ATAS desakan hidup, seorang lelaki terpaksa menjual barang peribadi demi meneruskan kelangsungan hidup kerana terkesan dengan pandemik Covid-19. "Assalamualaikum. Atas sebab terdesak, kami suami isteri decide untuk jual pakaian kami anak beranak. Perniagaan kami dah mati. Amat perlukan duit untuk standby kelahiran anak kedua tak lama lagi. Baju lelaki saiz S dan M, perempuan S, baby girl 6-12 bulan. Minta bantuan semua untuk RT," tulisnya di laman Twitter sehingga diulang kicau lebih 23,000 kali. Lelaki berusia 29 tahun itu memberitahu, dia mula mengusahakan gerai makan tujuh tahun lalu sebelum dikembangkan kepada kedai makan tiga tahun kemudian. ARTIKEL BERKAITAN: 'Jalan terus' walau mata tak nampak! Pasangan OKU hilang kerja tetap raih RM12, 000 seminggu jual sambal hitam - "Mula berniaga cuma terjual satu, dua pek" ARTIKEL BERKAITAN: Simpanan licin, pemuda hilang kerja akibat PKP tak sangka bisnes masyuk! Menu dari seberang buat pelanggan jauh pun terliur, nak order banyak Hanya mahu dikenali sebagai Karim, katanya, kedai makannya itu terpaksa ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, tahun lalu. Perkongsian Karim di laman Twitter menjadi tular. "Bisnes kedai makan terjejas, tak dapat pusing modal dan tak ada duit nak bayar sewa. Saya dan isteri kemudian tumpang buka gerai minuman di sebuah restoran, jual air batu campur (ABC) dan lai chi kang. "Namun sejak PKP 2.0 awal tahun ini, dan terbaharu PKP 3.0, bisnes di restoran itu juga tidak menguntungkan, apatah lagi gerai air saya dan kami membuat keputusan untuk berhenti... saya pernah cuma ada hanya beberapa ringgit di tangan," katanya kepada mStar. Namun kata Karim, dia terdesak untuk mencari wang ketika PKP 3.0 berikutan isterinya yang berumur 29 tahun sedang hamil anak kedua dengan usia kandungan memasuki enam bulan. Antara baju terpakai Karim untuk dijual. "Pada asalnya saya nak jual sofa dan meja makan di rumah. Tapi melihatkan isteri yang sedang hamil dan perlukan keselesaan berada di rumah, saya tak sampai hati. "Jadi, saya ambil keputusan untuk menjual baju-baju terpakai kami anak beranak... baju saya, isteri dan seorang anak perempuan yang berusia setahun enam bulan. "Benar, bukan baju-baju bundle (terpakai) milik orang. Tapi yang saya nak jual tu adalah baju-baju kami sendiri, yang masih elok untuk dipakai,” ujarnya yang berasal dari Johor. Pada asalnya saya nak jual sofa dan meja makan di rumah. Tapi melihatkan isteri yang hamil dan perlukan keselesaan berada di rumah, saya tak sampai hati. KARIM Menurut Karim, pada mulanya dia terpaksa meletakkan harga sedikit tinggi untuk disenaraikan di laman sosial kerana begitu terdesak untuk mencari pendapatan. "Pada hari pertama, saya letak harga setinggi RM40 dan serendah RM15. Saya tahu baju-baju tu adalah second hand dan bukan saya sengaja letak semahal itu. "Tapi saya terdesak sebab tak banyak baju kami untuk dijual. Alhamdulillah kira-kira 10 helai terjual pada hari pertama," katanya yang kemudiannya mengurangkan harga baju terpakai yang dijual kepada setinggi RM20 sehelai bermula hari kedua. Sebahagian baju terpakai isteri Karim. Kata Karim, dia bagaimanapun tidak menyangka perkongsiannya di laman Twitter menjadi tular sehingga ramai yang menawarkan diri untuk membantunya. "Saya berterima kasih, tapi minta maaf kerana terpaksa tolak. Saya tidak mahu bantuan duit. Sebab sebelum ini saya sering dikutuk dan dihina atas apa yang saya lakukan. "Sebagai ketua keluarga, saya mahu buktikan diri juga mampu cari duit sendiri dalam apa jua usaha yang dilakukan, termasuklah menjual baju kami anak beranak," katanya sambil menambah dirinya yang menghidap penyakit misteri turut menyukarkannya untuk keluar bekerja. Bungkusan baju-baju terpakai yang telah dibeli orang ramai untuk penghantaran. Walau bagaimanapun kata Karim, dia tidak pernah berhenti berharap untuk mencari rezeki bagi menyara kehidupan isteri dan anaknya, termasuk bayi yang bakal dilahirkan. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] "Dulu saya terlalu stres sampai nak call talian hotline untuk meluahkan perasaan, tetapi kini sedikit bersemangat apabila ada pihak yang membeli baju-baju second hand kami. "Saya merancang untuk menjadi reseller jual produk makanan secara online dari rumah, saya berharap ada pihak yang sudi menawarkan peluang dan bantuan untuk kami berniaga," katanya. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!