suria

Loghat utara ‘buh’ buat ramai ‘melekat’ dengan video-video masakan lelaki ini, sanggup tengok hingga saat terakhir... apa yang menarik sangat?

Video masakan Wan yang menyajikan menu ringkas dan mempunyai trademark 'buh' meraih jumlah tontonan yang tinggi di TikTok.

APLIKASI TikTok menjadi salah satu medium media sosial yang paling trending ketika ini.

Bukan hanya video tarian semata-mata, malah kebanyakan warganet menggunakannya untuk berkongsi pelbagai tip, informasi, insiden lucu, resipi dan banyak lagi.

Tidak terkecuali pemuda ini yang banyak berkongsi video masakan sempoi dan ringkas di aplikasi berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hasil didikan arwah ibu, pemuda tak kekok buat kerja rumah... siap share video memasak di TikTok, ambil tempahan biskut - “Ramai DM nak berkenalan tapi belum jumpa jodoh”

ARTIKEL BERKAITAN: Simpati ‘kakak’ mengadu susah keluar nak beli tomyam, cef terus kongsi resepi... apa yang berlaku selepas itu buat dia tak lalu makan!

Meskipun ramai mempunyai content yang sama, namun video masakan pemuda ini lain daripada yang lain kerana mempunyai 'trademark' tersendiri.

Selain video tutorial sempoi masakan ringkas namun mampu membuatkan penonton kecur liur, perkongsiannya juga menarik kerana pemuda ini menggunakan loghat utara dan perkataan trademark 'buh' (bubuh) yang membawa maksud 'masukkan' setiap kali memasukkan bahan ke dalam kuali.

Rata-rata video masakannya meraih puluhan ribu malah ada yang melebihi satu juta jumlah tontonan.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda itu yang hanya mahu dikenali dengan nama Wan ini berkata dia sendiri sama sekali tidak menjangka video masakan ringkasnya meraih perhatian ramai.

Siapa sangka, selain mahu mengisi masa lapang, rupa-rupanya ada kisah tersendiri mengapa pemuda berusia 32 tahun ini gemar memasak.

"Sebenarnya saya kini sedang bercuti sakit selepas didiagnos menghidap Major Depressive Disorder (MDD) dengan psikosis. Sepanjang cuti sakit, memang saya memasak sendiri, lagi pula masih bujang.

"Memandangkan hari-hari memasak, saya fikir baik buat video sekali. Niat asalnya sebagai hiburan dan nak hilangkan stres saja tapi lama-kelamaan saya makin suka dan makin ada keyakinan. Secara tak langsung ia menjadi terapi untuk saya.

BUH baru 1

Selain masakan ringkas, Wan turut memuat naik videonya melakukan aktiviti outdoor dan melukis.

"Masakan saya semua yang ringkas... lauk orang bujang. Mungkin orang yang tak ada idea memasak, boleh dapat idea daripada video saya. Perkataan 'buh' tu sebab kita asal orang utara.

"Walaupun menetap di Sarawak dah tujuh tahun kerana bekerja, tapi loghat tetap maintain. Mula-mula buat video, saya sediakan skrip tapi payah pula dan macam skema sangat... kemudian saya buat skrip spontan sendiri. Itulah asalnya terkeluar perkataan 'buh' sampai jadi trademark," ujarnya yang berasal dari sebuah negeri di utara tanah air.

Wan berkata dia berkebolehan memasak seawal usia lapan tahun lagi selepas bapanya meninggal dunia.

Mungkin orang yang tak ada idea memasak, boleh dapat idea daripada video saya. Perkataan 'buh' tu sebab kita asal orang utara.

WAN

"Saya bantu ibu dan buat benda-benda asas seperti masak nasi dan lauk ringkas... lebih-lebih lagi ibu terpaksa keluar bekerja selepas arwah ayah tiada, jadi saya kerap juga masuk dapur.

"Kebanyakan masakan yang saya kongsi adalah resipi turun temurun daripada ibu dan nenek," ujarnya yang dikenali dengan nama CEO of Buhhh di TikTok.

Menurut Wan, dia sama sekali tidak menyangka dengan sambutan yang diterima kerana baru sahaja mencipta akaun TikTok dalam tempoh tidak sampai dua bulan.

Bermula daripada ratusan pengikut, kini pemuda ini berjaya mengumpul lebih daripada 52,000 pengikut di aplikasi tersebut.

komen bubuh

Antara komen-komen netizen yang mengikuti video masakan Wan di TikTok.

"Penerimaan sangat menggalakkan dan membuatkan saya terharu sangat-sangat. Saya ingat orang akan jemu dan bosan dengan video saya, tapi tanggapan saya meleset.

"Ada yang komen dan beritahu mereka paling tak sabar-sabar nak tunggu ending video sebab nak dengar cakap cakap 'buh dalam mulut dan makan'. Memang rata-ratanya suruh saya kekalkan trademark 'buh' tu.

"InsyaAllah saya akan kekalkan content yang sama namun cuba pelbagaikan resepi termasuk masakan tempatan Sarawak. Saya memang mudah nak adapt dengan budaya di sini sebab tak cerewet. Malah suka bergaul dan bertanya orang tempatan. Perkataan 'buh' tetap wajib ada.

"Alhamdulillah, tak sangka juga sebab sokongan ramai, ada yang mula menawarkan saya untuk khidmat paid review. Rezeki yang tak dijangka sama sekali. Saya terharu apabila baca komen-komen dan ia menaikkan semangat saya. Terima kasih tak terhingga kepada semua," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain