suria

Tetap bantu walau tiada pengalaman! Polis wanita jadi ‘bidan’ sambut bayi lahir dalam kereta, tali pusat belit leher - “Nampak SJR, suaminya terus u-turn”

Dua polis wanita itu membantu wanita berkenaan yang melahirkan anak dalam kereta pada Jumaat malam. Foto: Facebook Affy Johari.

POLIS dan masyarakat berpisah tiada.

Jika diamati bait kata-kata ini, ia jelas menunjukkan hubungan erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat kita yang wujud sejak sekian lama.

Terbaharu, dua anggota polis wanita menerima pujian ramai selepas membantu seorang wanita berusia 26 tahun yang baru melahirkan anak di dalam kereta, berhampiran Sekatan Jalan Raya (SJR) di Expressway Kuching-Samarahan pada Jumaat malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Peristiwa RM2 ketika hari lahir buka mata abang polis... apa ceritanya sampai dah 10 tahun sanggup masak sendiri demi bantu gelandangan

ARTIKEL BERKAITAN: Suami sedang buat roadblock, siapa yang balik makan tengah malam? Isteri polis tak tahan diganggu, nampak lembaga hitam setinggi kabinet dapur

Menurut Lans Koperal Noor Fatihah Azelam, 27, dia dan rakan setugas, Koperal Perakson Anak Jennie, 40, merupakan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

"Kejadian berlaku sekitar 11.50 malam. Suami-isteri itu dari Kampung Semera Ulu, Asajaya dan dalam perjalanan ke hospital, tapi isteri dah melahirkan anak dalam kereta.

"Suami dia mungkin tengah panik memandu, dia nampak SJR, terus dia buat pusingan U (U-Turn) untuk minta bantuan kami.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Mula-mula anggota lelaki pergi tengok, kemudian dimaklumkan wanita itu nak bersalin. Ketika saya nak pergi tengok, saya dah dengar suara tangisan bayi," ujarnya kepada mStar.

Kejadian berlaku sekitar pukul 11.50 malam, Jumaat.

Menurut Noor Fatihah yang sudah berkhidmat dalam PDRM sejak 2014, dia dan rakan setugasnya cuba membantu wanita berkenaan apabila bayi yang baru dilahirkan itu mengalami masalah tali pusat berbelit.

Dalam situasi itu, saya terpaksa jadi serba boleh.

LANS KOPERAL NOOR FATIHAH AZELAM

"Tali pusat bayi berbelit di leher. Kami juga alami kesukaran nak potong tali pusat, tiada kelengkapan pada masa itu.

"Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Ambulans juga turut dihubungi sebelum mereka dibawa ke Hospital Umum Sarawak tak lama kemudian," ujarnya.

Menurut Noor Fatihah, ini merupakan pengalaman pertamanya berdepan situasi seperti ini dan sekadar mencuba yang terbaik demi keselamatan ibu dan bayi itu.

Wanita itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak tidak lama melahirkan anak di dalam kereta.

"Ini kali pertama, saya belum ada pengalaman. Saya pun belum berkahwin.

"Terkejut juga, dalam situasi itu, mereka mengharapkan pertolongan kami.

"Dalam situasi itu, saya terpaksa jadi serba boleh. Dah tiada sesiapa di situ melainkan anggota bertugas saja," ujarnya lagi.

Selain dua anggota wanita itu, SJR berkenaan turut melibatkan anggota polis lelaki serta pegawai Angkatan Tentera Malaysa (ATM).

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain