suria

Runner temui ajal di jalan raya selepas banyak kali baiki, tukar motor! Isteri tergamam lihat foto suaminya terbaring kaku sehari selepas habis pantang

Suami Hafiza meninggal dunia ketika dia baru 45 hari melahirkan puteri sulungnya pada 2017.

SUDAH empat tahun berlalu, tapi rasa pilu dalam hati wanita berusia 27 tahun ini tak siapa yang tahu.

Menurut Nor Hafizah Hilmi, dia sendirian membesarkan anak selepas suaminya, Danny Fahrul Syah Wahyu Hermanto meninggal dunia dalam satu kemalangan pada 4 Julai 2017.

Lebih perit, kejadian itu berlaku sehari sebelum ulang tahun kelahirannya, malah dia pada ketika itu baru 45 hari melahirkan cahaya mata pertama.

ARTIKEL BERKAITAN: Raya 3 beradik suram selepas kematian mak ayah, kakak pula dah 6 tahun bawa diri ke Australia

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 3 tahun meninggal, suami setiap hari ziarah pusara isterinya, beri ‘makanan’ 3 kali sehari untuk balas jasa

Mesra disapa Hafiza atau Eb, dia ketika dihubungi mStar sempat memperincikan semula kisah itu yang disifatkan sebagai detik duka dalam hidupnya.

"Suami bekerja sebagai runner, dia hantar dokumen di Serdang (Selangor) pada waktu itu. Ketika kejadian, saya tengah masak.

"Saya tak perasan orang dah mula hantar mesej ucapan takziah sehinggalah dibubungi polis. Kemudian baru saya tengok telefon, saya nampak orang hantar gambar jenazah suami terbaring atas jalan raya.

"Saya macam tak percaya, rasa macam mimpi. Dalam keadaan berpantang, saya dengan baby kecil dibawa oleh kakak dan abang ipar ke lokasi kejadian.

"Tapi masa tu jenazah sudah dibawa menaiki trak polis, kemudian saya ke Hospital Serdang untuk buat pengecaman. Difahamkan suami terlelap ketika menunggang sebelum terbabas, " imbasnya.

hafiza

Arwah sempat menjaga puteri sulungnya selama 45 hari sahaja.

Menurut Hafiza, sukar untuk dia menerima hakikat memandangkan kejadian berlaku dalam tempoh setahun perkahwinan mereka.

Malah katanya, ia bukanlah kejadian kemalangan pertama melibatkan arwah suaminya.

Saya akan tenung dan peluk anak, itu saja yang saya boleh buat untuk hilangkan rindu.

HAFIZA

"Saya memang tak sangka nak jadi macam ni. Dia dah tiga ke empat kali kemalangan sebelum itu. Dah banyak kali baiki motor dan tukar motor.

"Kalau diingat balik, saya pun tak sangka yang ia berlaku sehari sebelum birthday saya. Sejak suami meninggal, saya memang tak sambut birthday.

"Ketika kejadian, anak kami baru 45 hari dilahirkan. Suami tunggu setahun, dia memang nak anak perempuan. Tapi dia sempat jaga selama 45 hari saja.

"Sepanjang tempoh itu, memang dia yang jaga dan tidurkan anak. Sekarang anak kami dah berusia empat tahun, " kata Hafiza yang kini menetap di Gombak.

hafiza3

Anak pasangan itu kini berusia empat tahun.

Imbasnya lagi, anak tunggal mereka diberi nama Shaheiza Zahra Keisha yang juga idea Allahyarham sendiri.

"Suami yang bagi nama, dia nak ada tiga perkataan dalam nama tu, sama seperti nama dia juga. Sampai sekarang dalam bilik penuh dengan gambar arwah.

"Saya cerita pada anak, inilah ayah. Anak pun dah faham ketiadaan ayahnya, " ujarnya sebak.

Suami Hafiza meninggal dunia ketika dia baru 45 hari melahirkan puteri sulungnya pada 2017.

Hafiza kini membesarkan anaknya sendirian.

Selain menjaga anak, Hafiza kini turut menjaga ibunya, warga emas berusia 60-an yang menghidap strok sejak setahun lalu.

Sebelum ini, Hafiza menjalankan perniagaan makanan di pasar malam, namun operasi terjejas dek pandemik Covid-19 sebelum dia mula berniaga kecil-kecilan di rumah.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami dah tak berniaga pasar malam. Lepas tu saya jadi beautician. Tapi tak berani terima pelanggan ke rumah sebab mak tengah sakit, berisiko.

hafiza2

Hafiza kini berniaga puding buah untuk menyara keluarga.

"Sejak minggu lepas saya jual puding buah. Kalau ada tempahan, saya juga buat nasi kerabu, nasi dagang dan nasi berlauk sebagaimana yang kami jual di pasar malam sebelum ini, " ujarnya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Dalam pada itu, Hafiza turut berterima kasih apabila ramai netizen memberikan sokongan selepas dia berkongsi kisah duka itu menerusi satu bingkisan video di aplikasi TikTok.

"Saya terharu ramai yang ucap takziah walaupun dah lama kejadian ini. Ramai yang bagi semangat.

"Nasihat saya kepada mereka di luar sana, hargai pasangan ketika mereka masih ada. Kalau salah seorang dah meninggal, kita kena kuat.

"Lagi-lagi jika ada anak. Tak boleh tunjuk lemah depan anak. Saya kalau rindu suami, saya akan tenung dan peluk anak, itu saja yang saya boleh buat untuk hilangkan rindu, " ujar Hafiza mengakhiri bicara.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain