suria

“Suami datang dia tolak” - Doktor kongsi tentang Vaginismus, 8 tahun kahwin tapi tak pernah 'bersama'

Vaginismus menyebabkan wanita enggan melakukan hubungan suami isteri.

MASIH berstatus anak dara walaupun selepas lapan tahun berkahwin.

Walaupun sukar untuk dipercayai, namun inilah realiti yang dihadapi sesetengah pasangan yang tidak dapat melakukan hubungan suami isteri akibat rasa takut yang melampau.

Perasaan takut melampau sehingga menyebabkan seseorang itu tidak boleh melakukan hubungan seksual ini dikenali sebagai Vaginismus.

ARTIKEL BERKAITAN: Graduan UIA memang penjual tilam tegar, belajar menjahit sampai ke Indonesia... tapi ada mesej pelanggannya buatkan usahawan ini tersentak

ARTIKEL BERKAITAN: Semuanya hilang sekelip mata, pengusaha glamping baru operasi 3 bulan reda ‘tak sempat balik modal’... sayu kenangkan mangsa banjir Hulu Langat

Berkongsi lebih lanjut mengenai masalah kesihatan ini dengan mStar, pakar Perubatan Keluarga Dr Siti Aishah Yunos berkata, rasa anxiety yang dialami isteri akan membuatkan otot pada pinggulnya mengeras, seterusnya menyukarkan pasangan mereka untuk melakukan penetrasi.

Katanya, kebanyakan pesakit yang hadir untuk mendapatkan rawatan di kliniknya di Langkawi mengakui mengalami rasa takut yang melampau selepas mendengar 'pengalaman' malam pertama rakan-rakan mereka.

"Bila mereka datang ke klinik, saya akan bagi kertas untuk tulis kenapa mereka tak boleh melakukan seks, alasan yang saya terima adalah 'takut sakit', itu sahaja, tak ada alasan lain.

"Situasi ni berlaku sebab biasalah bila nak berkahwin ni mereka borak-borak dengan kawan-kawan yang akan kongsi pengalaman cakap sakit la, 'tak boleh masuk', 'sampai menangis', 'terkoyak' la, jadi benda-benda ni akan membuatkan pengantin perempuan jadi takut, bila dia takut, mental dia jadi stress.

"Bila stress, otot di bahagian pinggul akan mengeras dan bila itu berlaku, saluran pada kemaluan wanita akan tertutup dan sebab tu penis tak boleh masuk.

"Jadi bila suami dia datang dia akan tolak sampai sudahnya mereka tak pernah buat hubungan seks," katanya, sambil menegaskan bahawa rasa takut yang dialami itu hanya akan membuatkan seks yang sepatutnya mudah menjadi susah.



Otot di bahagian pinggul akan mengeras apabila seseorang wanita itu tertekan, ini akan menyebabkan saluran pada kemaluannya tertutup dan menyukarkan penetrasi untuk berlaku.

Menurut Dr Siti Aishah, jika dilakukan dalam keadaan tenang dan dengan teknik yang betul, rasa sakit yang dialami pasangan pertama kali melakukan hubungan suami isteri itu sebenarnya jauh lebih kurang berbanding apabila tangan seseorang itu dicubit.

"Nak tahu rasa sakit buat seks pertama kali macam mana, angkat tangan kemudian cubit kuat-kuat, rasa sakit ni lagi sakit dari seks kali pertama.

"Sebab tu penting kena relakskan punggung kalau tak kemaluan lelaki lansung tak boleh masuk, jadi kena ingat Dr Aishah kata seks ni mudah, kalau tak mesti ada something wrong.

"Jangan lawan suami, dan yang penting letak pelincir banyak-banyak, benda ni sangat membantu," katanya.

Menurut Dr Siti Aishah, pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan kadangkala sudah berkahwin selama bertahun-tahun, dan kebiasaannya mereka hadir untuk menjalani rawatan bagi mendapatkan cahaya mata.

"Bayangkan tekanan yang mereka alami, nak cerita dekat orang tak boleh, lepas tu orang sekeliling tanya pasal anak, ada seorang pesakit saya dia sudah berkahwin selama lapan tahun, dia dah buat Intrauterine insemination (IUI) iaitu memasukkan benih suami pada isteri sebanyak dua ke tiga kali sebab mereka inginkan anak, tapi tak berjaya.

"Bila datang dekat saya, saya cakap kena periksa sebab takut mungkin sperma tak sesuai ke, tapi masa tu baru dia beritahu yang sebenarnya seks pun tak pernah buat.

"Selepas saya bagi rawatan kaunseling, bila saya follow up balik mereka kata dah boleh buat," katanya, sambil menambah ada juga yang sudah lima dan dua tahun berkahwin tapi takut untuk melakukan hubungan suami isteri.



Menurut Dr Aishah, pesakit yang datang kepadanya kadangkala sudah berkahwin selama bertahun-tahun lamanya.

Katanya, salah seorang pesakitnya yang gagal melakukan hubungan seksual selepas dua tahun berkahwin, akhirnya disahkan hamil selepas mendapat rawatan.

Menurut Dr Aishah, ada antara pasangan yang mengalami masalah ini akhirnya memilih untuk berpisah.

"Ada dua jenis pasangan, satu mereka yang terlampau memikirkan jadi mereka akhirnya berakhir dengan perceraian, dan satu lagi mereka yang sudah berputus asa jadi mereka tak nak bercakap tentang hubungan seks lagi.

"Tapi mereka ini tetap bahagia dan saling menyokong antara satu sama lain, seks pada mereka bukanlah segala-galanya, jadi mereka meneruskan hidup seperti biasa," katanya.

Vaginismus ini, katanya, terbahagi kepada dua, iaitu primary dan secondary vaginismus.

Primary vaginismus melibatkan pasangan yang langsung tidak pernah menjalinkan hubungan seksual kerana rasa takut isteri, manakala secondary vaginismus pula berlaku kepada pasangan yang pernah melakukan hubungan seks, namun trauma yang dialami di kawasan kemaluan akibat bersalin atau pembedahan membuatkan wanita takut untuk melakukan hubungan suami isteri semula.

Menurut Dr Siti Aishah, ada juga wanita yang mengelak daripada melakukan hubungan kelamin disebabkan oleh trauma akibat pernah dicabul atau dirogol.

"Primary vaginismus ni mereka memang tak pernah melakukan hubungan seksual, tapi kalau secondary ni mereka pernah melakukan hubungan seksual tapi tiba-tiba je mereka jadi takut nak buat hubungan sebab yang paling selalu kita dengar di Malaysia adalah selepas bersalin.

"Bila bersalin kemaluan terkoyak dan berlaku kecederaan urat saraf pada vagina yang menyebabkan rasa sakit yang melampau jadi mereka jadi fobia dan takut, sebab itu la pentingnya untuk ibu-ibu diberi masa untuk berehat dan berpantang supaya mereka sihat sepenuhnya baik dari segi fizikal dan mental.

"Ada juga yang kena kanser rahim atau ovari, masa menjalani rawatan radioterapi tu ada kesan sampingan pada kemaluan, jadi mereka takut untuk melakukan hubungan seksual, dan ada juga yang takut nanti kanser itu datang kembali," katanya, pesakit perlu segera mendapatkan rawatan pakar.

Namun, ujar Dr Aishah, terdapat juga beberapa penyakit lain yang boleh menyebabkan seseorang itu rasa sakit ketika melakukan hubungan kelamin.

Antaranya, jangkitan kuman pada vagina, masalah pada dubur seperti buasir yang teruk, vulvar vestibulitis (sensitif pada kawasan berhampiran dengan saluran pada kemaluan), Vulvodynia (urat saraf pada kemaluan yang sentiasa aktif dan menyebabkan rasa sakit), menapous dan pelbagai masalah kulit.

Menurut Dr Aishah, selain rawatan kaunseling, dan sesi terapi pesakit juga boleh dirawat menggunakan ubat kebas dan juga ubat untuk mengawal rasa takut yang dialami mereka.

"Benda ni dia kena team work, bukan isteri sahaja, tapi suami juga perlu mainkan peranan," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain