suria

Tak sampai 15 minit baring, anak Sarawak terkejut kek lapis baru siap 'disabotaj'! Siap kena leter, jentik telinga... suspek selamba buat muka minta simpati

Kek lapis horlick disabotaj Mimek.

KURANG dari 15 minit - itu masa yang diambil untuk seekor kucing untuk "mensabotaj" sebiji kek lapis yang baru sahaja disiapkan pemiliknya yang seharian suntuk bekerja keras untuk melapis kek yang ditempah seorang pelanggannya.

Si perlaku bagaimanapun bernasib baik kerana "dibebaskan" tanpa sebarang "hukuman berat".

ARTIKEL BERKAITAN : “Kalau tak diikutkan, merajuk pulak deme” - Photoshoot pasangan 40 tahun buat hati jurugambar terdetik, pentingnya rakam momen bersama insan tersayang

ARTIKEL BERKAITAN : Apa yang ditakuti wanita ini jadi nyata, kali ke-3 digigit sengkenit sampai demam! Puncanya masih misteri - “Parut digigit tahun lepas pun belum hilang”

"Kisah sedih hari ni, dia buat mummy marah sangat-sangat, dia pergi makan kek lapis yang ditempah customer mummy, ikutkan nak COD (cash on demand) esok tapi malangnya.

"Dia siap buat muka kesian dekat kita, nak marah pun tak sanggup tengok muka kesian dia tu," tulis wanita terbabit di media sosial.

Perkongsian seram-lucu Myra Kunchit, 24 itu mendapat reaksi warga maya yang meninggalkan pelbagai komen melucukan.

"Salah mommy la, tak simpan elok-elok, adik kan kucing je," tulis seorang warga net.

Bercakap kepada mStar, Myra yang berasal dari Sarawak berkata, dia baru sahaja selesai menyiapkan kek tersebut dan sedang menunggu ia sejuk sebelum di bungkus untuk dihantar kepada pelanggannya pada keesokkan harinya.

"Sebab dah penat sangat seharian melapis kek tu saya baring kejap lebih kurang 15 minit, lepas tu saya pergi dapur balik nak wraping kek tu tapi bila sampai dekat meja saya tengok kek tu berderai macam tu.

"Tak pasti dia makan ke cakar je kek tu masa sampai dapur kek dah berderai, dia pula tengah menyorok.

"Bila saya panggil kucing saya dia tak respond seakan tahu saya nak marah pasal kek tu sebab selalunya kalau saya panggil dia terus lari dekat saya tapi masa tu dia tak respond langsung," selorohnya.



Myra kadangkala menerima tempahan kek.

Geram dengan tindakan kucing jantan berusia setahun setengah itu, Myra tetap "menghukumnya" walaupun dia cuba untuk melepaskan diri dengan wajah comelnya itu.

"Saya jentik la sikit telinga capang dia tu, lepas tu saya berleter tak berhenti, dia diam je buat muka kesian.

"Dia pergi sembunyi bawah meja TV dengan muka minta dikasihani masa tu.

"Tapi sebenarnya saya tak ada la marah sangat, dia kucing, bukan tahu apa pun.. nak marah pun tak guna, benda dah jadi," kata anak Iban yang kini menetap di Gemas, Negeri Sembilan itu.



Mimek lari menyorok selepas sedar akan kesilapannya.

Menurut suri rumah ini, dia akhirnya terpaksa membuat satu lagi kek lapis horlick yang baru untuk pelanggannya.

"Customer tak marah sebab yang beli tu kawan saya, saya beritahu dia yang saya tak dapat hantar kek hari ni sebab "kek dah berderai dikerjakan kucing saya".

"Jadi saya tanya boleh tak kalau saya buat esok dan terus hantar esok juga, dia okay je, sebab dia suruh saya buat sebab dia mengidam je, bukan untuk majlis apa-apa.

"Saya ada muat naik gambar dekat status WhatsApp saya tentang kejadian tu semua kawan gelak, ada yang pesan jangan marah dan pukul Mimek," katanya.



Mimek hanya manja dengan Myra.

Menurut Myra, berbeza dengan sesetengah kucing lain, Mimek yang diberi rakannya, hanya manja dengan dirinya.

"Kalau gambar Mimek selalu dengan saya je sebab dia tak suka budak-budak pegang dia.

"Suami saya pun dia tak suka, dengan saya je dia manja," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Mimek, Sarawak, kek lapis, horlick

Artikel Lain