suria

Tragedi ngeri selepas setahun kahwin... 55 minit jantung suami berhenti, 42 hari terlantar di hospital - “I dah tak cantik, nanti you cari orang lain”

Foto kiri Manshah dan Syira di hospital, foto kanan Syira dan Manshah bahagia sebagai suami isteri. Gambar kecil, kereta yang dinaiki mereka terbabit kemalangan.

IBARAT diberi peluang hidup kedua, sepasang suami isteri terselamat daripada kemalangan ngeri selepas baru setahun mendirikan rumah tangga.

Kejadian enam tahun lalu itu masih berbekas dalam ingatan kedua-dua mereka apabila dimasukkan ke hospital selama 42 hari.

Kesannya juga dirasai sehingga kini apabila baki 'kerangka besi' masih berada dalam tubuh mereka yang kini meneruskan kehidupan seperti biasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ini sangat terdesak! Jual baju sendiri, isteri dan anak demi teruskan hidup... bimbang fikir kelahiran bayi kedua - "Pernah nak call hotline luah perasaan"

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri korbankan duit simpanan beli motor baharu, tak sanggup tengok suami ulang alik bengkel... ada rahsia terbongkar selepas buat kejutan!

Nur Syahirah Esmadee memberitahu, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta Perodua Perdana yang dipandu suaminya dan sebuah van ketika dalam perjalanan dari Mersing ke Kulai di Johor, pada 14 Oktober 2015.

Wanita berusia 31 tahun itu berkata, dia mengalami kecederaan parah di muka, tangan dan paha, manakala suaminya juga patah paha, selain mengalami cedera parah di tangan dan kaki.

"Sepanjang 42 hari di hospital, kami berdua masing-masing menjalani tiga pembedahan. Enam hari pertama, suami 'ditidurkan' di ICU (unit rawatan rapi).

"Saya di wad tanya keluarga mana suami... mereka kata jangan risau, okay, ada kat tempat lain. Saya tak dapat fikir masa tu kerana belum cukup stabil," katanya kepada mStar.

suami isteri kemalangan 10

Kereta yang dinaiki Manshah dan Syira bertembung dengan sebuah van.

Suami Nur Syahirah, Muzzalman Shah Ismail Muzani berkata, dia hanya sedar pada hari ketujuh dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru.

Juruterbang berusia 47 tahun itu dimaklumkan dia bertarung nyawa di ICU apabila jantungnya berhenti berdegup selama 55 minit.

"Alhamdulillah, saya masih bernafas. Hari ketujuh tu baru saya berjumpa dengan isteri saya... dapat lihat wajahnya menangis," katanya yang lebih mesra disapa Manshah.

suami isteri kemalangan 9

Kesan kecederaan yang dialami suami isteri ini selepas kemalangan.

Nur Syahirah atau Syira berkata, kemalangan itu juga memberi cabaran dan dugaan besar di awal perkahwinan mereka yang ketika itu belum dikurniakan cahaya mata.

"Kecederaan teruk di muka menyebabkan saya kurang yakin dengan diri sendiri. Kecederaan teruk yang dialami suami pula boleh mengakibatkan dia hilang kerjaya sebagai juruterbang.

"Suami tak boleh kerja selama 16 bulan untuk recovery. Kami pergi menjalani fisioterapi sama-sama setiap minggu," katanya yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.

Beremosi kerana kesan parut di muka, Syira mengakui bimbang suaminya akan berubah hati.

"Saya rasa diri tak cantik. Saya sendiri cakap kat suami, I dah tak cantik, pakai kerusi roda pula tu... nanti you cari orang lain," tambahnya.

suami isteri kemalangan 4

Sewaktu membuang sebahagian 'besi' dalam badan, pada Oktober 2020.

Menurut Manshah, sepanjang tempoh pemulihan itu juga memainkan peranan buatnya untuk menaikkan semangat isteri.

"Sebelum kahwin, mungkin terfikir pasal rupa. Tapi bila dah kahwin, dah jadi suami, saya bersama dia sebab hati.

Setiap kesukaran harus ditempuhi bersama. Cinta dan kasih sayang bukan berdasarkan kebendaan tapi keikhlasan hati menerima antara satu sama lain

SYIRA

"Muka isteri macam mana pun, dia tetap di hati saya. Bila dah kahwin... kena terima baik dan buruk pasangan tu. Tempoh 16 bulan kami pergi mana-mana bersama, tunjuk kasih sayang.

"Sebenarnya, kasih sayang kami lebih dari zaman bercinta. Alhamdulillah, saya dapat mengembalikan keyainan isteri," katanya sambil menambah isterinya turut menjalani rawatan susulan berikutan kesan kecederaan pada muka.

suami isteri kemalangan 1

Manshah (dua, kanan) dan Syira (dua, kiri) dikurniakan dua cahaya mata.

Dalam pada itu, Syira yang merupakan suri rumah berkata, perkongsian kisah mereka untuk memberi inspirasi kepada pasangan berkahwin yang berdepan dengan cabaran dan dugaan ketika pandemik.

"Kena susah dan senang sama-sama. Setiap kesukaran harus ditempuhi bersama. Cinta dan kasih sayang bukan berdasarkan kebendaan tapi keikhlasan hati menerima antara satu sama lain," katanya sambil menambah mereka kini dikurniakan dua cahaya mata.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain