IBARAT mendapat nyawa kedua! Begitulah ungkapan yang sesuai bagi menggambarkan pengalaman yang dihadapi bekas pesakit Covid-19 tahap lima ini selepas pulih daripada jangkitan virus berkenaan. Selama 25 hari dirawat di hospital, dengan lima hari daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) malah terpaksa ditidurkan (intubate), dia akhirnya pulih berbekalkan doa yang dititip oleh insan tersayang dan semangat juangnya demi bayi yang dikandung. ARTIKEL BERKAITAN: Tengok pesakit lain menggelupur, meninggal depan mata... wanita dapat bayangkan jenazah sendiri diurus sebelum dibawa ke ICU - “Covid-19 is real, saya dah habis jaga” ARTIKEL BERKAITAN: “Nak tulis wasiat” - Itu permintaan terakhir pesakit kanser mangsa Covid-19 sebelum ‘ditidurkan’... saat itu bayangkan frontliner tanpa PPE, pasti segala-galanya terbongkar! Berkongsi cerita dengan mStar, Nur Hafiza Jumali berkata dia dijangkiti virus berkenaan kerana merupakan kontak rapat kepada suami yang mendapat jangkitan dari tempat kerja. "Sebelum itu suami positif. Dan saya yang masa tu hamil 24 minggu sudah alami simptom seperti demam dan hilang deria bau dan rasa. Ketika itu sebenarnya sudah terdetik kemungkinan saya juga positif. "Saya pergi hospital dengan tujuan nak buat ujian calitan (swab) tapi akhirnya terus ditahan di wad kerana doktor beritahu saya dah tahap dua. Memang sehelai sepinggang waktu itu. Hanya panggilan video bersama suami untuk mengubati rasa rindu. "Saya ditempatkan di wad biasa sebab masa itu oksigen okay lagi. Di situlah bermula pengalaman yang saya takkan lupakan seumur hidup. Dua hari berturut-turut pesakit di sebelah katil saya meninggal dunia. "Saya nampak depan mata frontliners mencuba sungguh-sungguh nak selamatkan nyawa pesakit ini tapi gagal. Dua insiden berlaku depan mata, memang saya down sikit masa tu," cerita suri rumah berusia 32 tahun ini. Tambah Nur Hafiza, keadaan kesihatannya juga semakin merosot sehingga dia akhirnya terpaksa dipindahkan ke ICU untuk 'ditidurkan'. Selain suami, ibu bapa dan keluarga, Nur Hafiza mendapat semangat dan kekuatan daripada rakan-rakan. "Saya ingat lagi tarikhnya iaitu 10 Julai. Sebelum nak ditidurkan, doktor beri peluang untuk saya berhubung dengan insan-insan tersayang lebih kurang 15 minit. "Saya mohon maaf dekat suami dan beritahu kalau baby kami survive, minta dia jaga elok-elok. Saya juga mohon maaf pada kedua ayah dan ibu. Masa itu ayah menangis, tak pernah saya tengok dia macam tu. Mak pula beri kata-kata semangat dan yakin yang saya kuat. "Saya beritahu ayah jangan menangis sebab saya akan bangun, saya akan berjuang dan ayah kena beri saya semangat. Selepas itu, doktor ajarkan syahadah. Saya ketika itu dalam keadaan reda... selepas tu tak sedar dah," ujarnya yang menetap di Ampang. Tambah Nur Hafiza, dia sendiri tidak menyangka mampu mengharungi saat getir tersebut dan berpeluang mengecap sekali lagi nikmat kehidupan. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] "Sepanjang tak sedarkan diri, saya bermimpi bertemu dengan baby saya. Mungkin Tuhan nak tunjuk, sebab saya berazam untuk kuat demi baby dalam kandungan. "Saya sebelum ini pernah hidap kanser ovari tahap satu, dan terpaksa tunggu empat tahun sebelum dikurniakan nikmat untuk hamil... tapi diuji Covid-19 pula. Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan. Walaupun berat saya turun lapan kilogram, tapi berat dan keadaan baby okay," ujarnya sambil menambah, usia kandungan sulungnya kini mencecah 28 minggu. Sepanjang tak sedarkan diri, saya bermimpi bertemu dengan baby saya. Mungkin Tuhan nak tunjuk, sebab saya berazam untuk kuat demi baby dalam kandungan. NUR HAFIZA JUMALI BEKAS PESAKIT COVID-19 TAHAP 5 Selepas dirawat selama 25 hari, Nur Hafiza dibenarkan pulang pada 25 Julai lalu. Ujar wanita ini, apa yang dilaluinya memberikan 1,001 hikmah selain membuatkannya lebih mensyukuri peluang kedua yang diberikan. "Saya ibarat individu lain apabila sedarkan diri. Tak terhingga apa yang diberikan Allah iaitu peluang kedua. Saya mahu menjadi individu yang lebih baik, berbakti kepada suami dan ibu bapa. "Kini saya masih dalam proses untuk pulih sepenuhnya... sekarang masih batuk-batuk, tak boleh tarik nafas dalam-dalam, dan hati juga ada kesan. Nur Hafiza sangat berterima kasih kepada para petugas hospital kerana merawat dan menjaganya sehingga pulih. "Bagi mereka yang hadapi situasi sama, kena positif dan terus kuat. Jangan down atau terlalu sedih. Kena tetapkan matlamat juang untuk terus hidup. Macam saya, saya berazam nak lawan demi baby. "Akhir sekali, penghargaan yang tak terhingga buat semua frontliners terutama yang jaga saya. Mereka begitu mengambil berat, bersemangat dan lakukan tugas dengan ikhlas sedangkan mereka juga ada keluarga. Saya terhutang budi dan tabik dengan anda semua," ujarnya lagi Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!