TIGA tahun sering ditemani isteri di sisi lebih-lebih lagi selepas ditimpa kemalangan jalan raya, hidup seorang warga emas bagaikan 'kosong' selepas insan kesayangannya itu kini terpaksa dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti Covid-19. Videonya yang tidak dapat menahan tangis selepas mendapat perkhabaran bahawa isterinya terpaksa ditidurkan, benar-benar menyentuh hati netizen. Sehingga kini, video yang dimuat naik di aplikasi TikTok itu meraih melebihi 214,000 jumlah tontonan. ARTIKEL BERKAITAN: Wajah pesakit Covid-19 sedang tunggu ajal berseri sebelum meninggal, suami keluar kuarantin tak mampu masuk rumah - “Saya sempat sikat rambut mak, pakaikan tudung” ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu rapat walau tinggal berasingan... tiap hari berhubung sejak bapa dijangkiti Covid-19, tiba-tiba mesej tak berbalas! - “Saya rasa kosong” Berkongsi cerita dengan mStar, Nurul Ain Azhar yang memuat naik video tersebut berkata, bapanya seolah-olah kehilangan tempat bergantung sejak ibunya dimasukkan ke hospital lebih seminggu yang lalu. Menurut wanita berusia 21 tahun ini, ibunya disahkan positif Covid-19 selepas mengalami demam selama lapan hari. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Selepas ibu saya mendapatkan suntikan vaksin lebih seminggu lalu, dia rasa tak sedap badan pada sebelah petangnya dan lenguh-lenguh tangan. Pada malam hari yang sama dia terus demam. "Ibu saya fikir demam biasa sebab kesan sampingan suntikan vaksin sebab ramai yang ada simptom macam tu. Kami adik beradik ada menyuruh ibu pergi klinik, tapi ibu menolak sebab dia rasa demam biasa saja. "Nak dijadikan cerita, hari kelapan ibu demam, malam tu dia sesak nafas. Kami call ambulans tapi mereka maklumkan agak lambat tiba sebab ada beberapa kes kena bawa ke hospital. "Akhirnya abang saya yang bawa ibu ke hospital sebab kami dah bimbang takut apa-apa berlaku. Esoknya, doktor sahkan ujian saringan Covid-19 ibu positif," ujarnya yang berasal dari Kampung Bakar Batu, Johor Bahru. Nurul Ain, bapa dan adik beradiknya sempat membuat panggilan video dengan ibu mereka sebelum ditidurkan Nurul Ain berkata, susulan keputusan tersebut, mereka sekeluarga terpaksa dikuarantin dan perlu menjalani ujian saringan di mana suaminya turut disahkan positif Covid-19. "Bagai bertimpa-timpa ujian yang datang dalam satu masa. Ibu dah dimasukkan ke hospital, sayalah yang ambil tanggungjawab menjaga abah ketika ini memandangkan adik beradik lain tinggal berjauhan. "Hati saya 'sesak' apabila memikirkan banyak perkara... mana tidaknya, ibu sedang dirawat di hospital, suami terpaksa kuarantin berasingan di rumah kami manakala saya di rumah abah untuk menjaganya. "Sepanjang saya di sini menjaga abah, saya ibarat 'ibu' juga, kena sediakan makanan dan keperluan abah sebab dia kini berkerusi roda. Baru saya faham macam mana pengorbanan dan tanggungjawab ibu apabila berada di 'tempatnya' kini," ujar ibu kepada seorang cahaya mata ini. Bagai bertimpa-timpa ujian yang datang dalam satu masa. Ibu dah dimasukkan ke hospital, sayalah yang ambil tanggungjawab menjaga abah ketika ini. NURUL AIN AZHAR Nurul Ain yang juga anak bongsu daripada lima adik beradik berkata, kini ujian yang menimpa dirasakan makin berganda apabila baru menerima perkhabaran yang ibunya terpaksa ditidurkan kerana keadaan kesihatannya semakin merosot. "Saya rasa berat sangat apa yang dilalui ketika ini lebih-lebih lagi melihat keadaan abah yang tak boleh tahan tangis setiap kali teringatkan ibu. "Mula-mula abah masih okay sebab selalu dapat berhubung terus dengan ibu melalui WhatsApp untuk bertanya khabar. Tapi keadaan ibu makin merosot apabila dia dah tak larat nak taip mesej atau bercakap. "Dua hari lalu pula kami dapat khabar dari doktor bahawa ibu terpaksa ditidurkan kerana paru-parunya lemah. Ada pendarahan sikit dengan jangkitan kuman. Sejak dapat khabar tu, abah kerap sangat menangis lebih-lebih lagi bila saudara mara tanya khabar ibu. "Abah ni orangnya susah nak mengalirkan air mata, tapi sekarang nampak dia tak boleh hadapi bila ibu tiada di sisi," ujarnya yang menjalankan perniagaan secara dalam talian (online). Nurul Ain (tiga, kiri) bersama ibu bapa dan adik beradiknya. Nurul Ain berkata, dia dan keluarga pada mulanya berat hati untuk memberi persetujuan agar ibunya ditidurkan namun akhirnya pasrah dan mengharapkan agar pasukan perubatan dapat melakukan yang terbaik. "Dalam WhatsApp, ibu beritahu dia dah tak tahan kerana terpaksa bergantung kepada oksigen. Dia kata dia dah tak kuat. Dalam keberatan, kami pasrah dan hanya berfikir yang baik-baik. "Sedih sangat rasanya ketika kami sekeluarga diberi kesempatan berhubung menerusi panggilan video sebelum ibu ditidurkan. "Saya tak sangka ramai sangat yang mendoakan ibu dan abah juga selepas video yang saya upload di TikTok viral. Saya mohon kepada semua, doakanlah ibu saya moga cepat sedar dan sihat seperti biasa," katanya mengakhiri bicara. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI TONTON VIDEO PILIHAN!