suria

Bermula ‘request’ isteri, karya seni atas daun kini sumber rezeki... ‘pakar bedah daun’ nak serah potret Tun M tapi malu – “Silap sikit, kena buat lain”

Muhammad Hafizi menunjukkan potret Dr Mahathir yang diukir di atas sekeping daun.

DAH nama pun tangan berseni, buat apa pun jadi!

Siapa sangka dengan hanya sekeping daun, sebuah karya seni yang cukup hebat dihasilkan.

Begitulah bakat seni seorang pemuda yang melukis potret menggunakan daun bagi menggantikan kanvas atau kertas, yang dipaparkan menerusi video-video di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Potret ukiran daun dapat pujian Tun M... pelukis sanggup buang perasaan malu nak serahkan sendiri hasil seni, makin semangat berkarya -"Saya tidur dalam keadaan gembira"

Melabelkan dirinya sebagai 'pakar bedah daun', potret bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diukir dengan kemas dan teliti, di mana video tersebut meraih lebih setengah juta tontonan.

Pelukis berusia 30 tahun itu, Muhammad Hafizi Abdul Karim berkata, penglibatannya dalam seni ukiran daun pada awalnya dilakukan secara suka-suka pada Jun tahun ini.



"Satu hari isteri saya tanya boleh ke lukis potret atas daun. Saya cuba mengukir potret isteri dan menjadi, cuma masa tu masih belum diawetkan untuk daun dan ukiran kekal lama.

"Kemudian saya buat ukiran bagi menunjukkan solidariti terhadap isu rakyat Palestin di Gaza. Bagi menampilkan kelainan, saya buat ukiran tersebut atas sekeping daun.

"Bila saya kongsi ukiran 'Free Gaza' di grup Facebook Lukis, dapat banyak sambutan dan ramai yang mahu menempah untuk saya buat ukiran daun," katanya kepada mStar.

potret daun 9

Foto kiri ukiran daun potret isteri Muhammad Hafizi dan kanan tanda solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Susulan sambutan di luar jangkaan itu, Muhammad Hafizi atau lebih dikenali sebagai Eiji kini menjadikan seni ukiran daun sebagai sumber rezekinya.

"Saya banyak berniaga sebelum ni, kali terakhir jual buah dan air di gerai selama setahun. Saya juga ambil upah melukis secara sambilan dan sekarang ni ukir daun sepenuh masa.

"Ukiran dibuat menggunakan daun pokok teja yang lebih lasak dan tahan lama. Ia lebih sesuai untuk dijual dan mengawetkan daun yang siap diukir untuk kekal lama," katanya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

potret daun 2

Potret kiri Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dan kanan potret Tunku Abdul Rahman.

Menurut bapa kepada dua anak itu, seni ukiran daun sememangnya mencabar kerana setiap karya yang dihasilkan memerlukan lebih penelitian.

"Kena sentiasa berhati-hati. Bukan macam kertas, boleh padam. Kalau daun... silap sikit, kena buat lain. Nak mengukir kena tenang dan senyap, biasanya selepas tengah malam.

Kena sentiasa berhati-hati. Bukan macam kertas, boleh padam. Nak mengukir kena tenang dan senyap, biasanya selepas tengah malam

MUHAMMAD HAFIZI ABDUL KARIM

"Daun-daun saya ambil dekat rumah di kawasan kampung. Walaupun banyak daun, tapi saya tetap teliti dalam mencari saiz dan ketebalan serta kehijauan daun itu," tambahnya.

Selain potret, ukiran daun yang dihasilkannya juga dalam bentuk kaligrafi serta imej lain seperti haiwan, pengangkutan dan bangunan.

potret daun 6

Selain potret, turut diukir adalah kaligrafi dan gambar haiwan.

Selain Dr Mahathir, antara potret yang diukirnya di atas daun adalah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Bapa Kemerdekaan, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj; pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew; Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee; dan pelakon Shukri Yahaya dan Hannah Delisha.

"Setiap ukiran secara purata ambil masa dua jam untuk disiapkan. Paling lama sehingga lima jam ketika menghasilkan ukiran kaligrafi Allah dan Muhammad," katanya sambil menambah setiap ukiran dikenakan caj serendah RM100.

potret daun 11

Antara ukiran di atas sekeping daun.

Dalam pada itu, Muhammad Hafizi menyimpan hasrat untuk menyerahkan ukiran daun potret Dr Mahathir kepada pemimpin yang disegani itu.

"Saya berhasrat untuk menyampaikan potret Tun Dr Mahathir kepada beliau sendiri. Rasa berbesar hati kalau beliau dapat melihat bakat saya.

"Tak dapat jumpa pun tak apa, asalkan beliau dapat ukiran daun itu pun syukur Alhamdulillah. Tapi kalau diberi peluang untuk bertemu beliau dan serahkannya sendiri, saya tahu nak cakap apa, speechless... nak sangat, tapi saya pemalu," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain