suria

Mula-mula ‘nak tak nak’ je buka DM panjang berjela di TikTok, habis baca mesej wanita ini berjurai air mata - “Sebulan dia follow saya”

Dua sahabat ini bertemu semula selepas 17 tahun terpisah hanya kerana perkongsian video di TikTok.

HANYA kerana satu perkongsian di media sosial, berlaku 'jejak kasih' antara dua wanita ini selepas 17 tahun terputus hubungan persahabatan.

Rakaman yang dimuat naik oleh seorang wanita menunjukkan dia sedang menangis di dalam kereta sambil tertera mesej yang diterima daripada rakannya yang sememangnya dicari-cari selama ini.

Video tersebut setakat ini meraih hampir 3,400 tontonan di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Kawan asyik ajak join mandi-manda, pemuda ini ‘buat hal’ terus terjun sungai pakai helmet... beg pun tak tanggal - “Momen penting masa bujang”

ARTIKEL BERKAITAN: Burung kakak tua datang KL naik bas rupa-rupanya bijak, pandai borak... kini jadi anak manja abah - “Brulee pernah hilang terkejut tengok biri-biri”

Berkongsi cerita dengan mStar, Rosdiana Asmadi, 27, berkata, dia berasa sebak dan menangis kegembiraan selepas menerima mesej daripada teman lamanya, Salasiyah Dasuki yang sebaya umur, setelah 17 tahun terpisah.

Segalanya bermula apabila Rosdiana atau lebih mesra disapa Diyana, berkongsi video yang memaparkan wajah ibunya, Asnidar Akup, 54, di TikTok dan Salasiyah terlihat video tersebut.

"Pertama kali dia perasan saya sebab ada video saya muncul di FYP (For You Page). Tetapi waktu tu Salasiyah macam tak yakin betul ke saya ni kawan lamanya dulu.

"Walau tak yakin dia follow saya sebulan juga dekat TikTok, cuma tak tegur atau hantar mesej sebab dia takut kalau tersalah orang.

ertfert

Diyana seakan tidak percaya yang dia menerima kiriman DM daripada rakan lamanya, Salasiyah.

"Ada satu hari tu saya muat naik pula satu video yang ada mak di TikTok. Kemudian dia ternampak, lepas tu barulah yakin sebab dia cam suara dan ingat rupa mak saya walaupun pakai mask.

"Disebabkan video itulah dia terus DM (direct message) saya di TikTok pada Jumaat minggu lepas," katanya.

Diyana berkata mereka terpisah pada tahun 2004 ketika masing-masing berusia 10 tahun kerana keluarganya berpindah dari Kampung Bukit Kapar, Kapar ke Taman Meru Makmur 2 di Klang, Selangor.

Wanita itu mengakui menerima mesej yang panjang di TikTok merupakan satu kejutan buat dirinya, apatah lagi rakannya itu tidak menggunakan nama sebenar.

"Memang sangat terkejut sebab dah lama saya cari Salasiyah tapi tak jumpa. Nak tahulah juga sekarang ni dia buat apa semua, sebab rindu sangat!

"Saya baca DM Salasiyah waktu dalam perjalanan pulang dari kerja. Mula-mula tengok mesej tu macam peliklah sebab tak pernah ada orang mesej panjang-panjang dekat TikTok.

"Lagi satu sebab dia tak guna nama sebenar, jadi saya rasa macam nak tak nak je buka DM tu. Bila dah buka dan baca, memang speechless sangat.

IMG_7904

Diyana tidak pernah lupa setiap kenangannya bersama Salasiyah.

"Lebih-lebih lagi bila Salasiyah sebut nama dia di akhir mesej itu buat saya menangis...17 tahun kami terpisah dan lost contact sejak tahun 2004.

"Saya dan Salasiyah dulu berjiran kira-kira 12 tahun jugalah. Tarikh lahir kami pun beza dua hari je, saya lahir pada 4 Disember dan dia pula pada 6 Disember," ujarnya yang sudah lima tahun bekerja sebagai eksekutif jualan di sebuah syarikat di Bukit Tinggi, Klang.

Menurut anak ketiga daripada enam beradik ini, dia tidak pernah melupakan kenangan bersama Salasiyah sewaktu mereka kecil dahulu.

Banyak aktiviti yang mereka lakukan bersama memandangkan adik-beradiknya yang lain adalah lelaki.

"Saya langsung tak pernah lupakan dia sebab kenangan zaman kami kanak-kanak dulu memang paling best dalam hidup! Bila saya dan adik-beradik bercerita tentang zaman kanak-kanak, mesti saya akan sebut dan ingat balik apa yang kami pernah buat sama-sama dulu.

"Saya 'hilang' segalanya selepas berpindah, dulu kami kawan berdua je sebab yang lain semua adik beradik lelaki.

Saya doakan mereka di luar sana dapat berjumpa semula dengan kawan-kawan lama.

ROSDIANA ASMADI

"Jadi memang banyak benda kami buat bersama, masuk kebun belakang rumah main dalam hutan, cari cacing dan mandi banjir. Itulah kenangan yang saya tak dapat lupakan sampai sekarang," katanya.

Menurut Diyana yang berasal dari Klang ini, ramai yang berkongsi kisah yang sama sepertinya setelah dia memuat naik video tersebut dan berdoa agar mereka juga dapat bertemu dengan kawan lama masing-masing suatu hari nanti.

Diyana juga tidak menyangka selama ini dia masih menetap dalam daerah yang sama dengan Salasiyah dan bercadang untuk berjumpa dengannya selepas keadaan pandemik reda.

"Sebenarnya rumah kami dekat, masih dalam daerah yang sama. Cuma kami bersekolah di sekolah yang berbeza, jadi sebab itulah tak dapat berhubung selepas saya pindah.

"Kami dah contact antara satu sama lain selepas Salasiyah DM hari tu. Saya dan dia pun dah tak sabar untuk berjumpa selepas 17 tahun terpisah.

IMG_7875

Salasiyah (dua, kanan) selalu bermain bersama Diyana waktu mereka kecil dahulu.

"Tetapi disebabkan keadaan pandemik yang tak mengizinkan, jadi kami tunggu masa yang sesuai untuk berjumpa semula.

"Selepas saya kongsi saat yang indah tu dekat TikTok, ramai yang share pengalaman mereka dan ingin bertemu semula dengan kawan lama. Saya doakan mereka di luar sana dapat berjumpa semula dengan kawan-kawan lama mereka.

"Dengan teknologi sekarang yang sudah semakin banyak platform media sosial, mungkin boleh gunakan peluang ini untuk mencari semula mereka yang lama dirindui inshaAllah," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain