suria

Sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin - Agong

Agong berpandangan perlunya untuk mengadakan sidang parlimen secepat mungkin

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlulah diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadli Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara yang dipengerusikan yang di-pertuan Agong hari ini berpendapat bahawa sidang parlimen ini perlu diadakan bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli dewan rakyat.

“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi Kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat, ” katanya.

Menurut Fadli baginda berpandangan adalah penting untuk pentadbiran negara berada dalam keadaan stabil, kukuh serta boleh berfungsi dengan efektif dalam usaha untuk menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak COVID-19.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara,” katanya.

Selain itu, Baginda turut menzahirkan harapan supaya kes jangkitan Covid-9 dapat dilandaikan dengan segera dan baginda percaya ini hanya dapat dilakukan melalui program vaksinasi yang telah pun dimulakan..

“Baginda menzahirkan pandangan bahawa Kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus imuniti kelompok dapat dicapai seawal mungkin, ” katanya.

Ucapan setinggi penghargaan turut dizahirkan di atas sokongan berterusan Raja-Raja Melayu yang jelas mencerminkan keprihatinan tinggi terhadap kemaslahatan negara dan kelangsungan hidup rakyat.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada barisan hadapan dan seluruh rakyat yang berkorban dalam usaha memerangi wabak ini.

“Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini mengajak rakyat untuk bersama mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera, ” katanya.

Artikel Lain