suria

Isteri buat video tutorial mekap, suami ‘kaki bertukang’ tunjuk skil jadi suara latar ... layankan saja sebut ‘eyebrows paint’, Ariana Grande!

Foto kiri, tengah tangkap layar video tutorial mekap Nurul, manakala foto kanan Nurul (kanan) bersama suami.

BUKAN tutorial mekap biasa-biasa, seorang wanita berkongsi video tersebut di laman sosial dengan suara latar atau voice over (VO) suaminya sendiri!

Pastinya bukan mudah, namun suaminya menyahut cabaran dengan menyebut satu persatu teknik solekan dan produk kosmetik yang digunakan isterinya.

"Ni eyeliner untuk colourkan mata bagi besar sikit macam Ariana Grande," antara suara latar lelaki berkenaan yang merujuk kepada penyanyi antarabangsa itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kempunan tak dapat makan lontong, gadis ini 'lepas geram' pada wajah sendiri malam raya - "Mencabar nak letak pinggan di muka"

ARTIKEL BERKAITAN: Cayalah! Baru 11 tahun tapi bakat mekap taraf profesional, Iris cabar diri idam solek Neelofa

Wanita berkenaan, Tengku Nurul Soleha Tengku Sallehuddin berkata, dia sememangnya gemar membuat video tutorial solekan dan masakan bagi mengisi masa lapang.

Isteri berusia 33 tahun itu memberitahu, video menggunakan VO suaminya selepas mendapat inspirasi daripada video-video yang mula menjadi trending di laman sosial.

"Saya nampak ada satu, dua video yang menggunakan VO pasangan lelakinya, tapi mereka guna suara boyfriend. Jadi, kenapa tidak saya gunakan suara suami sendiri.

"Masa tu saya selesai mekap untuk bersiap keluar, manakala suami pula baru lepas semak homework anak yang mengikuti PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah)," katanya kepada mStar.



Tangkap layar video Nurul membuat solekan inspirasi Ariana Grande.

Lebih dikenali sebagai Nurul, katanya, suara latar suaminya yang berusia 38 tahun itu dilakukan secara spontan, tanpa skrin dengan satu kali rakaman.

"Apa yang dia tengok, dia faham itulah dia sebut. Sebenarnya suami tak berminat untuk mengikut saya membeli peralatan mekap, jadi dia memang langsung tak tahu pasal mekap.

"Semuanya sekali imbas. Ada juga yang suami salah sebut seperti eyebrows paint, sedangkan saya guna eyeshadow. Saya guna maskara tapi suami sebut eyes thickener... katanya nak nampak bahagian mata kelihatan tebal.

"Secara keseluruhan saya bagi markah empat atau lima daripada 10. Kira bolehlah tu, sebab dia memang tak minat ikut saya beli barang mekap," ujarnya secara berseloroh.



Nurul (kiri) menyifatkan suaminya seorang yang rajin dan mementingkan keluarga.

Ibu kepada dua cahaya mata lelaki berusia lapan dan empat tahun itu bagaimanapun tidak terkejut apabila suaminya menyebut nama Ariana Grande dalam video berkenaan.

"Suami saya bukanlah peminat Ariana Grande, tapi dia pernah dengar beberapa lagu penyanyi tu. Suami kata mekap di bahagian mata saya seperti gaya solekan Ariana Grande, itu saja.

"Dia kata pernah tengok dalam video muzik, dan saya pula sebelum ini pernah membuat video tutorial mekap berinspirasikan Ariana Grande. Jadi itulah nama yang terlintas dalam fikirannya," katanya yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.

Suami saya bukanlah peminat Ariana Grande, tapi dia pernah dengar lagu penyanyi tu. Suami kata mekap di bahagian mata saya seperti gaya solekan Ariana Grande, itu saja

NURUL

Menurut suri rumah sepenuh masa itu, dia memperuntukkan lebih masa untuk menyiapkan diri terutama berhias dan solekan apabila hendak keluar rumah.

"Kalau mekap biasa kurang dari 20 minit, tapi kalau saya buat video content boleh mencecah 30 minit. Suami tak pernah kata lama menunggu, tapi dia menggunakan alasan anak dah lama menunggu sampai anak-anak bosan menunggu dalam kereta.

"Tapi kalau lama sangat menunggu, saya minta suami bawa anak jalan-jalan pusing taman dulu sementara tunggu saya bersiap dan mekap," katanya.



Ariana dan suami dikurniakan dua cahaya mata lelaki.

Dalam pada itu, Nurul menyifatkan suaminya seorang yang mementingkan kekeluargaan, sangat rajin dan tidak suka membuang masa.

"Kebanyakan masanya kalau bukan kerja, adalah bersama keluarga. Dia family man, kalau ada masa lapang dia akan bertukang buat macam-macam seperti rak.

"Suami rajin kemas dapur, saya suka masak. Dia suka basuh pinggan mangkuk, siap boleh atur dengan kemas. Dapur di rumah mak dia pun rajin dikemaskannya," katanya sambil menambah suaminya menyukai menu asam pedas dan nasi goreng kampung hasil air tangannya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain