suria

“Saya pergi klinik swasta, tak beritahu mak ayah pun” - Gadis terbuka kongsi dirinya hidap masalah mental, terkejut ramai nak tahu cara jumpa pakar psikiatri

Alya yang didiagnos menghidap MDD sejak dua tahun lalu menggunakan media sosial untuk menyebarkan kesedaran kepada masyarakat.

TIDAK semua orang terbuka untuk berkongsi status kesihatan diri, lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu kesihatan mental.

Namun bagi gadis ini, dia mahu menggunakan medium media sosial untuk berkongsi pengalaman diri sekali gus diharapkan mampu menyebar kesedaran kepada masyarakat khususnya bagi mereka yang senasib.

Lebih senang dikenali sebagai Alya, dia mengakui pada mulanya terbit rasa was-was untuk berkongsi kisah perjalanan dirinya di media sosial sebagai seorang individu yang berdepan dengan isu kesihatan mental.

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir setahun dibelenggu depresi, 2 kali jalani ujian mental... gadis ini tepis stigma jumpa psikiatrik ertinya gila - “Kalau bunuh diri, sia sia usaha arwah mama...”

ARTIKEL BERKAITAN: Pendam rasa dari kecil hingga ke usia 20an, gadis alami depresi akibat mangsa herdikan emak... siap digelar anak derhaka!

Bagaimanapun, sambutan dan respon yang diterima selepas perkongsian pertama membuatkan dirinya bersemangat dan tidak keberatan untuk berkongsi cerita.

"Pada mulanya saya hanya terbuka mengenai apa yang saya hadapi ini dengan kawan-kawan rapat di Instagram sahaja. Ini kerana saya rasakan keadaan sekeliling masih belum mempunyai cukup kesedaran mengenai isu kesihatan mental.

"Kemudian saya mula cuba kongsi di TikTok... video ketika itu meraih 11,000 jumlah tontonan. Dan ramai yang komen, minta saya ceritakan bagaimana proses untuk dapatkan rawatan pakar.



Selepas enam bulan mendapatkan rawatan di klinik swasta, Alya meneruskan rawatan di hospital kerajaan dan berkongsi prosedur yang dilaluinya di media sosial.

"Mengapa tidak saya share sebab ramai yang tak tahu dan tercari-cari mengenai prosedurnya. Kebetulan pula saya ada appointment dengan pakar psikiatri baru-baru ini, jadi saya ambil kesempatan untuk rekod dan rangkumkan, dan kongsi di media sosial," kata gadis berusia 22 tahun ini.

Video yang dimuat naik Alya di aplikasi TikTok, yang mana dia berkongsi prosedur mendapatkan rawatan psikiatri di sebuah hospital, sehingga kini meraih lebih 45,000 jumlah tontonan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menyingkap serba sedikit mengenai isu kesihatan mental yang dihadapinya, Alya berkata dia didiagnos menghidap 'Major Depressive Disorder' (MDD) dan kebimbangan melampau (anxiety), dua tahun lalu.

Menurut Alya, sebelum didiagnos, dia mengalami simptom seperti kesedihan melampau, kemurungan dan rasa kekosongan selama hampir setahun.

"Masa itu saya masih menuntut di peringkat diploma di Johor. Berjauhan pula dengan keluarga yang menetap di Subang Jaya, Selangor. Faktornya disebabkan oleh peristiwa yang pernah saya alami namun saya tidak selesa berkongsi mengenainya.

"Pada mulanya saya sedih, boleh dikatakan kerap menangis. Saya seorang yang ceria pada awalnya, bila keadaan macam ini, kawan-kawan cadangkan saya dapatkan rawatan. Bila bertemu pakar dan buat test, pakar sahkan saya ada MDD dan anxiety.

Penyakit mental ni ada banyak jenis. Jagalah tutur kata kerana kita tak tahu apa yang individu itu alami. Fikir dahulu sebelum berkata-kata.

ALYA

"Pada peringkat awal, saya pergi klinik swasta. Saya tak beritahu ibu bapa pun. Selama enam bulan saya ke klinik swasta, kosnya lebih sikit... jadi kemudian saya bertukar kepada hospital kerajaan.

"Tidak lama kemudian, saya beritahu ibu dan bapa mengenai kesihatan saya. Mereka terkejut juga namun tetap memberi sokongan," ujarnya yang merupakan anak tunggal.

Menurut Alya yang kini merupakan pelajar semester empat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengangkutan), dia juga mengambil cuti khas selama enam bulan daripada universiti untuk memberi tumpuan kepada proses pemulihan.



Dua tahun bergelut dengan isu kesihatan mental, Alya terbuka untuk berkongsi di media sosial untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Sekarang ini saya bergantung kepada ubat ubatan. Saya juga sedang cuba berjinak dengan karya seni sebagai terapi. Dalam masa yang sama, saya juga banyak berkongsi dan bercerita dengan kawan-kawan dari sekolah dan kawan baharu yang dikenali dalam aplikasi Clubhouse.

"Itu adalah sebahagian daripada terapi untuk saya. Rasa lega dapat berkongsi dan bercerita.

"Bagi mereka berdepan dengan isu kesihatan mental, jangan bertangguh dapatkan rawatan. Ia boleh sembuh tapi perlu disertai dengan usaha kita. Ada yang ambil masa, tapi trust the process.

"Bagi yang lain pula, kena tahu, penyakit mental ni ada banyak jenis. Jagalah tutur kata kerana kita tak tahu apa yang individu itu alami. Fikir dahulu sebelum berkata-kata," katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain