suria

Tak pernah berenggang, kuarantin pun sekali... anak reda ibu meninggal hanya beberapa jam selepas mereka berpisah, kini bapa pula positif Covid-19

Selepas pemergian ibu akibat Covid-19 pada 8 Julai lalu, bapa Mia pula dimasukkan ke hospital pada Aidiladha baru-baru ini kerana turut dijangkiti.

TANGGAL 8 Julai pastinya tidak akan dilupakan oleh wanita ini seumur hidupnya.

Pada tarikh inilah, ibu tercinta pergi menghadap ilahi selepas kira-kira seminggu dijangkiti Covid-19.

Dugaan buat wanita ini tidak terhenti di situ sahaja kerana bapa kesayangan masih lagi dirawat di sebuah hospital, juga kerana dijangkiti virus berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lama tunggu pembedahan, ibu kritikal jadi korban demi ‘beri laluan’ doktor selamatkan pesakit Covid-19... sudah terlambat nak dibawa ke hospital swasta

ARTIKEL BERKAITAN: Wajah pesakit Covid-19 sedang tunggu ajal berseri sebelum meninggal, suami keluar kuarantin tak mampu masuk rumah - “Saya sempat sikat rambut mak, pakaikan tudung”

Mengimbas kembali detik tragis yang merentap hampir separuh nyawanya, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mia Mohamed berkata, segala-galanya bermula selepas dia dan ibunya menjadi kontak rapat kepada adiknya yang positif, didakwa gara-gara sikap tidak bertanggungjawab rakan sekerja.

"Saya ambil ibu dan ayah dari Johor Bahru untuk tinggal bersama sejak Ramadan lalu kerana mahu menjaga mereka, lebih-lebih lagi kerana mereka sudah berusia dan kebetulan pula ibu ada temu janji untuk penyakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

"Saya memang rapat dengan kedua-duanya sebab anak perempuan bongsu. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu, saya tinggal di kampung untuk jaga mereka.

"Sekitar hujung Jun baru-baru ini, adik datang ke rumah untuk ziarah ibu dan ayah. Tak lama selepas itu, dia mendapat simptom dan memang benar, dia positif Covid-19.

mak ayah

Mia terlalu rapat dengan arwah ibu dan bapanya, malah membawa mereka tinggal bersamanya di Selangor pada Ramadan lalu.

"Memang berderau bila dapat perkhabaran itu, serta merta terfikir keadaan ibu dan ayah. Kami bertiga terus buat ujian calitan (swab) di klinik swasta di mana saya dan ibu kemudian disahkan positif, ayah pula negatif," cerita wanita berusia 29 tahun ini.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Cerita Mia, dia dan ibunya yang berusia 68 tahun terus kuarantin diri di rumah sementara menunggu panggilan daripada KKM, manakala bapanya 'dipisahkan' buat sementara waktu di rumah abangnya.

"Kami berdua dah ada simptom seperti demam semasa kuarantin. Keadaan ibu masa tu dah lain sikit. Pada 8 Julai, kami gagahkan diri pergi ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan masa itu sebenarnya kami berdua dah agak sakit teruk.

"Doktor di situ terus bertindak pantas dan kami berdua dihantar ke hospital. Masa dalam ambulans, ibu dah lemah namun sempat menitipkan beberapa pesan. Itulah momen yang akan saya ingat sampai bila-bila.

mak ayah 1

Kenangan Mia bersama ibu dan bapanya ketika sambutan Aidilfitri lalu.

"Syukur, di hospital, saya ditempatkan sebelah katil ibu sebab saya sentiasa berdoa, biarlah saya bersama dengan ibu. Allah makbulkan. Namun akhirnya kami 'terpisah' jua sebab saya perlu dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Maeps.

"Saya merayu nak bersama ibu tapi atas nasihat doktor, saya akur walaupun beratnya hati. Malam hari yang sama, baru je saya tiba di Maeps, dapat panggilan mengatakan ibu dah pergi. Betapa luluhnya hati saya," kata Mia yang merupakan akan keenam daripada tujuh adik beradik.

Menurut Mia, dia hanya mampu menyaksikan urusan pengebumian ibunya menerusi panggilan video sambil ditemani air mata.

"Di Maeps, tiga hari saya ditempatkan di bahagian khas bantuan oksigen dan empat hari di wad pemantauan. Di situ saya bertemu ramai pesakit tua dan saya selalu bantu mereka kerana nak ubati rindu pada arwah ibu.

Malam hari yang sama, baru je saya tiba di Maeps, dapat panggilan mengatakan ibu dah pergi. Betapa luluhnya hati saya.

MIA MOHAMED

"Memang ramailah jadi 'mak angkat' saya di sana dan kami masih berhubung hingga kini," cerita Mia sambil menambah, dia terus menziarahi pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Batu 10 Kebun Bharu, Teluk Panglima Garang sebaik sahaja dibenarkan pulang pada 15 Julai.

Dugaan silih berganti apabila bapanya pula kemudian disahkan positif Covid-19 dan diambil oleh ambulans untuk ke hospital pada pagi Hari Raya Aidiladha, baru-baru ini.

"Ayah sedih sebab dia ingat saya dapat temankan. Saya lagilah hiba, mengenangkan usianya yang sudah 71 tahun... berjalan pun tak kuat. Hari-hari selang beberapa jam, saya akan hubunginya.

"Saya pujuk dan tenangkan hatinya... minta dia kuatkan semangat supaya lekas sihat dan dapat balik.

mak pusara

Arwah ibu Mia dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10 Kebun Bharu, tidak jauh dari rumahnya di Jenjarom.

"Dialah satu-satunya yang kami adik beradik ada selepas arwah ibu dah pergi. Saya ingat pesanan ibu semasa kami berdua dalam ambulans, iaitu jaga ayah kalau apa-apa terjadi kepadanya selepas ini. Itu amanah yang saya pegang kuat," katanya yang menetap di Jenjarom, Selangor.

Tidak menyangka perkongsiannya tular, Mia berkata dia mahu mengabadikan kenangan bersama kedua ibu bapa selain menyampaikan mesej agar menghargai orang tua masing-masing.

"Saya bersyukur kerana dapat luangkan masa menjaga mereka malah ada di sisi ibu pada hujung-hujung hayatnya. Kalau nak fikir pasal sibuk bekerja, sampai bila-bila pun tak dapat peluang seperti ini. Pilihan di tangan kita sendiri.

"Dan ketahuilah Covid-19 itu benar. Jadilah individu bertanggungjawab dan tidak pentingkan diri," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain