkan sebuah gerai di Keramat, Kuala Lumpur yang musnah dibadai ribut dan hujan lebat pada hari pertama Ramadan, Selasa lalu.

Menurut Khairul Anwar Kamarul Baharin, 27, kejadian berlaku secara tiba-tiba sekitar 4.45 petang dan dia gagal menyelamatkan semua hidangan yang sedang disediakan untuk dijual kepada pelanggan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Nak dapat seorang pelanggan pun susah” - Jarak pemisah buat anak resah, simpati gerai air tebu bapa sepi

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada tangan, tiada kaki... peniaga OKU menangis terima gerai ‘mahal, cantik sangat’ sumbangan Ebit Lew

"Ia berlaku pada hari pertama kita berpuasa. Masa tu hujan lebat, kemudian datang ribut sehingga khemah gerai terbang.

"Makanan pun berterabur tak sempat diselamatkan. Mujur meja tak patah. Masa tu tengah buat persiapan. Saya tengah bungkus nasi sambil letak ayam," imbasnya ketika dihubungi mStar.

Kata Anwar, dia reda dengan kejadian itu.

Mesra disapa Anwar, dia mendedahkan gerai itu sebenarnya diusahakan bersama seorang rakan, Mohammad Aidil Fitri Othman, 27, sejak dua bulan lalu.

"Kami berdua ada di gerai ketika ia berlaku. Kawan saya masa tu tengah goreng popia bergedil.

"Kami dah dua bulan kongsi gerai. Cuma sebelum puasa saya jual minuman," ujar Anwar yang pernah menjadi penghantar makanan GrabFood sebelum ini.

Kalau nak sedih pun tak guna, sebab ia dah terjadi.

ANWAR

Menurut Anwar, dia menerima kejadian itu dengan hati terbuka dan percaya ada hikmah yang diatur Allah buatnya.

Susulan kejadian itu, Anwar dan rakannya kini menjalankan perniagaan secara dalam talian dengan melakukan penghantaran kepada pelanggan.

Juadah yang dijual Anwar.

"Kalau nak sedih pun tak guna, sebab ia dah terjadi. Saya reda, saya yakin ada hikmah atas ujian ini.

"Sekarang kami berniaga online. Alhamdulillah kawan-kawan pun bagi sokongan. Kalau nak buka gerai balik pun, petang-petang sekarang cuaca ta menentu," ujarnya.

Tambah Anwar lagi, dia turut bersyukur menerima sokongan netizen selepas dia berkongsi kejadian itu menerusi Twitter.

Selain Anwar, rakannya turut berniaga popia bergedil di tapak gerai itu.

"Saya cuma nak ucap terima kasih kepada netizen yang beri sokongan sejak kejadian ini berlaku. Saya hargai sangat.

"Saya juga dapat pelanggan baharu menerusi Twitter. Ada juga yang nak derma, jadi dengan duit itu saya sedekahkan pula makanan untuk masjid dan surau," ujarnya.

Kata Anwar, segala hidangan yang dijual dimasak sendiri olehnya yang menetap di Sungai Besi.

Posting Anwar di Twitter sehingga kini meraih hampir 3,000 ulang kicau (Retweet).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain