suria

Makan sahur lauk air garam, abang guard nafi tak mampu... minta orang ramai henti simpati - “Bukan setiap hari macam ni”

Nasi putih, air dan garam menjadi lauk ketika pengawal keselamatan ini bersahur di tempat kerja.

HANYA makan nasi putih, berlaukkan air dan garam untuk bersahur.

Itulah hidangan seorang lelaki di saat ramai antara kita menikmati juadah enak dan lengkap ketika bersahur.

Rakaman video tersebut tular di aplikasi TikTok dan dibanjiri dengan komen dan reaksi netizen.

Pemuda berkenaan, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah pejabat di Kwasa Damansara, Selangor hanya ingin dikenali sebagai Ras dan berusia 30 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak balik kampung tak boleh... jom intai 10 lokasi berbuka puasa di Lembah Klang!

ARTIKEL BERKAITAN:Bukan hanya bulan Ramadan, kurma sesuai dimakan sepanjang tahun... ini 5 khasiatnya yang patut anda tahu

Ketika dihubungi mStar, Ras berkata dia tidak menyangka video itu akan menjadi tular dan meraih hampir 500,000 tontonan di aplikasi tersebut.

Ditanya mengenai hidangan sahurnya yang menjadi perhatian ramai, dia memberitahu bukan setiap hari air dan garam dijadikan sebagai lauk sahur.

“Memang dari dulu lagi saya makan macam tu. Tapi bukan setiap hari la, mungkin dalam sekali seminggu.

“Saya makan nasi bersama garam, air dan telur itu bukan kerana saya tak mampu. Cuma pada waktu itu saya tak sempat nak beli lauk.”

“Isteri habis kerja pukul 6 petang jadi saya jemput dia dan hantar ke rumah dahulu. Selepas itu baru saya masuk kerja,” katanya sambil menambah isterinya Siti Patimah, 28, bekerja sebagai pelayan di sebuah pusat beli belah.



Ras segan untuk mengambil makanan di pantri pejabatnya.

Bagaimanapun, melihat video tersebut rata-rata netizen tersentuh dengan lauk sahur yang dimakan Ras di tempat kerja dan ada juga yang bertanya jika pengurusan di pejabatnya tidak menyediakan makanan untuk pekerja di ruang pantri.

Anak kedua daripada empat beradik itu kemudian membalas komen netizen dengan memuat naik video menunjukkan ruang pantri di pejabatnya berserta apa yang ada di dalamnya.

“Dalam pantri ni ada je makanan tapi saya tak ambil walaupun dibenarkan. Pekerja lain pun ada yang pelawa saya.

“Tapi saya tak ambil juga sebab rasa malu, ye la saya ni security je. Kalau tidak diberitahu pun memang saya tak akan ambil, takut orang marah nanti,” katanya yang berasal dari Semporna, Sabah.

Ramai orang DM saya minta nombor akaun dan alamat untuk bagi bantuan. Tapi saya tak ambil, cuma berterima kasih atas kesudian mereka.

RAS

PENGAWAL KESELAMATAN

Ras juga mendedahkan dia ada menerima sumbangan RM100 dari pejabatnya selepas tularnya video tersebut.

Bagaimanapun Ras berkata dia tidak mengharapkan sebarang sumbangan daripada orang ramai tetapi tetap berterima kasih kepada mereka kerana sudi bertanya untuk menghulurkan bantuan.

“Ramai orang DM saya minta nombor akaun dan alamat untuk bagi bantuan. Tapi saya tak ambil, cuma berterima kasih atas kesudian mereka.

“Saya hanya mampu doakan mereka yang mahu hulurkan bantuan itu dipanjangkan umur dan murah rezeki untuk memberi sumbangan kepada orang yang lebih memerlukan, ” ujarnya.



Ras telah mendirikan rumah tangga selama 10 tahun dan dikurniakan dua orang cahaya mata.

Bapa kepada dua anak itu berkata dia sudah bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak lima tahun lalu dan kini menetap di Damansara Damai bersama keluarganya.

Dia tidak mampu untuk melakukan sebarang kerja yang menggunakan banyak tenaga kerana menghidap penyakit tibi sejak tahun 2017 dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain